BIAR SAJA MCA LAWAN BERSATU DI TANJUNG PIAI….

Sementara PH telah mengumumkan Ketua Bahagian Bersatu, Karmaine Sardini sebagai calonnya bagi PRK Tanjung Piai, BN masih lagi dalam kebuntuan berhubung siapa yang hendak diletakkan sebagai calon.

Dalam majlis pelancaran jentera pilihanraya BN semalam yang sepatutnya disekalikan dengan pengumuman calon, Presiden UMNO, Zahid Hamidi berkata, beliau telah “diarah” untuk tidak tidak berbuat demikian.

Sehubungan itu, katanya, pengumuman calon BN akan dibuat pada hari lain oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Hasni Mohamed.

Kenyataan Zahid Hamidi itu secara tidak langsung mengesahkan berlakunya pertikaian yang ketara antara UMNO dan MCA berhubung calon di Tanjung Piai.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Jefridin Atan dan Ketua MCA Tanjung Piai, Wee Jeck Seng adalah mereka yang terlibat dalam perebutan untuk menjadi calon itu.

Walaupun dalam beberapa pilihanraya lepas, kerusi Tanjung Piai ditandingi oleh MCA, tetapi UMNO berhasrat mahu bertanding di kawasan itu kali ini.

Di samping majoriti kemenangan PH dalam PRU14 lalu hanya 524 undi, ditambah dengan perkembangan politik semasa yang memperlihatkan sokongan pengundi kepada kerajaan makin merosot, ia dengan sendirinya menjadikan UMNO Tanjung Piai dan Jefridin tambah ghairah untuk merebut kerusi itu.

Mereka bukan saja yakin dapat memenangi PRK ini, tetapi difahamkan sudah ada ugutan akan memboikotnya jika MCA yang dipilih sebagai calon.

Berdasarkan hakikat bahawa Tanjung Piai memang kerusi MCA dan kepentingan jangka panjang BN untuk mendapatkan sokongan pengundi kaum Cina, Zahid Hamidi seharusnya tidak perlu berfikir panjang dan tidak memperdulikan sebarang ugutan yang cuba ditimbulkan.

Biar saja MCA bertanding sebagai meneruskan persefahaman yang sudah sekian lama terjalin antara parti-parti dalam BN.

Jika persefahaman itu dicabuli atas kepentingan nafsu, kehendak kerusi dan mahu bergelar YB, pengundi bukan Melayu di seluruh negara akan terus jauh hati terhadap BN.

Lagi pula, untuk apa UMNO bersungguh-sungguh mahukan kerusi Tanjung Piai dalam PRK ini kerana ia tidak mengubah apa-apa kedudukan kerajaan yang ada sekarang.

Bagi Bersatu, ia memang mahu mempertahankan Tanjung Piai kerana itu adalah kerusi yang dimenanginya dalam PRU14 lalu.

Tetapi, apa mustahaknya untuk UMNO kerana menang atau kalah, tidak ada apa-apa yang berubah?

Bahkan jika UMNO bertanding dan katalah Jefridin dapat mengalahkah calon Bersatu, Karmaine, tetapi ia tetap akan membawa “kecederaan” kepada hati dan perasaan pengundi bukan Melayu di seluruh negara kerana UMNO dilihat mulai tamak dan tiada lagi kompromi dalam perjuangannya.

Dengan itu, tanpa sokongan bukan Melayu, mampukah BN memberi cabaran yang meyakinkan dalam PRU akan datang?

– https://shahbudindotcom.net/

.