PERTANYAAN KEPADA HISHAMMUDDIN, SYARIKAT SIAPA DIBERI KONTRAK BEKAL HELIKOPTER?

Berikutan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyatakan kementeriannya sedang menimbang untuk membawa ke mahkamah berhubung pembelian enam helikopter bernilai lebih RM300 juta oleh pentadbiran terdahulu, namun masih belum diterima, perkara itu segera mengundang respon pantas daripada bekas Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein.

Beliau mempertikaikan kenyataan Mohamad Sabu itu dengan mendakwa ia sengaja dijadikan polemik serta isu.

“Sebenarnya tidak sampai atau tidak mahu terima? Kalau betul telah 98 peratus siap dan sudah dibayar, terima sahajalah helikopter tu.

“Apa masalahnya lagi sampai perlu tangguh, kemudian reka pelbagai isu dan polemik?

“Ini yang saya sering sebut sebelum ini, jangan disebabkan hendak bermain politik, keselamatan rakyat Sabah diperjudikan,” katanya katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Bagaimanapun, dalam jawapan balas kepada Hishammuddin oleh Kementerian Pertahanan semalam, isu itu nampaknya lebih daripada yang kita jangkakan.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, kelewatan penerimaan helikopter tempur ringan MD530G kerana ia mengalami pelbagai masalah teknikal dengan syarikat pembuat asal (OEM).

“Semasa pembinaan helikopter tersebut, kerajaan telah mengkaji semula kesesuaian alatan serta spesifikasi dan mendapati pindaan dan perubahan perlu dibuat agar helikopter yang diterima memenuhi keperluan agensi.

“Berdasarkan kepada kontrak asal, syarikat telah gagal mematuhi obligasi utamanya iaitu menghantar enam buah helikopter.

“Tarikh penghantaran bagi helikopter tersebut juga telah dipinda sebanyak tiga kali, namun tiada sebuah helikopter pun yang telah diserahkan kepada kerajaan sehingga hari ini,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut Kementerian Pertahanan juga, kerajaan telah membuat pembayaran kepada syarikat itu sebanyak RM112.6 juta yang bersamaan dengan 35 peratus daripada RM321.9 juta nilai keseluruhan kontrak.

Berdasarkan jawapan Kementerian Pertahanan itu, jelas ternampak ada sesuatu yang tidak kena dalam kontrak membekalkan helikopter tempur yang dibuat semasa Hishammuddin menjadi Menteri Pertahanan.

Sumber-sumber yang biasa dengan Kementerian Pertahanan menyebut, masalah utama kelewatan adalah kerana speaifikasi helikopter yang dihantar berbeza dengan yang ditempah dan ia menjadi sebab utama mengapa kerajaan enggan menerimanya.

Itulah juga yang dikatakan menjadi punca mengapa tarikh penghantaran telah dipinda sebanyak tiga kali, tetapi gagal diserahkan sehingga sekarang.

Kerajaan diberitakan berminat membeli helikopter tempur itu sewaru menyaksikan demonstrasinya ketika Pameran LIMA di Langkawi.

Walaubagaimanapun, helikopter yang dihantar kepada kerajaan dikatakan bukanlah helikopter yang melakukan demonstrasi tersebut.

Dalam bahasa yang mudah, sumber itu memberitahu, perumpaannya ibarat yang ditempah adalah helikopter tempur, namun yang dihantar tidak lebih seperti helikopter peninjau sahaja.

Di sebalik ura-ura Mohamad Sabu mahu mengambil tindakan undang-undang kepada syarikat penbekal dan ia kemudian mendapat reaksi pantas daripada Hishammuddin, seolah-olah ada yang sesuatu yang menarik mengenai kontrak itu.

Kenapa Hishammuddin tampak beria-ia mempertahankan helikopter itu sudah pun disiapkan dan sepatutnya diterima saja oleh kerajaan?

Kepada Ahli Parlimen Sembrong itu, ingin ditanyakan, bagaimana kerajaan mahu menerima  helikopter tersebut jika spesifikasinya tidak sama dengan yang ditempah?

Selain itu, oleh kerana kontrak lumayan itu ditandatangani sewaktu beliau menjadi Menteri Pertahanan, bolehkah Hishammuddin menjelaskan siapakah pemilik syarikat yang dianugerahkan membekal helikopter tersebut?

Benarkah sepertimana perbualan umum di merata tempat – dari kedai kopi hingga ke lounge Parlimen – yang mengatakan kontrak itu dianugerahkan kepada salah seorang kroninya yang difahamkan dalam waktu yang sama adalah juga merupakan pegawainya?

Benarkah juga dikatakan, ketika kemelut penghantaran berlaku dengan kerajaan, syarikat itu telah pun dijual kepada pihak lain – tentunya dengan tujuan untuk mengambil untung secara mudah dan atas angin – dan ia dikatakan menjadi faktor penghantaran helikopter terus tersangkut sehingga sekarang?

– https://shahbudindotcom.net/

.