MUHYIDDIN SEPATUTNYA SUDAH BOLEH KIBAR BENDERA PUTIH

Semakin dekat menjelang hari pengundian di peringkat dasar Belanjawan 2021 diadakan pada 26 November ini, kebarangkalian ia ditolak nampaknya semakin tinggi.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengumumkan pendirian tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 selagi keabsahan Muhyiddin Yassin tidak dibenar untuk dibuktikan.

Cenderung agar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin perlu diutamakan terlebih dahulu, pendirian Tengku Razaleigh itu membayangkan kemungkinan beliau tidak hadir atau bersikap berkecuali ketika pengundian pada 26 November nanti.

Kedudukan sokongan Muhyiddin di Parlimen ketika ini hanya mempunyai kelebihan satu undi saja.

Dengan pendirian Ku Li itu, Muhyiddin berkurang satu lagi undi daripada blok BN.

Setiausaha Agung UMNO merangkap Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, entah kenapa tiba-tiba saja menitipkan pesan kepada pihak yang dekat dengan Muhyiddin agar mengingatkan Perdana Menteri tentang “angka” yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional atau PN.

Kata beliau, Bersatu hanya memiliki 31 kerusi Parlimen, itu pun setelah sejumlah Ahli Parlimen daripada UMNO dan PKR menyertai parti tersebut.

“Dan angka itu masih tidak menandingi jumlah Ahli Parlimen yang dimiliki UMNO dan BN,” ujarnya.

Mungkinkah Ahmad Maslan juga sedang memberi isyarat tidak menyokong Belanjawan 2021?

Sebelum ini, sebagaimana diketahui umum, Najib Razak selaku Pengerusi BNBBC menyatakan sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 adalah sokongan bersyarat.

Syarat yang dituntut Najib ialah Muhyiddin mesti membenarkan pencarum membuat pengeluaran one-off sebanyak RM10 ribu daripada Akaun 1 KWSP serta memberi lanjutan wajib moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi.

Setakat ini, walaupun ada kebenaran dalam pengeluaran KWSP, tetapi Najib jelas tidak berpuas hati kerana ia tidak sebagaimana yang diminta oleh BN.

Di bawah BNBBC yang dipengerusikan Najib, terdapat seramai 23 Ahli Parlimen penyokong kerajaan iaitu mereka yang tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet.

Jika Najib membuat keputusan tidak menyokong belanjawan, berapa ramai akan mengikut langkahnya?

Di ketika yang sama, suara-suara dalam UMNO sendiri yang mahu Belanjawan 2021 ditolak atau Ahli Parlimen mesti berpendirian mengikut suara hati mereka, semakin nyaring kedengaran dalam sehari dua ini.

Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin dan Shahrir Samad misalnya, mereka menganggap menyokong belanjawan yang tidak memihak kepada keperluan rakyat, adalah suatu bentuk pengkhianatan kepada rakyat itu sendiri.

Ahli MT UMNO, Dr. Puad Zarkashi memberi amaran Muhyiddin mungkin bakal “dirotan” oleh 7.6 juta pencarum KWSP jika berkeras enggan membenarkan pengeluaran RM10 ribu yang diperlukan rakyat di waktu susah ini.

Daripada segala suara yang kedengaran dalam UMNO setakat ini, jelas bahawa nada yang mahukan Belanjawan 2021 ditolak adalah lebih tinggi daripada mereka yang mahu ia disokong.

Bahkan, sudah kedengaran suatu pandangan lain sekarang ini iaitu waima segala tuntutan sedia dipenuhi oleh Muhyiddin sekali pun, belanjawan kali ini tetap perlu ditolak oleh UMNO dan BN.

Hujah mereka ialah berkaitan pembulian dan kedudukan UMNO yang tidak dihargai dalam kerajaan di mana sokongan kepada belanjawan bermakna melanjutkan lagi masa untuk Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, sekaligus membenarkan pembulian terus berleluasa lagi.

Dalam hal ini, apakah Muhyiddin masih mahu menunggu belanjawan ditolak baru mahu berundur daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri atau beliau sepatutnya sudah harus mengibar bendera putih?

-https://shahbudindotcom.net/

.