SEDARLAH AZMIN – SELAGI TAK HADIR MESYUARAT, KEPUTUSAN PARTI AKAN KEKAL SAMPAI KIAMAT!!

Kadang-kadang hairan dan pelik juga memikirkan tindak-tanduk Azmin Ali dalam PKR sejak kebelakangan ini.

Beliau tidak hadir mesyuarat parti sudah setahun lamanya, tetapi tetap sibuk mahu merasmikan mesyuarat tahunan atau kongres sayap AMK dan Wanita PKR, kononnya ia adalah tradisi Timbalan Presiden parti merasmikannya.

Kalau sudah setahun tak hadir mesyuarat, itu pun sudah dianggap melanggar tradisi, maka beliau sudah hilang kelayakan untuk merasmikan apa-apa mesyuarat parti.

Oleh kerana hanya Wanita PKR yang menjemputnya, manakala AMK menjemput Dr. Wan Azizah Wan Ismail merasmikan mesyuaratnya, Azmin dilaporkan cukup tidak senang dengan perkembangan itu.

Lalu, perasmian mesyuarat Wanita yang sepatutnya diadakan pada 6 Disember telah diawalkan kepada 5 Disember dan penyokong Azmin dalam AMK yang diketuai oleh Hilman Idham akan bersama-sama sekali dalam majlis perasmian Wanita PKR itu.

Dengan itu, kononnya Azmin akan tetap merasmikan mesyuarat Wanita dan AMK PKR secara serentak.

Sebaliknya, dalam mesyuarat AMK pada 6 Disember itu, penyokong Azmin yang diketuai Hilman tadi dilaporkan sedang merancang beberapa tindakan untuk mengacau dan menghuru-harakannya.

Tidakkah pelik perangai mereka itu?

Malangnya, semua keputusan itu bukan dibuat dalam mesyuarat, tetapi hanya melalui kenyataan media saja.

Penyokong Azmin dalam AMK, sama perangai macam Azmin juga, mereka suka ponteng dan memulaukan mesyuarat.

Dalam satu lagi kes iaitu pemecatan Ahli MPP, Zakaria Abdul Hamid atas dakwaan terbabit dalam perbuatan rasuah, Azmin bersama 17 lagi MPP PKR telah mengeluarkan kenyataan bersama membantah tindakan tersebut.

Walhal, keputusan pemecatan itu adalah diputuskan dalam mesyuarat MPP, maka jika ingin membantah, ia sepatutnya dilakukan dalam mesyuarat MPP yang berikutnya, bukan melalui kenyataan media.

Tidak pernah keputusan mesyuarat dibantah melalui kenyataan media dan kalau pun itu yang dilakukan, ia adalah tidak sah.

Keputusan mesyuarat hanya boleh dibantah dalam mesyuarat dan bukan melalui kenyataan media, tetapi kenyataan media senang-senang boleh ditolak melalui keputusan mesyuarat.

Maknanya, dalam berparti atau berorganisasi, menghadiri mesyuarat itu adalah penting berbanding mengeluarkan kenyataan media.

Soalnya, kenapa Azmin dan gengnya tak hadir mesyuarat?

Apakah setelah begitu lama berjuang, mereka masih tidak faham betapa pentingnya hadir mesyuarat?

Dalam kes pemecatan Zakaria, oleh kerana ia diputuskan oleh mesyuarat, hanya mesyuarat juga yang boleh membatalkan pemecatannya.

Kenyataan media, walau dihantar salinan ke PBB sekali pun, ia tidak akan mengubah apa-apa.

Malah, kalau hanya melalak dalam media, tetapi tetap tidak hadir mesyuarat berikutnya, pemecatan Zakaria akan tetap sah sehingga ke hari kiamat.

Yang penting, mesti hadir mesyuarat kalau mahu mengubah keputusan atau melakukan sesuatu atau ingin menunjukkan kita masih mengambil tahu hal ehwal parti.

Tetapi, kalau hadir mesyuarat pun malas, buat apa lagi Azmin mahu ambil tahu urusan parti?

Sepatutnya, sedarlah diri dan biarlah parti ingin menjemput sesiapa untuk merasmikan mesyuarat atau mahu mengambil tindakan kepada siapa saja.

Itulah adalah urusan mereka yang hadir mesyuarat, bukan lagi ada kaitan dengan mereka yang malas dan ponteng mesyuarat selama setahun lamanya.

Kalau sudah setahun tak ambil tahu hal ehwal parti, jalan paling baik dan bermaruah bagi Azmin dan mereka yang seperangai dengannya ialah tinggalkan parti serta carilah haluan baru.

Lagi pun, lambat-laun nanti pasti akan dipecat juga sudahnya.

– https://shahbudindotcom.net/

.