UNTUK MAKLUMAN KHALID SAMAD, BUSUK IKAN BERMULA DARIPADA KEPALA

KUALA LUMPUR - 09 OCTOBER,2018. Khalid Abdul Samad Ministry of Federal Territories . Photo by :Low Yen Yeing

Dalam cubaan untuk mempertahankan Tun Mahathir Mohamad yang dipersalahkan banyak pihak berikutan kekalahan PH di Tanjung Piai, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, beban kekalahan itu adalah tanggungjawab bersama.

Menurut beliau, Tun Mahathir tidak patut dipersalahkan kerana keputusan dalam PH bukan dibuat oleh Perdana Menteri seorang, tetapi secara bersama dengan pemimpin lain.

“Ia tanggungjawab bersama.

“Terlalu senang meletakkan kesalahan pada seorang. Semua ada kelemahan dan kekurangan. Begitu juga kelebihan dan kekuatan.

“Tak mungkin Tun Mahathir melakukan sesuatu tanpa persetujuan kita bersama. Perkukuhkan kerjasama dan sama-sama perbaiki. Saya team player,” kata Khalid melalui ciapan di laman Twitternya.

Untuk makluman Khalid, walaupun kekalahan PH di Tanjung Piai cuba dikatakan sebagai tanggungjawab bersama, tetapi sebagai Pengerusi PH dan Perdana Menteri, beban pertanggungjawaban itu adalah terletak di atas bahu Tun Mahathir.

Lebih-lebih lagi, apabila sebahagian besar daripada punca kebencian atau penolakan pengundi itu bermula daripada perbuatannya.

Contohnya, menolak janji manifesto dengan mengatakan buku harapan bukan kitab suci, melengah-lengahkan reformasi institusi, berbelit-belit berkaitan janji serah kuasa, terlalu bermain politik dan pelbagai lagi adalah kesalahan Tun Mahathir yang nyata membuatkan rakyat mula meluat kepada kerajaan.

Bagi perkara-perkara yang lain yang bukan dimulakan daripada Tun Mahathir pula, sebagai ketua parti dan kerajaan, beban pertanggungjawaban itu tetap merupakan tanggungjawabnya.

Contohnya paling mudah, kalau sesebuah syarikat rugi, tentulah CEO yang dipertanggungjawab dan diletakkan beban kesalahannya, bukannya kerani, penyelia atau pekerja bawahan.

Yang ditukar atau dipecat juga adalah CEO, bukan kerani atau pekerja bawahan tadi.

Hakikat ini adalah sesuatu yang normal sebenarnya, lagi pun selalu kita dengar kata pepatah – ikan busuk bermula daripada kepala.

Dahulu di era BN, kenapa semua keburukan yang berlaku dalam parti dan kerajaan ketika itu diletakkan beban kesalahannya kepada Najib Razak?

Dan sekarang, kenapa pula di era PH ini cuba dielakkan untuk beban kesalahan diletakkan di bahu Tun Mahathir, sebaliknya dikatakan sebagai tanggungjawab bersama?

Adakah era BN dan PH sesuatu yang berbeza?

Sekarang ikan sudah mula kelihatan membusuk, adakah kepala mahu dibiarkan lagi?

– https://shahbudindotcom.net/

.