DALAM PH, BUKAN KUASA PERDANA MENTERI MENENTUKAN PENGGANTINYA

Walaupun selalu menyebut akan menunaikan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim sebagaimana perkara itu merupakan konsensus bersama Majlis Presiden PH, tetapi Tun Mahathir Mohamad nampaknya terus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berkenaan dengannya.

Jika sebelum ini beliau kerap berbeza-beza pendirian berhubung tempohnya memegang jawatan Perdana Menteri, kini perrkara lain pula disentuhnya.

Dalam interbiu terbaru dengan Financial Times di Bangkok, di sebalik mengatakan tetap akan mengotakan janji dan tiada tempoh masa bila akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, Tun Mahathir turut menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan salah dalam memilih penggantinya.

Kata Tun Mahathir lagi, beliau bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu berhubung pemilihan pengganti Perdana Menteri.

“Saya buat banyak kesilapan melantik pengganti… Jadi saya tidak mahu buat silap lagi kali ini.

“Sesiapa pun akan rasa berdebar apabila hendak menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada penggantinya,” kata beliau lagi.

Kenyataan Tun Mahathir ini bukan saja pelik, bahkan sebenarnya amat-amat mengelirukan.

Harus disedarinya bahawa beliau kini menjadi Perdana Menteri dalam era PH yang berbeza sama sekali dengan zaman BN sebelum ini.

Dalam zaman BN, memanglah seseorang Perdana Menteri dengan kuasa terkumpul ditangannya boleh menentukan siapa penggantinya, bahkan bebas memecat dan menghantar ke penjara sesiapa yang dilihat memberi ancaman kepadanya.

Tetapi, di era PH, kuasa menentukan pengganti Perdana Menteri bukan lagi terletak pada Perdana Menteri, tetapi terletak dalam bidang kuasa Majlis Presiden menentukannya.

Bahkan, dalam konteks pengganti Tun Mahathir, calon pengganti beliau sudah pun ada iaitu Anwar yang telah ditetap serta dipersetujui dalam Majlis Presiden sebelum PRU14 lagi.

Bermakna, Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri tiada hak untuk menentukan pengganti yang lain selain Anwar tanpa mendapat persetujuan daripada Majlis Presiden PH.

Jadi, tidakkah pelik dan mengelirukan bunyinya jika Tun Mahathir masih mahu bercakap soal kebimbangan atau mungkin melakukan kesilapan dalam memilih penggantinya?

Apakah maksud beliau sebenarnya?

Apakah Tun Mahathir fikir beliau masih Perdana Menteri zaman BN lagi?

Lagi pun, kesilapan masa lalu beliau dalam memilih penggantinya adalah kerana keputusannya itu hanya dibuatnya secara sendirian dan mungkin bersama dengan kroni-kroninya saja.

Bagaimanapun, dalam keputusan memilih Anwar sebagai penggantinya, ia diputuskan secara konsensus oleh Majlis Presiden yang memberi makna, ia dipersetujui oleh pemimpin utama parti-parti yang bergabung dalam PH.

Selepas Anwar menjadi Perdana Menteri nanti, beliau juga tiada kuasa secara sendirian memilih penggantinya kerana ia tetap merupakan kuasa Majlis Presiden menentukannya.

Kesimpulannya, pemilihan pengganti Perdana Menteri era PH adalah hasil keputusan daripada “banyak kepala” dan ia tentulah jauh berbeza dengan keputusan mutlak melalui “satu kepala” saja sepertimana zaman BN dahulu.

– https://shahbudindotcom.net/

.