INI PULA DITUJUKAN KEPADA PAS DAN ‘ENAM JAHANAM’ UMNO

Semalam Anwar Ibrahim telah mengulas tentang mereka yang bercita-cita mahu memintas kedudukannya sebagai Perdana Menteri ke-8 menggantikan Tun Mahathir Mohamad.

Jawapan beliau itu boleh diimbas kembali di sini – https://shahbudindotcom.net/2019/10/25/harap-harap-mereka-mudah-faham.html

Hari ini beliau menjawab pula mengenai pendirian Pas dan enam Ahli Parlimen UMNO yang memberi sokongan kepada Tun Mahathir agar terus menggalas tanggungjawab sehingga tamat penggal.

Sambil tidak terkejut dengan pendirian mereka, Anwar berkata, sokongan pemimpin pembangkang itu tidak relevan memandangkan isu membabitkan perubahan pucuk pimpinan seharusnya dibawa dan diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Itu tidak mengapa (sokongan pembangkang termasuk PAS terhadap Tun Mahathir).

“Pembangkang biasalah, hendak timbulkan masalah. Dahulu semasa Barisan Nasional (BN), pembangkang tidak pula disuruh pilih calon Perdana Menteri.

“Ia bukan soal pembangkang. Saya ingat, isu itu juga sudah dijawab Presiden Bersatu? Muhyiddin Yasain, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta juga PKR.

“Parti yang berkuasa sekarang yang menentukan siapakah pimpinan yang akan mengetuai negara,” tegas Anwar yang juga merupakan Presiden PKR.

Makanya, sedarkah Pas dan enam Ahli Parlimen UMNO yang digelar “enam jahanam” itu dengan tindakan mereka yang sebenarnya tidak relevan itu?

Selain bagi Pas yang hanya buat kerja sia-sia, enam Ahli Parlimen UMNO terbabit lebih buruk padah yang mereka terima.

Bukan saja kecaman diterima di sana sini, malah Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin sendiri tidak mengalu-alukan “enam jahaman” itu datang berkempen di Tanjung Piai.

Mana mereka nak letak muka?

– https://shahbudindotcom.net

.