GURINDAM DENDAM MARUAH 4.0

 Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Orang Melayu dulu tidak pamer keimanan tapi tinggi harga diri

UNDUR ke belakang ke zaman dulu

Waktu Melayu daif dan miskin

Namun bermaruah dan tahu malu

Langsai hutang sebelum dibacakan talkin

Kalau tidak mampu dilangsaikan

Dia mohon ampun, minta dihalalkan

Melayu dulu tidak berjubah serban

Keimanan tidak diperaga, dipamerkan

Tidak siapa dibiar kebuluran

Kerana hidup bermasyarakat, berjiran.

Itulah Melayu dulu

Yang tidak tinggi ilmu

Maruah bukan slogan

Budi dan iman bukan pameran

Tidak bercakap tentang jati diri

Tetapi utamakan harga diri.

Dilajukan ke hadapan

Ke zaman dunia tanpa sempadan

Revolusi industri empat kosong

Zaman kemerdekaan dan kebebasan

Mulalah Melayu berlagak sombong

Heboh dengan maruah dan perpaduan

Hak dan keistimewaan.

Zaman saya dulu

Tidak ada semua ini

Hidup mudah tapi padu

Kais pagi makan pagi

Kalau tidak mati

Petang kais lagi

Tidak mengemis

Tidak meminta

Bekerja bagaikan hamba

Itulah Melayu zaman saya

Yang bilangannya tidak ramai lagi

Banyak sudah mati.

Melayu hari in berbeza sekali

Bercakap tentang maruah

Tentang jati diri dan identiti

Tapi tiada masalah terima rasuah

Marah bangsa itu dan ini

Tapi bila dibagi rasuah

Terima dengan senang hati

Tak kira Cina atau India yang bagi.

Hutang pelajaran tak bayar

Yang utama rumah besar

Kereta besar

Ke luar negara bersiar-siar

Kemudian pakai jubah dan serban

Kononnya simbol keislaman

Pergi Makkah berulang kali

Marah kalau tak dipanggil haji

Buat Umrah setiap tahun

Tapi duit anak yatim pun dibalun.

Kalau maruah Melayu dipersenda

Jangan salahkan Cina dan India

Salahnya Melayu sendiri

Akan tetapi,

Jika Melayu ada jati diri

Ada harga diri

Berbudi pekerti tinggi

Siapa pun tidak boleh beli

Tak kira Bengali atau Punjabi.

Kalau Melayu tiada maruah

Akan hilang di bumi sendiri

Dijual-beli dengan murah

Kembali jadi hamba abdi.

Wallahuaklam. Terima kasih

– https://kadirjasin.blogspot.com/

.