PERSOAL PERALIHAN KUASA, TERMASUK GESAAN MELANJUT TEMPOH TUN M HINGGA HABIS PENGGAL ADALAH KHIANAT KEPADA PH

Semua orang secara umumnya tahu mengenai adanya perjanjian penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

Apa lagi bagi para pemimpin utama PKR, DAP, Amanah dan Bersatu yang menganggotai PH, mereka tentu lebih maklum mengenai perjanjian itu kerana semua mereka hadir dalam Konvensyen PH di Shah Alam ketika mana perjanjian tersebut dimetrai pada 7 Januari 2018 iaitu kira-kira lima bulan sebelum PRU14 lalu.

Dalam perjanjian itu dipersetujui jika PH menang PRU14, maka Tun Mahathir akan menjadi Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim sebagai calon PM ke-8 setelah beliau dibebaskan daripada penjara dan diberi keampunan penuh yang membolehkannya tiada sekatan lagi untuk memegang jawatan dalam politik serta kerajaan.

Sebab itu, selain tiga ketetapan di atas, turut dipersetujui untuk segera dilakukan setelah PH menjadi kerajaan ialah dua perkara lain iaitu membebaskan Anwar daripada penjara dan memohon pengampunan penuh baginya daripada Yang Dipertuan Agong.

Secara tersiratnya, permohonan membebaskan Anwar dan pengampunannya dengan segera adalah bagi membolehkannya memegang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh yang tidak terlalu lama selepas Tun Mahathir menduduki kerusi empuk itu.

Bermakna, setelah menjadi kerajaan, oleh kerana perjanjian itu merupakan ketetapan serta konsensus bersama PH, empat daripadanya sudah pun dilaksanakan.

Hanya yang belum dilaksanakan ialah penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir kepada Anwar.

Meskipun tiada tempoh masa disebutkan bagi penyerahan jawatan itu, ia merupakan suatu ketetapan yang statusnya adalah sama dengan empat perkara yang sudah dilaksanakan setakat ini.

Adanya perjanjian serah jawatan itu dengan sendirinya bermaksud bahawa Tun Mahathir bukanlah Perdana Menteri selama sepenggal penuh sehingga PRU15 akan datang.

Perjanjian penyerahan jawatan tersebut dengan jelas bererti Tun Mahathir hanyalah Perdana Menteri sementara sebelum Anwar menggantikannya.

Perkara itu bersesuaian kerana Anwar adalah calon Perdana Menteri sebenar bagi Pakatan Rakyat yang kemudian ditukar kepada Pakatan Harapan.

Tun Mahathir dipersetujui sebagai calon Perdana Menteri sementara adalah kerana Anwar berada di penjara ketika itu.

Jika beliau berada di dunia bebas, meskipun setelah Tun Mahathir keluar UMNO dan bersama PH, sudah tentu calon Perdana Menteri PH adalah adalah Anwar.

Perkara ini tidaklah sukar difahami kerana bermula dengan gerakan reformasi, penubuhan PKR, menyatukan parti-parti pembangkang, mewujudkan Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kemudian Pakatan Harapan, semuanya bermula daripada sosok tubuh serta aura perjuangan insan yang bernama Anwar.

Tanpa Anwar, gelombang reformasi dan gerakan perubahan yang akhirnya berjaya menjadi kerajaan tidak akan ada di negara ini.

Memahami semua itu bersama dengan perjanjian peralihan kuasa yang dipersetujui pada 7 Januari 2018 tadi, kedudukan Anwar sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri ke-8 PH sangat jelas dan nyata.

Memahami perjanjian itu juga menunjukkan kedudukan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara dan bukan sehingga habis penggal adalah seterang malam ketika disinari bulan purnama.

Ia tidak boleh dipertikai dengan apa-apa alasan atau dalih sekali pun.

Dalam hal ini, mana-mana pemimpin PH yang cuba mempersoalkan peralihan kuasa tersebut, termasuk bertindak menghasut Tun Mahathir agar berkhidmat sehingga habis penggal dan melengah-lengahkan penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, mereka dengan jelas dan tidak diragui lagi telah mengkhianati perjanjian yang telah dipersetujui PH itu.

Dalam erti kata lain, mereka yang berbuat demikian adalah juga pengkhianat kepada PH.

Dengan tindakan Azmin selaku Timbalan Presiden PKR yang secara terbuka mahu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal dan sesiapa juga yang bersuara dengan nada yang serupa selama ini, bermakna mereka ini dengan terang cuba menjadi pengkhianat kepada PH.

Memang benar rakyat mengundi PH untuk menjadi kerajaan selama lima tahun sehingga ketibaan PRU15 akan datang, tetapi ia tidak sama sekali bermakna rakyat setuju untuk meletakkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga tempoh yang sama.

Jika tiada perjanjian peralihan kuasa sebelum PRU14 lalu yang menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-8, disertai pula dengan banyak ulangkata Tun Mahathir sendiri yang mengatakan hanya mahu memegang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua hanya selama dua tahun saja, percayalah, keputusan PRU14 mungkin berbeza jadinya.

Jadi, baik Azmin atau sesiapa saja, malah termasuk Tun Mahathir sendiri, jangan mudah lupa hakikat itu.

– https://shahbudindotcom.net

.