SSK MASUK PKR TIADA KAITAN DENGAN LOMPAT PARTI

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia era BN, Salleh Said Keruak akhirnya disahkan sudah menyertai PKR, baru-baru ini.

Berikutan kedudukannya sebagai bekas pemimpin UMNO dan pendokong kuat Najib Razak sebelum ini, ramai yang melahirkan rasa marah dan tidak setuju dengan kemasukkan Salleh ke dalam PKR itu.

Malah, ada yang menganggap PKR tidak patut sama sekali menerima kemasukannya.

Bagaimanapun, kemasukan Salleh harus dilihat dalam konteks yang berbeza berbanding sekian ramai bekas pemimpin UMNO yang meninggalkan parti itu dan berhijrah menyertai Bersatu sebelum ini.

Ini kerana Salleh bukanlah Ahli Parlimen atau Adun, sebaliknya beliau hanya orang biasa-biasa saja sekarang ini.

Pada Disember lalu, beliau adalah antara segerombolan pemimpin UMNO Sabah yang meninggalkan parti itu.

Tetapi, tidak seperti yang lain yang majoritinya memilih untuk menyertai Bersatu, Salleh tidak berbuat demikian dan memilih untuk tidak berparti buat seketika.

Hanya ketika inilah baru beliau memilih menyertai PKR.

Bermakna, Salleh hanyalah orang biasa yang memilih untuk meneruskan perjuangannya dalam PKR atas kepercayaan parti itu lebih sesuai dengan jiwanya.

Dengan kedudukan bukan sebagai MP atau Adun, kemasukan Salleh bukanlah termasuk dalam istilah lompat parti atau menyertai parti itu untuk mencari habuan, kedudukan atau jawatan bagi dirinya.

Tambahan lagi, PKR Sabah dan di peringkat cabang di negeri itu sudah ada struktur kepimpinan sedia ada, maka kemasukan Salleh tidak akan mengubah apa-apa.

PKR Sabah tetap dengan barisan kepimpinan sedia ada, manakala Salleh hanyalah ahli biasa saja.

Tidak harus ada perasaan bimbang atau curiga dengan kemasukannya itu, selagi beliau akur dengan sistem, falsafah serta perjuangan PKR.

– https://shahbudindotcom.net

.