BURUK BENAR JADINYA BILA PERANGAI PH AKHIRNYA TAK UBAH MACAM UMNO DAN BN

Dalam kehangatan kempen PRK Tanjung Piai yang sedang berjalan sekarang, tidak seperti beberapa pilihanraya sebelum ini, PH yang sudah menjadi kerajaan kali ini nampaknya turut ghairah memberi sumbangan wang tunai kepada pengundi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada SRJK (C) Pei Chio, Kukup Laut, Tanjung Piai.

“Tak ada undang-undang di negara kita menyatakan boleh atau tidak memberi wang semasa PRK.

“Saya menteri, saya boleh (memberi sumbangan) bila-bila masa,” kata beliau merujuk tindakannya itu.

Kemudian, Menteri Besar Johor, Dr. Shahruddin Jamal pula mengumumkan bantuan khas RM1000 setiap seorang kepada nelayan Tanjung Piai yang terjejas dengan pembangunan di kawasan Johor Selatan.

“Pembayaran akan dibuat secara tiga fasa bermula pada minggu hadapan tetapi tarikhnya akan dimaklumkan oleh Exco nanti dan biasanya kami akan buat secara serahan tangan,” ujar beliau.

Selain pemberian tunai itu, beberapa menteri PH juga dikesan meluluskan peruntukan segera untuk Tanjung Piai seperti untuk kemudahan sukan, membaiki jeti, menaik taraf jalan dan macam-macam lagi.

Meskipun PH mempertahankan pemberian dan pengumuman projek pembangunan itu bukan suatu bentuk suapan politik, tetapi kononnya hanya kebetulan ada PRK di Tanjung Piai, soalnya mengapa segala bantuan itu hanya tertumpu di kawasan itu saja?

Mengapa peruntukan pembangunan, bantuan sekolah dan pemberian tunai kepada nelayan di kawasan lain tidak kedengaran diberikan pada waktu ini?

Apakah rakyat kawasan lain tidak memerlukan bantuan atau wang tunai?

Apa pun hujah yang PH cuba berikan, realitinya ialah apa yang mereka lakukan sekarang ini adalah satu bentuk suapan politik yang terang lagi nyata.

Janganlah cuba menafikan atau mahu berselindung di sebalik daun kering mengenai hakikat tersebut.

Yang lebih buruk lagi kerana perangai merasuah pengundi sewaktu PRK ini adalah sama seperti amalan UMNO dan BN sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

Sewaktu menjadi pembangkang ketika itu, mereka sentiasa menyerang dan mengutuk perbuatan UMNO dan BN memberi wang atau peruntukan ketika berkempen sebagai menyalahgunakan wang kerajaan dan tindakan yang salah di sisi undang-undang.

Tidak ada rasa malukah bila sekarang mereka melakukan perkara yang sama hanya kerana mentang-mentang sudah jadi kerajaan?

Di mana idealisme perjuangan mereka selama ini jika setelah menjadi kerajaan, perangai dan kelakuan sama saja seperti UMNO dan BN?

Apakah kata-kata sewaktu berada dalam pembangkang selama ini hanya suatu pendustaan semata-mata?

Atau segala-galanya sudah dilupakan berikutan sudah menjadi menteri dan menjalani kehidupan yang berbeza berbanding dahulu?

Yang menjadi kemusykilan, apakah PH tiada perkara lain yang mahu ditawarkan kepada pengundi untuk mencipta kemenangan selain daripada melakukan rasuah undi dan suapan politik kepada pengundi?

Di mana nilai dan asas perjuangan yang dilaung-laungkan selama ini?

Satu perkara yang pemimpin PH mungkin lupa – barangkali sebab sudah hidup mewah sekarang – UMNO dan BN tetap kalah PRU14 walaupun mereka melambakkan banyak wang dan peruntukan kewangan sewaktu musim berkempen dahulu.

Dalam banyak keadaan, mesti disedari bahawa rasuah politik dan suapan undi bukanlah jaminan kepada kemenangan dalam perjuangan.

Malah, ia tidak lebih merupakan titik hitam yang mengotorkan perjuangan dan akhirnya membawa kepada kejatuhan.

Apakah dalam hal ini PH mahu menjadikan Tanjung Piai suatu permulaan kepada kejatuhannya sebagai kerajaan?

– https://shahbudindotcom.net/

.