PAS OH PAS….LEBIH BAIKLAH TAK PAYAH DATANG BERKEMPEN KE TANJUNG PIAI!!!

Ketika PRK Cameron Highlands di mana calon BN adalah daripada UMNO yang beragama Islam, manakala calon PH adalah DAP yang bukan Islam, Pas telah mengeluarkan fatwa wajib menyokong calon yang ada sifat keagamaan.

Justeru, Presiden Pas, Hadi Awang meminta pengundi Islam termasuk mereka yang bukan Islam agar tidak memilih calon dari DAP itu.

“Kita minta supaya pengundi-pengundi khususnya bagi penganut beragama Islam, wajib mereka menyokong calon yang ada sifat keagamaan.

“Calon yang mewakili BN yang kita kenal dimaklumkan bekas seorang pegawai polis. Beliau tidak pernah melakukan salah laku sepanjang perkhidmatannya.

“Dia dipujuk dan bukan dia minta untuk jadi calon supaya bertanding, dan mendapat persetujuan bukan sahaja Umno, MIC tetapi juga termasuk PAS.

“Minta persetujuan dan kita bersetuju melantik beliau menjadi calon dan memakai simbol Barisan Nasional, kerana kita mengambil kira undi Barisan Nasional undi yang terbesar (diperolehi) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, lalu,” ujar beliau.

Bagaimanapun, di Tanjung Piai di mana calon BN adalah daripada MCA dan bukan Melayu, sementara calon PH adalah Melayu daripada Bersatu, pendirian Pas tiba-tiba terus berubah.

Melalui kenyataan oleh Setiausaha Agung Pas, Takiyudddin Hassan, beliau mengumumkan pendirian Hadi menyokong calon MCA yang bukan Melayu itu.

Menurut Takiyuddin, sokongan itu selaras dengan persefahaman Muafakat Nasional yang dipersetujui PAS bersama Umno.

“Sokongan ini adalah selaras dengan persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada 14 September 2019 yang lalu.,” tambah beliau lagi.

Tidak cukup dengan itu, untuk mewajarkan lagi tindakan Hadi itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Dr Nik Zawawi Salleh menegaskan, larangan parti itu sebelum ini untuk mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya bukan bersifat mutlak, sebaliknya bergantung kepada keadaan tertentu.

Kata Dr Nik Zawawi lagi, penentangan parti itu terhadap calon bukan Islam berdasarkan kepada sentimen berlainan agama atau bangsa.

“Bagaimanapun Islam tidak melarang untuk berbuat baik dan melakukan keadilan kepada non-Muslim yang tidak melawan Islam.

“Walaupun calon dari Muafakat Nasional (gabungan PAS dan Umno) yang diwakili oleh BN adalah non-Muslim, namun ia bukanlah terlarang secara mutlak,” tegasnya.

Tengok…hanya dalam tempoh tidak sampai setahun, pendirian Pas sudah berubah mengikut kepentingan selera serta nafsu politiknya.

Nampaknya, Pas boleh suka-suka saja mengeluarkan larangan mengundi calon bukan Islam jika tindakan itu memihak kepadanya dan di ketika yang lain membenarkannya pula menyokong calon bukan Islam kalau itulah kepentingan semasanya.

Di masa akan datang, jika Pas nantinya berkelahi dengan UMNO dan BN serta tiada lagi Muafakat Nasional dan bergerak sendirian, pastilah ketika itu akan keluar farwa baru lagi iaitu jatuh haram menyokong mana-mana calon bukan Melayu.

Adakah hukum Islam boleh diubah-ubah begitu saja?

Untuk itu, demi memelihara kesucian Islam, ada baiknya Pas tak payah datang sama sekali berkempen di Tanjung Piai nanti.

Sementara Pas tentunya akan berkempen menyokong calon MCA yang pernah mengeluarkan kenyataan menolak hukum hudud, umat Islam seluruh negara tentunya masih tidak lupa fatwa yang pernah dikeluarkannya di Cameron Highlands dahulu.

Bermakna, jika Pas turun berkempen juga kedatangan itu tidak lebih hanya untuk mempermain-mainkan hukum Islam semata-mata.

– https://shahbudindotcom.net

.