BELANJAWAN YANG SEPI….

Petang ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen.

Tetapi, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, baik ketika era BN atau ketika Guan Eng buat pertama kali membentangkan belanjawan PH tahun lalu, tahun ini semuanya nampak sepi sesepi-sepinya.

Baik di pihak kerajaan, swasta, pegawai kerajaan, orang awam dan masyarakat umum, hampir tidak ada yang membicarakan tentang harapan atau permintaan tentang Belanjawan 2020 kali ini.

Apakah dalam keadaan ekonomi suram ketika ini, rakyat jadi tak berminat lagi kepada belanjawan?

Di pihak menteri sendiri, hanya satu dua orang saja yang bercakap tentang belanjawan dan permintaan kementerian yang diharap akan ditunaikan oleh Menteri Kewangan.

Riuh rendah tentang harapan kepada bonus hampir tidak kedengaran, malah dialog belanjawan yang bertujuan mendapat input pelbagai sektor barangkali sudah pun tinggal kenangan.

Di media sosial pula, hanya bermula pagi ini baru ada terlihat posting-posting berkaitan belanjawan, manakala hari-hari sebelumnya lebih dipenuhi dengan perkara-perkara yang lain.

Apa sebenarnya harapan rakyat kepada belanjawan kali ini?

Pembentangan belanjawan adalah berkait rapat dengan pengurusan serta hala tuju kerajaan serta kehidupan rakyat seluruhnya pada tahun yang mendatang.

Jika positif dan banyak benda-benda baik yang diumumkan, kesimpulan mudahnya ialah kerajaan dalam keadaan baik dan mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Sebab itu, tahun demi tahun sebelum ini, hari pembentangan belanjawan adalah dinanti-nantikan oleh semua orang dan ramai yang tidak mahu terlepas peluang menontonnya secara langsung melalui kaca TV.

Namun, nampaknya tidak lagi pada tahun ini. Ramai yang sudah tidak berminat, bukan saja memperkata dan menonton siaran langsungnya, malah mengambil tahu pun tidak mahu lagi.

Lebih mengejutkan, wakil GPS Sarawak pula mengumumkan mereka tidak akan menghadiri pembentangan belanjawan petang ini.

Apa sudah jadi?

Apakah rakyat semakin putus harapan kepada kerajaan pimpinan Tun Mahathir Mohamad?

– https://shahbudindotcom.net/

.