YAKIN NAJIB DAN ZAHID HAMIDI AKAN KE PENJARA, HISHAM MAHU KEJAR KERUSI PM SEMULA?

Kenapa tiba-tiba saja Hishammuddin Hussein mahu dijadikan Setiausaha Agung BN?

Dan mengapa perlu ada desakan untuk tujuan itu?

Bukankah kuasa melantik Setiausaha Agung BN terletak pada Pengerusi BN?

Di atas ini adalah antara beberapa persoalan yang menjadi pertanyaan ramai sejak semalam apabila Badan Perhubungan UMNO Johor tampil menyatakan sokongan agar bekas Naib Presiden UMNO itu dilantik sebagai Setiausaha Agung BN.

Walaupun tampak hanya menyokong, tetapi oleh kerana tiada sesiapa yang menyuarakan perkara itu secara terbuka sebelum ini, apa yang dilakukan oleh Badan Perhubungan UMNO Johor ini lebih berupa desakan sebenarnya.

Soalnya, kenapa perlu Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN didesak untuk melantik Hishammuddin sebagai Setiausaha Agung BN?

Apakah Zahid Hamidi tidak boleh memilih calon pilihannya sendiri?

Desakan ini bukan saja pelik, bahkan tidak pernah berlaku sebelum ini kerana biasanya kuasa melantik Setiausaha Agung BN terletak sepenuhnya kepada budi bicara Pengerusi BN menentukan calon pilihannya.

Apakah Hishammuddin begitu istimewa sehingga Zahid Hamidi perlu didesak untuk memberi bekas Menteri Pertahanan itu jawatan Setiausaha Agung BN?

Apa masalahnya dengan Setiausaha Agung BN sedia ada, Tengku Adnan Tengku Mansor?

Jika kedudukan beliau yang sedang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah dijadikan alasan untuk menukarnya dan digantikan dengan Hishammuddin,!apa bezanya dengan Zahid Hamidi sendiri yang turut, malah mempunyai lebih banyak kes di mahkamah?

Dalam hal ini, mahu tidak mahu, harus diakui tindakan mendesak Zahid Hamidi ini dilakukan kerana UMNO dilihat semakin kuat sekarang ini, terutama sejak bekerjasama dengan Pas.

Sebelum ini, sebaik UMNO kalah pilihanraya dan hilang kuasa, Hishammuddin adalah antara yang terawal melarikan diri dan tidak percaya parti itu mampu dipulihkan semula.

Itulah sebabnya beliau tidak sedia mengekalkan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya sejak sekian lama atau menawarkan diri untuk jawatan yang lebih tinggi dalam pemilihan UMNO tahun lalu.

Sejak itu, beliau dilihat lebih mempunyai hubungan rapat dengan Azmin Ali, sekutu Tun Mahathir Mohamad dalam kerajaan PH, malah pernah bercuti bersama Menteri Hal Hal Ehwal Ekonomi itu di Maghribi.

Hishammuddin juga kemudian turut bertemu Tun Mahathir bersama wakil Pas dan GPS yang dipercayai bertujuan menawarkan sokongan mengekalkan khidmat Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal.

Sejak itu timbul perkhabaran, tujuan mengekalkan Tun Mahathir sehingga ke akhir penggal itu akan disusuli kemudiannya dengan kemasukan Hishammuddin ke dalam kerajaan serta akan bergandingan dengan Azmin sebagai pasangan peneraju negara di masa depan.

Bagaimanapun, dengan perkembangan mutakhir UMNO sekarang ini, Hishammuddin terlihat ingin kembali semula merapati parti itu melalui jawatan Setiausaha Agung BN sebagai batu loncatannya, sekaligus menunjukkan hilang keyakinannya kepada Tun Mahathir.

Dengan jawatan Setiuasaha Agung BN, Hishammuddin dipercayai akan bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan tahun 2021 akan datang lantaran yakin ketika itu Zahid Hamidi sudah pun disabitkan bersalah di mana sama ada tidak boleh lagi mempertahankan jawatannya atau telah berada di penjara.

Di waktu yang sama, keyakinan beliau tentunya Najib Razak juga tidak akan kembali lagi kerana turut senasib dengan Zahid Hamidi didapati bersalah oleh mahkamah.

Makna mudahnya, melalui desakan menjadikannya Setiausaha Agung BN itu, Hishammuddin kini jelas mahu mengejar kerusi Perdana Menteri sebagai matlamat akhir perjuangannya.

Dengan Zahid Hamidi dan Najib tiada tempat lagi dalam UMNO, hanya melalui jawatan Setiausaha Agung akan memudahkan Hishammuddin mendahului calon lain dalam pemilihan 2021 akan datang dan seterusnya akan mengetuai BN menghadapi PRU15 pada 2023.

– https://shahbudindotcom.net/

.