UMNO PERLU ADAKAN MAJLIS PALUAN BERUNDUR
ELAIN dari Annuar Musa yang diundang secara rasmi sebagai mewakili Umno ke Kongres Maruah Melayu (KMM), ada dua sosok daripada Umno yang juga turut kelihatan dan hadir sama. Mereka dimaksudkan itu bekas Ketua Pemuda Umno Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Hishamuddin dan Khairy turut hadir di kongres Maruah Melayu. |
Kehadiran mereka berdua ini tampak lebih lunak dan tidak berlebihan berbanding kehadiran Annuar yang nampak seakan pelahap menagih kasih daripada Dr Mahathir Mohamad.
Di sini saya nak bercakap pasal parti Umno dan masa depannya sedikit. Berkebetulan kedua sosok itu hadir, elok kalau saya memberi sedikit pandangan peribadi daripada orang berada di luar parti kebangsaan itu ke atas mereka berdua yang kini seolah dipencilkan oleh Umno.
Bekas Ketua Pemuda.
Hishamuddin seperti menyendiri, dan keputusan tidak mahu bertanding Naib Presiden dilihat sebagai tindakan untuk tidak mahu memikul beban Umno yang kalah dalam pilihan raya. Manakala Khairy Jamaluddin pula yang turut merebut jawatan Presiden Umno, dianggap menunjukkan signal jelas kepada penolan kepada kepimpinan Zahid Hamidi. Jika Khairy menghormati Zahid beliau sepatutnya bertanding merebut kerusi Naib Presiden.
Apakah apabila Hishamuddin tidak bersedia berada dibawah Zahid sebagai presiden maka anak perdana menteri ke 3 itu juga mengambil sikap sama dengan Khairy? Kalau begitu elok mereka berdua berfikir dan berkira untuk berkapuh bagi meneruskan perjuangan bangsa dan negara menerusi Umno?
Hari ini Hishamuddin dan Khairy tidak diberikan peranan. Khairy lebih senang menjadi pengkritik parti dan juga kerajaan dalam parlimen. Manakala Hishamuddin pula jadi pemerhati penuh ketaa’kulan kepada Umno. Sebagai anak kepada bekas PM dan cucu kepada pengasas dan presiden Umno, Onn Jaafar (foto) tentu darah yang mengalir dalam tubuhnya masih darah Hussein dan Onn Jaafar. Hishamuddin tidak boleh melarikan (escape) diri dan menafikan yang DNA nya adalah DNA perjuangan.
Ke mana beliau pergi beliau akan ditanya, apakah peranan dan usahanya mewarisi pusaka datuk dan ayahnya itu. Hubungan itu menyebabkan Hishamuddin akan tetap disoal dan akan ditanya. Jika beliau melarikan diri, tidak mempedulikan kepada nasib bangsa dan negara, beliau akan dikecam. Beliau akan dianggap sebagai anak dan cucu tidak bertanggungjawab meneruskan perjuangan yang patut diwarisi.
Kerana hakikat itu, jika beliau dianggap sebagai tidak mempedulikan Umno, cuma mahu mencari laba daripada perjuangan Umno ia tidak benar sama sekali. Semasa dalam perhimpunan di kawasannya, Sembrong beliau telah menyatakan akan komitmennya kepada Umno. Dan beliau juga sebenarnya masih ada sokongan dan rakan bersamanya apabila lebih 40 ketua bahagian turut sama berhimpun di Sembrong.
Yang berlaku sekarang ini bukan H2O mahu melarikan diri daripada Umno tetapi dia dinafikan. Misalnya perlambatan untuk melantiknya sebagai Setiausaha BN adalah bukti jelas macam mana H2O tidak dihargai. Kelambatan itu sengaja mahu mengeluarkan beliau daripada rahim perjuangan Umno.
Sikap ditunjukkan Zahid dalam hal ini juga jelas. Kenapa semasa hendak melantik Annuar sebagai Setiausaha Agung Umno dan Nazri Aziz sebagai Setiausaha BN beliau boleh terus melantiknya tanpa membuat apungan bagi menerima pandangan umum. Jelas di sini Zahid double standard dan ada motif tertentu.
Berlatarkan sejarah.
Politik sudah berubah sesuai dengan dinamikanya. Lantaran itu Umno juga perlu dipimpin oleh mereka yang berlatarkan sejarah perjuangan, kerana sentimental sejarah itu mengukuhkan tali perjuangan. Juga oleh mereka yang bermaruah serta terhindar dan jauh dari skandal dan ego. Untuk ini mereka yang terpalit dengan skandal, rasuah, pengubahan wang haram, pemakan harta anak yatim dan lain-lain sebenarnya, tidak relevan lagi untuk memimpin Umno menjadi parti bermaruah.
Semua mereka yang kini dipanggil menghadirkan diri ke mahkamah bagi menjawab puluhan pertuduhan sudah tidak relevan lagi. Mereka tidak perlu dan pantas lagi memimpin parti Melayu yang bersendikan agama. Selagi Umno mengekalkan tokoh-tokoh seperti itu maka selama itulah Umno dilihat sebagai kotor, tidak bermoral dan mirip kepada kejahatan. Mereka sebegitu bukan aset kepada parti tetapi menjadi liabiliti.
Sehubungan itu jika Umno ingin kembali cemerlang, tokoh-tokoh yang tidak terkait dengan skandal, penyelewengan dan masih ada integriti perlu mengambil alih. Disinilah kita lihat sosok seperti Hishamuddin dan Khairy Jamaluddin adalah pilihan tepat bagi Umno. Ahli-ahli Umno perlu melihat aset yang ada ini untuk menyelamatkan parti terbesar bangsa Melayu itu.
– http://msomelayu.blogspot.com
.