MINUM KOPI PERDAMAIAN AZMIN – ANWAR

SEKEPING gambar Anwar Ibrahim bersama Azmin Ali dan Saifuddin Nasution Ismail yang minum kopi di cafe parlimen yang tular hari ini mungkin biasa sahaja, itulah aksi orang politik yang tidak perlu dihairankan.

Tetapi gambar itu memberi signifikan tersendiri apabila mengenangkan hubungan Anwar dengan Azmin yang sedikit renggang ada kalanya tegang beberapa bulan ke belakangan ini.

Gambar berkenaan dikongsi oleh Anwar dan Azmin dalam twitter masing-masing dari angle yang berbeza, tetapi masih mengekalkan lokasi pertemuan itu. Saya tidak pasti pula apakah Saifuddin iku sama mengongsi gambar berkenaan dalam media sosialnya.

Namun gambar dan aksi itu disukai oleh orang ramai. Apabila Anwar dan Azmin mengongsikan gambar itu bolehlah kita selami dan baca apa yang ada dalam jiwa kedua-dua mereka. Mereka mungkin sudah saling rindu merindui.

Anwar selamanya dikenang sebagai seorang yang tidak tahu bergaduh panjang dengan sesiapa pun. Iya, bagi Anwar apalah untungnya beliau berantakan lama-lama dan serius dengan Azmin dan begitu juga Azmin.  Kita semua tahu hubungan Anwar dengan Azmin bukan sebagai kawan tetapi adik dengan abang. Semarah-marah abang kepada adiknya ia tidak akan sampai berdendam hingga meneteskan darah.

Ini gambar dari Twitter Azamin.

Anwar dengan Azmin bagaikan ibu kerbau dengan anaknya yang nakal. Sang ibu walaupun marah kepada anaknya ia sesekali tidak akan menggunakan tanduknya yang tajam untuk memarahinya. Begitulah Anwar dengan Azmin.

Kalau saya sebagai orang luar suka dan bahagia melihat gambar itu dan dengan situasi itu, tentu orang lain juga begitu, terutamanya ahli dan penyokong Keadilan. Barangkali ada yang menangis terharu melihat kedua mereka duduk berhadapan di satu meja begitu.

Yang mungkin tidak suka dengan gambar itu dan aksi mereka bertiga — yang nampak serius tetapi santai itu, ialah mereka yang tidak mahu melihat presiden dengan timbalan presiden Keadilan itu kembali baik dan mahu ia terus bercakaran. Sebelum ini pun ketegangan di antara mereka berdua kerana ada pengadu domba. Sedarilah mereka itu musuh kepada Keadilan dan juga kerajaan PH.

Musuh-musuh kerajaan PH, mereka yang benci dan tidak dapat terima Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir, tentu rasa bengkak hati melihat gambar berkenaan. Mereka akan memberi tafsiran gambar itu dengan pelbagai konotasi buruk yang mengelirukan.

Sudah ada pun yang skeptikal dengan gambar itu. Ada juga yang membuat ulasan kononnya gambar itu gambar lama, mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa perbalahan politik antara Azmin dengan Anwar itu, tidak lebih daripada perbalahan antara suami isteri di siang hari yang mana mereka akan baik dan berpelukan sampai berpeluh berpelai di malam hari ini.

Musuh PH, musuh Keadilan dan pengadu domba Azmin dengan Anwar terpejam mata melihat gambar berkenaan.

Baik Azmin atau Anwar maupun Saifuddin mungkin sudah merasai kangen untuk duduk bersama seperti itu, berbincang dan memikirkan soal nasib parti dan bangsa setelah tidak mempunyai hubungan lendik beberapa bulan lalu. Mereka mungkin baharu tersedar yang parti mereka sudah menjadi kerajaan dan perlu dijaga sebaik mungkin. Perbalahan merugikan semua orang.

Sesungguhnya Keadilan tidak perlu berombak dan beralun ketika saat menanti berlakunya detik peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar seperti dikonsensuskan. Semua pihak jangan memberi ruang atau membikin Dr Mahathir kecewa, marah sehinggakan meralat konsensus dibuat.

Baguslah kalau begitu. Ramai orang berharap pertemuan mungkin tidak sengaja hari ini itu akan jadi pertemuan yang diatur atau ditakdirkan demikian rupa untuk menjernihkan apa yang keruh sebelum ini. Pokok pangkalnya terletak kepada mereka berdua juga. Apa yang sudah berlaku, itu biarlah berlalu, semua kena fokus ke hadapan lupa kehilafan lalu.

Saifuddin yang kebetulan berada sama di situ, mungkin tukang ambil air atau aturkan pertemuan Azmin dan Anwar, boleh memainkan peranan mengeratkan semula hubungan mereka. Saifuddin sangat sesuai menjadi mediator kerana kedudukannya selaku Setiausaha Agung, nadi menggerakkan parti. Saifuddin akan berjaya menjadi Setiausaha Agung yang kompeten dan dikenang sejarah jika dapat mendamaikan Azmin dan Anwar serta menguatkan parti.

Selepas ini tentu kita mahu melihat gambar yang lebih indah dan gah dari itu dirakam, dimana ada sama dalam gambar seperti itu nanti Johari Abdul, Abdullah Sani, Rafizi Ramli, Zuraida Kamaruddin dan Nurul Izzah. Semoga selepas ini akan ada sessi minum kopi santai melibatkan individu  berkenaan di mana-mana juga, kalau pun tidak di parlimen. Dan lebih indah kalau selepas ini Keadilan mengadakan rapat agung pemimpin untuk menunjukkan solidariti parti itu.

Usahlah cipta lagi pergaduhan, sindir menyindir di antara satu sama lain yang boleh meresah dan mengecewakan rakyat. Kita boleh mengusik hati rakyat bergurau dengan rakyat tetapi jangan sampai mereka marah dan hilang sabar sebab padahnya sangatlah buruk sekali. Berdamailah.

– http://msomelayu.blogspot.com

.