TUBUH PARTI BARU, PILIHAN PALING MUNASABAH BUAT AZMIN

Walaupun dinafikan oleh Zuraidah Kamaruddin, dakwaan Dr Syed Husin Ali bahawa Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sedang merancang menubuhkan sebuah parti baru bagi meneruskan perjuangan politiknya adalah sesuatu yang logik dan banyak kemunasabahannya.

Dilihat daripada pelbagai sudut, itulah satu-satunya pilihan yang ada untuk beliau dan penyokongnya kalau mahu terus hidup dalam politik negara ini.

Memilih kekal dalam PKR sudah merupakan “jalan mati” buat Azmin. Segala ruang untuknya bernafas boleh dikira sudah tertutup.

Beliau sama ada akan dipastikan kalah dalam pemilihan parti yang seterusnya atau mungkin dalam waktu terdekat ini bakal dipecat daripada PKR berikutan tidak pernah hadir mesyuarat parti sejak November tahun lalu lagi.

Peraturan dalam PKR sudah jelas bahawa sesiapa yang tidak hadir mesyuarat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa sebab boleh menyebabkan seseorang itu gugur jawatannya secara automatik.

Kalau Azmin sudah tidak boleh hidup lagi dalam PKR, para penyokongnya juga akan turut mati bersama dan ia tentunya merupakan kerugian dari segi perjuangan dalam usianya yang masih dikira muda ketika ini.

Menyertai parti lain, sama ada Bersatu atau Gerakan pula tidaklah semudah yang dilihat di depan mata.

Dalam Bersatu, walaupun Azmin mempunyai hubungan baik dengan Tun Mahathir Mohamad, menyertai parti Melayu itu bermakna beliau tidak boleh membawa penyokong bukan Melayunya dalam PKR menyertai parti baru pilihannya itu.

Dalam keadaan ini, selain merugikan dirinya yang kehilangan penyokong setia, ia juga dilihat tidak baik bagi imej dirinya sebagai seorang pemimpin.

Faktor lain yang menyukarkan Azmin jika memilih Bersatu ialah jawatan apa yang mahu disandangnya dalam parti itu, sedangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sudah diisi oleh Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir dengan baik dan tiada masalah kepada parti.

Memandangkan dalam PKR, Azmin adalah Timbalan Presiden, tentulah tidak munasabah jika beliau memegang jawatan yang lebih rendah dalam Bersatu seperti Naib Presiden dan lain-lainnya.

Maka, Bersatu bukanlah pilihan yang wajar buat Azmin.

Begitu juga dengan menyertai Gerakan kerana di samping ia dilihat mesra dengan BN, parti tersebut juga terkenal dengan parti yang dikuasai oleh orang Cina, walaupun ia adalah parti berbilang kaum dari segi keahliannya.

Tidaklah mudah untuk Azmin mengubah imej parti itu, meskipun jika sekiranya kepimpinan sedia adanya bersetuju menjadikannya Presiden Gerakan yang baru.

Menjadi Timbalan Presiden Gerakan dengan Dominic Lau terus kekal sebagai Presiden pula hanya akan menjadikan Azmin terundur kedudukannya kerana parti itu jauh lebih kecil berbanding PKR serta berada di luar kerajaan.

Sama seperti Bersatu, menyertai Gerakan bukan pilihan yang mudah buat Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Akhirnya, dengan PKR sudah merupakan jalan mati baginya, manakala menyertai Bersatu atau Gerakan ternampak tidak munasabah serta lebih banyak susah, pilihan yang tinggal buat Azmin hanyalah menubuhkan sebuah parti baru yang berbilang kaum juga.

Dengan parti baru itu nanti, Azmin bukan saja boleh membawa penyokong setianya dalam PKR ketika ini, malah tidak mustahil mampu menarik lebih ramai penyertaan daripada rakyat biasa yang berbilang kaum.

Tetapi, Azmin mesti cepat mengusahakan penubuhan parti baru itu iaitu sebelum berlakunya peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar.

Jika lambat, apa lagi jika setelah Anwar menjadi Perdana Menteri, segala-galanya tidak lagi bermakna bagi perjuangannya mengejar cita-cita menjadi Perdana Menteri.

– https://shahbudindotcom.net

.