UTUSAN EDISI BARU PRO BERSATU?

Hanya beberapa jam selepas diisytiharkan “mati”, Utusan akhirnya diketahui belum mati lagi.

Ia mungkin hanya pengsan atau koma saja buat sementara ini.

Yang diisytiharkan “mati” hanyalah syarikat induk Utusan melalui permohonan pembubaran secara sukarela selepas syarikat itu tidak dapat membayar hutang serta gaji pekerjanya selama beberapa bulan sebelum ini.

Bagaimanapun, sebelum syarikat induk dimufliskan, syarikat yang memegang lesen penerbitan Utusan iaitu Dilof Sdn Bhd telah dijual kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Syed Mokhtar Albukhary.

Dilof yang kini dimiliki 70 peratus pegangan sahamnya oleh Aurora Mulia segera ditukar nama kepada Media Mulia Sdn Bhd.

Sebelum ini, Syed Mokhtar sudah pun menguasai Media Prima yang menerbitkan akhbar New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro serta TV3 dan beberapa saluran TV lain.

Dengan itu, Syed Mokhtar kini adalah penguasa terbesar media di negara ini.

Melalui penguasaannya sebanyak 70 peratus dalam Media Mulia, Syed Mokhtar difahamkan akan menerbitkan semula Utusan dengan wajah baru tidak lama lagi.

Pengerusi Eksekutif Utusan, Abdul Aziz Sheikh Fadzir mengesahkanUtusan akan terus “hidup” memandangkan firma yang dikaitkan dengan jutawan Syed Mokhtar itu merancang untuk melancarkan sebuah penerbitan baru dengan menggunakan lesen penerbitan dan percetakan yang baru dimilikinya itu.

“Utusan akan terus hidup. Kami membubarkan syarikat induk tetapi pemilikan lesen percetakan telah diperolehi oleh Aurora Mulia dan mereka akan melancarkan penerbitan baru dalam masa terdekat,” katanya.

Ikut logik, tujuan Syed Mokhtar, taikun yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad membeli pegangan dalam Media Mulia tentulah untuk membolehkannya menguasai akhbar Utusan.

Dengan pemilikan itu, daripada menjadi milik UMNO, Utusan kini adalah milik Syed Mokhtar.

Persoalan kini, apakah dengan wajah baru yang bakal diterbitkan nanti, sama ada masih mengguna pakai nama Utusan atau nama lain, akhbar itu secara tidak langsung akan menjadi media yang pro Bersatu dan kerajaan yang dipimpin oleh Tun Mahathir?

Dalam erti kata lain, sementara UMNO hilang sebuah media yang selama ini banyak berjasa kepadanya, apakah dalam diam-diam Bersatu sudah memilikinya medianya sendiri?

Yang hampir pasti, jika Utusan wajah baru itu bakal digunakan sebagai media yang pro Bersatu dan kerajaan semasa, sebahagian besar daripada lebih 800 kakitangannya, terutama beberapa pengarangnya yang diketahui totok UMNO dan anti Tun Mahathir selama ini,!peluang mereka untuk diambil bekerja semula barangkali tentulah tersangat tipis sekali.

Kecuali jika cepat-cepat bertaubat dan sedia menukar kiblat.

– https://shahbudindotcom.net

.