KALAU BERUMAH DI PINGGIR KUMBAHAN

APABILA timbul isu kononnya orang Pam makan duit Umno, saya dengar berbagai-bagai cerita di sebaliknya. Saya juga ditanya secara peribadi apakah tuduhan itu benar atau tidak.

Sebelum ini cerita orang Pam makan duit Umno itu dianggap sebagai fitnah. Ia adalah taktik jahat untuk melemahkan Pam. Paling menyedihkan lagi kerja fitnah itu ditunding kepada rakan mereka sendiri yakni orang-orang Amanah, yang mereka gelar sebagai “Pan”.

Apabila SPRM mula memanggil seorang demi seorang pemimpin Pam berhubung hal itu, maka persepsi mula berubah. Sudah ada orang percaya yang tuduhan itu sebagai benar. Orang mula berfikir mungkin ada sebab konkrit untuk SPRM memanggil dan menyiasat mereka.

Antara yang dipanggil dan disiasat oleh SPRM ialah Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, ahli parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan dan lain-lain.

Setelah itu lalu keluarlah beberapa senarai nama yang dipanggil untuk disoal siasat SPRM itu sebagai orang berpotensi kena tuduh. Nama-nama itu pun diratib dan didoakan agar diheret segera ke Mahkamah. Dari perspektif politiknya orang-orang itu sudah busuk.

Berbeza dengan saya. Saya tidak fikir begitu. Saya tetap yakin dan percaya apa yang dituduh itu, sangat mustahil kebenarannya. Jumlah yang disebut oleh Sarawak Report sebanyak RM90 juta kesemuanya, itulah jumlah wang yang ditelan oleh orang Pam. Wang itu dikatakan wang 1MDB.

Walaupun sudah ada yang dipanggil, tetapi saya menolak mereka tidak akan dibawa masuk sampai ke kandang orang salah. Saya tidak fikir kerana mereka akan dilindungi atas sebab-sebab tertentu kalau pun asas-asasnya ada. Hanya seorang sahaja nama yang saya sebut dan meramalkan akan terjebak dengan kasus itu ialah Nasaruddin Mat Isa. Ada sebab kenapa saya menamakan atau menyebut nama ini. Tunggu ulasannya.

Dan hari ini, apa ditunggu itu sudah pun berlaku. Nasaruddin sudah diheret ke mahkamah dan akan bersimpuh dalam kandang orang salah kemudian nanti, bagi menjawab segala pertuduhan ke atasnya. Nasaruddin dituduh melakukan 30 pecah amanah membabitkan jumlah sebanyak RM3.6 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM302,069.60. Wau… boleh tahan juga.

Tuduhan itu dibuat mengikut akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jumlah pertuduhan dikenakan ke atas Nasaruddin boleh tahan juga, ia mengikuti rapat dengan pertuduhan ke atas Presiden Umno Zahid Hamidi dan bekas presiden Umno Najib Razak. Iyalah orang bertaraf presiden dan bekas presiden tentu menghadapi risiko besar.

Nasaruddin adalah bekas timbalan presiden Pas, bekas ahli parlimen  Yan Kedah dan Bachok Kelantan.

Saya tidak mahu ulas apakah kesudahannya nanti. Sebagai orang pernah kenalinya dari dekat, hanya berdoa semoga beliau tenang menghadapi segala pertuduhan itu. Saya yakin dan percaya, kebenaran tetap akan hadir walaupun lewat. Itu lumrah dan jadi sunahtullah.

Cuma apa yang hendak diulaskan di sini, sebagai menjawab kenapa saya hanya menyebut namanya kerana melihat kepada gelagat dan cara beliau berpolitik. Melihat kepada stail hidupnya yang mempamerkan kemewahan. Yang mencintai kesegakan dan memiliki barang-barang yang berharga.

Misalnya untuk makan pagi dengan saya pun di hotel bertaraf lima bintang, dan jarang makan di warung-warung mamak. Beliau seorang mementingkan kebersihan dan kualiti? Sifat dan ciri-ciri itu bukan sifat orang Pam yang tawaduk dan zuhur, berserban lusuh dan jubah hampak, tetapi sifat itu sifat dan perangai orang Umno.

Bukan itu sahaja, paling mencemaskan ialah stail beliau politik yang cenderung kepada “kebendaan”. Beliau dikesani awal lagi mahu Pam berkerjasama dengan politik. Dalam mendekatkan Pam dengan Umno beliau adalah orang yang memainkan peranannya. Beliaulah paling hampir dengan pemimpin Umno.

Pemimpin Umno bukan najis yang tidak boleh didekati tetapi ia perlu diwaspadai. Dari sisi politik Umno dengan Pam, ia boleh dianggap sebagai kolam kumbahan jika kita tidak masuk ke dalamnya pun bau hamis dan loya kolam itu tetap singgah di hidung kita.  Sekarang bukan singgah lagi tetapi hinggap atas belakang.

Di sinilah beliau saya lihat tidak berhati-hati dan memikirkan apakah implikasinya. Umno adalah parti yang hidup dengan kebendaannya. Ideologinya ialah material. Sejak lama dahulu lagi Umno menjadikan duit sebagai alat untuk menawan penyokongnya. Umno menawan musuhnya dengan kebendaan dan harta benda. Jadi apabila beliau bergelewat di dapur Umno makan sedikit sebanyak pasti terkena arang.

Saya yakin dan percaya pertuduhan dikenakan ke atas Nasaruddin itu adalah hasil beliau berkawan baik dengan Umno dan Najib. Nasharuddin dilantik oleh Najib mempengerusi sebuah NGO kemanusiaan dimana kedudukan ini satu penghormatan daripada Najib yang ada motifnya.

Sebagai titiknya, pendakwaan Nasaruddin itu memberi kesan negatif kepada Pam. Ia telah meleburkan rekod bersih Pam yang berbangga yang ahli dan pemimpinnya tidak pernah dikaitkan dengan rasuah apa lagi dituduh di mahkamah. Diharap Setiausaha Agung Pam Takiyuddin Hassan akan mengeluarkan satu kenyataan penjelasan bagi mengelakkan tuduhan itu dikaitkan dengan parti agama itu.

Dan yang menggaru kepala kita kini apakah nama-nama yang disenaraikan bakal diheret ke mahkamah (yang saya tidak menayikini ianya akan berlaku itu), juga akan mengikut jejak Nasaruddin. Jika dikenangkan kepada bidalan berbunyi, lulus jarum lulus kelindan, tidak mustahil selepas ini akan ada lagi pemimpin Pam akan diheret ke mahkamah.

Yang pastinya perbicaraan Nasaruddin nanti akan memberi gambaran apa yang kini masih dalam kekaburan itu.

– http://msomelayu.blogspot.com

.