BN YANG MEROSAKKAN VS PH YANG MEMPERBETULKAN

 Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Penjualan “fire sale” Edra kepada China contoh kesorasakan BN

PENDAPAT yang mengatakan tidak ada perbezaan besar di antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu adalah terlalu umum dan menyeluruh.

Adakah kerajaan yang mendedahkan skandal-skandal besar yang melumpuhkan ekonomi, kewangan dan pentadbiran negara seperti 1MDB, Tabung Haji, Felda, LTAT dan banyak lagi, sama dengan kerajaan yang melakukannya?

Mana-mana juga pihak yang mengatakan tidak ada perbezaan di antara kerajaan PH sekarang dengan kerajaan BN dahulu sama ada emosional atau sengaja membelakangkan realiti.

Adakah segala skandal dan penyelewengan yang berlaku itu akan didedahkan dan diambil tindakan kalau PH tidak menang dalam Pilihan Raya Umum 2018?

Boleh jadi dari segi politik kepartian ada kelemahan dan persamaan di antara PH dan BN, tetapi dari segi dasar, rancangan dan pelaksanaan pentadbiran, kerajaan PH amat berbeza serta lebih baik daripada kerajaan BN.

Tidak semua hal berkenaan BN tidak baik. BN banyak berjasa kepada negara. Banyak pemimpinnya bagus dan banyak yang kita warisi hari ini adalah legasi BN. Itu kita tidak boleh nafi.

Tapi hakikat bahawa BN rosak dalam masa tidak sampai satu dekad di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone, Mohd Najib Abdul Razak, juga tidak boleh kita nafi.

Dalam masa yang singkat dia ubah Umno dan kerajaan daripada amalan demokrasi kepada kleptokrasi – kerajaan yang mencuri.

(I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone itu adalah gelaran tertinggi kerajaan Bugis Gowa yang dianugerahkan kepada Mohd Najib oleh keturunan Almarhum Sultan Abdul Jalil pada tahun 2005. Najib amat bangga dengan anugerah itu sehingga dia gelar diri dia pendekar atau pahlawan Bugis.)

Kalau Najib teruskan dan perbaiki legasi ayahanda dia, Almahum Tun Abdul Razak Hussein, serta legasi Perdana-perdana Menteri sebelum dia, saya sangat yakin BN terus berkuasa hingga ke hari ini.

Kita pun tak ada alasan atau keperluan untuk angkut dia dan konco-konco dia ke mahkamah.

Tapi di bawah pimpinan Najib, BN telah jadi parti yang bersubahat lakukan konspirasi rasuah, pecah amanah dan penyelewengan dengan menyonglap berpuluh-puluh bilion duit negara dan rakyat jelata.

Siapa saja yang berani tegur atau berbeza pendapat dengan dia dan konco-konco dia akan dipecat dan dikenakan berbagai-bagai tindakan punitif.

Tak Sama

Jadi adakah PH yang bangkit lawan kemungkaran BN dengan sokongan rakyat jelata sama dengan BN yang lakukan kemungkaran?

Tentulah tidak sama.

Apa yang sedang berlaku sekarang adalah kesan kerosakan zaman pemerintahan kleptokrasi Najib begitu teruk dan meluas sehingga kemampuan kerajaan PH untuk mengatasinya amat sukar dan ambil masa.

Baru-baru ini seorang wartawan kanan dari Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) tanya saya dalam satu dialog adakah perlu kerajaan PH terus salahkan kerajaan BN?

Saya kata, perlu kerana kalau tidak disebabkan oleh kerosakan yang dibuat oleh BN itu, kita tidak akan alami masalah macam sekarang.

Saya bagi contoh duit RM9 bilion yang kerajaan PH terpaksa belanja setakat ini untuk bayar faedah hutang 1MDB.

Ini baru faedah. Belum lagi pokok. 1MDB ini hasilnya tak ada tapi hutangnya dianggar sampai RM50 bilion. Semuanya kerana rasuah, pecah amanah dan penyelewengan.

Adakah kerajaan PH yang sedang berusaha keras dapatkan balik duit 1MDB yang dicuri, kurangkan kos projek pembangunan yang digelembungkan dan jimatkan duit negara sama dengan kerajaan BN yang buat najis tersebut?

