BOLEHKAH PENGAKUAN TAK MASUK CAMPUR TUN DAIM INI DIPERCAYAI?

Tun Daim Zainuddin berkata, beliau tidak akan masuk campur dalam soal peralihan kuasa daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

“Saya tak ingin masuk campur dalam hal itu, biar mereka selesaikannya.

“Kami tak mahu masuk campur,” katanya lagi.

Bolehkah sesiapa percaya pengakuan Tun Daim ini?

Atau pengakuan ini merupakan isyarat terbalik daripadanya iaitu beliau memang masuk campur berkenaan perkara itu?

Sebagaimana yang kita sedia maklum, Tun Daim bukan saja paling rapat dengan Tun Mahathir, malah merupakan sahabat kepercayaan Perdana Menteri.

Ketika Tun Mahathir mula berbaik dengan Anwar sebelum PRU14, Tun Daim adalah orang kepercayaannya yang dihantar ke penjara Sungai Buloh untuk berunding dengan Presiden PKR itu.

Pernah diakui oleh Tun Daim sendiri, beliau terpaksa menghidupkan lesen guamannya bagi memudahkan urusan berjumpa Anwar di penjara itu.

Dalam pengakuannya juga, Tun Daim menyebut beliau pergi sebanyak enam kali ke penjara untuk berjumpa dan berunding dengan Anwar bagi urusan melicinkan gerakan menumbangkan UMNO dan BN pada waktu itu.

Oleh itu, di ketika isu peralihan kuasa terus menjadi isu serta teka-teki dan Tun Mahathir masih lagi keberatan menetapkan tarikh pengundurannya, munasabahkah pengakuan Tun Daim itu untuk diterima begitu saja?

– https://shahbudindotcom.net/

.