MUNGKINKAH MUHYIDDIN AKAN SEKALI LAGI MENGGEGAR MINTA DICEPATKAN JANJI?

Muhyiddin Yassin merupakan satu-satunya pemimpin Bersatu yang sentiasa konsisten dan tidak pernah berubah pendirian berhubung isu peralihan kuasa.

Presiden Bersatu dan Menteri Dalam Negeri itu sentiasa berpegang kepada janji dan persetujuan Anwar Ibrahim adalah pengganti tunggal yang dinamakan sebagai pengganti kepada Tun Mahathir Mohamad yang kini menginjak usia 95 pada tahun depan.

“Perkara ini sesuatu yang semua pemimpin PH telah duduk berunding dan cari kata sepakat…tak usah bergaduh.

“Saya rasa kita tidak boleh mengelak peralihan kuasa…jadi saya kata, biar perkara itu diteliti oleh pemimpin PH…elok berbincang…Tun Mahathir pemimpin utama…Kita tunggu,” katanya lagi.

Berhubung tempoh peralihan kuasa yang masih menjadi pertikaian, Muhyiddin berkata, perkara itu akan dibincangkan secara muafakat oleh PH.

Tetapi, tambah beliau, berdasarkan konsensus dan persetujuan bersama oleh para pemimpin PH, Anwar adalah calon Perdana Menteri ke-8.

Di sebalik ramai pemimpin Bersatu yang lain berbeza pendirian, malah sesetengahnya tanpa rasa malu mahu Tun Mahathir diberikan ruang berkhidmat hingga tamat penggal, tetapi Muhyiddin tetap dengan pendiriannya.

Malah ada di kalangan pemimpin dan ahli Bersatu yang menolak terus kedudukan Anwar sebagai pengganti kepada Tun Mahathir.

Tak tahu apa sebabnya ramai mereka itu tiba-tiba berubah nada, sedangkan kekuatan pembangkang sehingga berjaya menjadi kerajaan adalah diasaskan oleh Anwar sejak 1998 lagi, bahkan semua calon PH bersetuju menggunakan logo PKR untuk bertanding pada PRU14 lalu.

Persetujuan menggunakan logo PKR itu secara tidak langsung adalah pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan Anwar.

Dalam hal ini, sementara ramai pemimpin dan ahli Bersatu berubah nada, manakala Tun Mahathir seperti tidak jelas bila mahu menyerahkan kuasanya, keteguhan pendirian Muhyiddin adalah sesuatu yang harus dipuji.

Yang nyata, pendirian Muhyiddin itu tidak lain ialah kerana mahu PH ini terus kekal utuh dan bersatu sebagai pemegang kuasa di negara ini.

Jika janji dimungkiri, sebagaimana dalam banyak urusan lain di dunia ini, maka retaklah kesetiaan dan hancurlah persahabatan.

Kalau PH pecah dan berantakan, siapakah yang untung?

Mengimbas tentang Muhyiddin, beliau sebelum ini beliau pernah bertindak menggesa agar dipercepatkan peralihan kuasa daripada Tun Abdullah Badawi kepada Najib Razak.

Tarikh peralihan kuasa ketika itu pada awalnya dijadualkan pada Jun 2010, tetapi Muhyiddin melihat tarikh itu terlalu lewat dan bimbang jika Najib tidak cukup masa untuk berdepan PRU13.

Atas tindakan Muhyiddin bersuara itu, penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Najib akhirnya dipercepat dan dimuktamadkan pada April 2009.

Apakah, berikutan kekalutan yang nampaknya masih berterusan berhubung tempoh peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar sekarang ini, menjadi sesuatu yang mustahil untuk Muhyiddin sekali lagi melakukan kejutan sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Pak Lah sebelum ini?

– https://shahbudindotcom.net/

.