Maaf cakaplah kalau saya kata, hanya orang bodoh atau yang makan dedak sahaja akan nafi kerosakan yang dibuat oleh BN dan pemulihan yang sedang diusahakan oleh PH.

Kalau kerajaan BN tak tipu, pasal apa gergasi kewangan dunia Goldman Sachs yang atur hutang 1MDB sedia timbang tuntutan ganti rugi oleh kerajaan PH?

Laporan media massa kata, bank pelaburan antarabangsa itu bersedia pulangkan sebahagian komisen yang 1MDB bayar kepadanya.

Tapi berasaskan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan akan teruskan saman ke atas Goldman Sachs.

Dalam temu ramah dengan agensi berita Reuter beberapa hari lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Malaysia akan tuntut AS$7.5 bilion (kira-kira RM30 bilion) daripada Goldman Sachs.

Ini adalah jumlah hutang 1MDB yang Goldman Sachs atur di mana bank yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat itu dibayar komisen AS$600 juta (RM2.4 bilion).

Najis di TH dan Felda

Jadi adakah kerajaan PH yang telah peruntukkan RM17.8 bilion bagi selamatkan Tabung Haji dan RM6.3 bilion bagi selamatkan Felda sama dengan kerajaan BN yang buat najis di TH dan Felda?

Saya difahamkan yang usaha sedang dibuat untuk selesaikan masalah Felda dengan FGV Holdings Berhad (FGV) supaya Felda dapat balik ladang dan kilang yang digadai atau dijual kepada FGV pada tahun 2012.

Selain itu, kerajaan PH juga sedang berusaha selesaikan masalah Felda yang dipaksa beli 37 peratus saham ladang Eagle High milik (Tan Sri) Peter Sondakh di Indonesia dengan harga berlipat ganda daripada harga pasaran. (Bacaan tambahan DI SINI).

Sondakh adalah sahabat akrab Najib yang mempunyai banyak harta di Malaysia dan berhutang besar dengan industri perbankan Malaysia, khususnya Bank Pembangunan.

Saya bagi tahu wartawan NSTP itu, kalau bukan kerana penyelewengan kerajaan BN, kerajaan PH ada RM9 bilion untuk dibelanjakan demi kebaikan rakyat jelata.

Kesialan Edra

Baru-baru ini, dalam perjalanan melawat anak, menantu dan cucu di Zurich, saya disapa oleh seorang jurutera Melayu yang bekerja dengan syarikat penjana tenaga bebas (IPP) Malaysia yang dimilik pelabur negara China.

Dia mengeluh. Saya nasihatkan dia agar bersabar kerana setidak-tidaknya pun dia ada kerja.

Dulu dia bekerja dengan Edra Global Energy milik 1MDB. Sekarang dia bekerja dengan syarikat yang sama tapi milik China General Nuclear Power Corporation (CGN).

Boleh jadilah wartawan NSTP yang bertanyakan soalan kepada saya itu tidak mendalami konspirasi 1MDB atau tak faham kerana ia terlalu kompleks dan tidak telus.

Saya telah banyak kali tulis tentang macam mana 1MDB beli tiga buah syarikat IPP tempatan dengan harga RM12 bilion dan tidak lama lepas itu jual kepada CGN pada harga RM9.8 bilion.

Cerita di atas hanya sebahagian kecil saja daripada contoh yang membezakan kerosakan zaman kleptokrasi Najib-BN dengan pemulihan yang sedang dilakukan dalam era PH yang belum pun berusia dua tahun.

Jadi tak betullah dakwaan bahawa kerajaan BN dan PH sama saja.

Tentang perangai dan prestasi sesetengah pemimpin PH yang seakan-akan sama dengan perangai dan prestasi pemimpin BN, itu cerita lain. Itu cerita manusia dan politik.

Yang ini saya tak susah hati sangat. Kita bagi nasihat. Kita tegur. Kita kritrik. Kita belasah. Kalau mereka tak ambil hal juga, bila sampai masa kita nyahkan mereka. Itu hak demokrasi kita.

Tapi kita tak boleh tolak-ansur dengan sistem pentadbiran dan tadbir urus negara.

Yang ini kita wajib perbaiki dan reformasikan supaya siapa pun yang perintah, penyakit rasuah, pecah amanah dan penyelewengan tak akan berulang. Tidak akan ada lagi seorang Perdana Menteri macam Najib.

– https://kadirjasin.blogspot.com/

.