BOHONG AZMIN MEMALUKAN TUN M, LOGIKNYA BUAT APA MP UMNO BERJUMPA BELIAU JIKA MEREKA MAHU KELUAR PARTI?

Setelah semalam tujuh Ahli Parlimen BN tampil menafikan kenyataan Tun Mahathir Mohamad bahawa mereka pernah menyuarakan rasa hilang keyakinan kepada UMNO dan berhasrat keluar parti, hari ini menyusul lagi lapan orang berbuat demikian.

Lapan Ahli Parlimen berkenaan, termasuk Hishamuddin Hussein (Sembrong) yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Shahidan Kassim (Arau), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Hasbullah Osman (Grik), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Ahmad Hamzah (Jasin), Ismail Abd Muttalib (Maran) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Dalam kenyataan bersama itu, mereka menyatakan tidak pernah sama sekali berhasrat mahu meninggalkan UMNO diucapkan dalam pertemuan dengan Azmin Ali di rumahnya, baru-baru ini.

“Seperti dinyatakan tujuh Ahli Parlimen BN semalam, kami turut menafikan dakwaan kononnya kami sudah hilang parti dan tidak pasti apa perlu dilakukan, sama ada hendak lompat parti atau sebaliknya.

“Kami boleh sahkan, tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana Ahli Parlimen BN semasa pertemuan tersebut.

“Malah, seperti dinyatakan berulang kali sebelum ini, kami langsung tidak berniat untuk tinggalkan parti, apatah lagi menyertai parti lain,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam hal ini, harus diingat bahawa kenyataan Tun Mahathir yang menyebut Ahli-Ahli Parlimen itu merasakan UMNO sudah hilang arah dan mereka tidak tahu sama ada mahu menyertai parti lain atau tidak, ia adalah berdasarkan apa yang diberitahu oleh Azmin kepadanya.

Tun Mahathir bukan saja tiada dalam pertemuan itu, malah tiada maklumat lain selain daripada apa yang diberitahu kepadanya oleh Azmin.

Jika dengan tujuh Ahli Parlimen UMNO membuat penafian semalam pun sudah dilihat pembohongan Azmin mula terserlah, disertai lapan lagi yang berbuat demikian, malah sahlah Azmin telah berbohong kepada Tun Mahathir.

Nampaknya semakin betullah tanggapan ramai bahawa Azmin sedang cuba “menjual” 17 Ahli Parlimen UMNO yang berjumpanya itu kepada Tun Mahathir demi menyelamatkan dirinya.

Tetapi, apa yang berlaku sekarang, bukan saja usaha menyelamatkan dirinya tidak berjaya, malah Tun Mahathir yang menanggung malu akhirnya kerana seolah-olah beliau yang membuat kenyataan palsu dan tidak benar itu.

Walhalnya, apa yang disebut oleh Tun Mahathir semalam adalah sepenuhnya berdasarkan pengakuan Azmin kepadanya berhubung perjumpaan tersebut.

Kalau berita bohong yang diberitahu Azmin, maka berita bohong jugalah yang disebut oleh Tun Mahathir.

Walaupun Azmin nampaknya cuba temberang Tun Mahathir, beliau agaknya lupa bahawa tiada sebab sebenarnya untuk 17 Ahli Parlimen UMNO berjumpa dengannya jika benar mereka keluar parti.

Bukankah 17 Ahli-Ahli Parlimen tersebut, terutamanya melalui Hishammuddin, boleh berjumpa sendiri dengan Tun Mahathir?

Lagi pun, dengan berjumpa Azmin, ia tentulah sesuatu yang membuang masa kerana beliau bukanlah sesiapa, melainkan mewakili kelompok yang makin mengecil serta kian terpinggir dalam PKR dan PH.

Apakah Azmin masih bermimpi?

– https://shahbudindotcom.net/

.