BANGUNLAH WAHAI MAJLIS PRESIDEN!!!

Majlis Presiden PH kini tidak ada pilihan lain selain harus segera bertindak menyelesaikan pertikaian yang nampaknya berterusan berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

Walaupun sebelumnya sudah ada persetujuan untuk Tun Mahathir menyerahkan jawatan itu dalam tempoh dua tahun, tetapi sebagaimana yang kita sedia maklum, kenyataan beliau sering berubah-ubah daripada semasa ke semasa.

Terbaru dikatakan beliau mahu tiga tahun pula sebagai Perdana Menteri.

Dengan itu, isu tersebut bukan saja telah meretakkan, malah menjadikan PH terus berpecah-belah.

Perkara ini jika dibiarkan pastinya akan menjadikan kemungkinan PH hanya kerajaan sepenggal lebih mungkin menjadi kenyataan.

Rakyat juga tentunya muak kerana sejak lebih setahun yang lalu, isu yang sama terus menjadi pertikaian tanpa ada sebarang titik penamatnya.

Tiada cara lain untuk mengelakkan perkara itu daripada berterusan menjadi pertikaian melainkan Majlis Presiden PH mesti segera bermesyuarat dan menetapkan tarikh khusus peralihan kuasa yang telah dijanjikan itu.

Hal ini bukan saja berikutan desakan Syed Husin Ali berkenaan perkara itu, bahkan itulah juga sebenarnya yang dinanti-nantikan oleh rakyat, khususnya penyokong PH sendiri selama ini.

Blog ini sendiri sudah berkali-kali, malah tidak henti-henti membangkitkan perlunya tarikh peralihan kuasa kepada Anwar itu segera ditetapkan memandangkan PH ini, jika tanpa Anwar mengasas dan menggembleng kekuatannya sejak 1998, ia tidak mungkin berupaya menumbangkan BN pada PRU14 lalu.

Kenyataan terbaru Tun Mahathir di New York yang kemudian membuatkan Syed Husin bersuara mengecam Majlis Presiden PH, badan itu mesti segera bangun dan bertindak tanpa membuang masa lagi.

Majlis Presiden PH harus secepatnya membincangkan dan membuat keputusan berkenaan peralihan kuasa agar tiada lagi sebarang keraguan yang timbul.

PH mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka adalah berbeza dengan BN sebelum ini yang mana Perdana Menteri daripada UMNO berkuasa sepenuhnya memilih pengganti mengikut selera dan kehendaknya.

Sebaliknya, dalam PH, yang berkuasa ialah Majlis Presidennya yang akan membuat keputusan secara konsensus, bukan Perdana Menteri.

Dalam hal pengganti Perdana Menteri, calonnya sudah pun ada dan yang menjadi isu hanya bilakah peralihan kuasa itu sepatutnya dilaksanakan.

Memandangkan Tun Mahathir sudah berusia 94 tahun dan hidup dalam usia bonus, maka adalah penting sebenarnya penetapan tarikh itu tidak lagi dilewat-lewatkan.

Bak kata pepatah, sediakanlah payung sebelum hujan.

Tetapi, jika selepas ini Majlis Presiden masih juga diam dan tiada apa-apa tindakan diambil untuk menyelesaikan isu peralihan kuasa itu, tanggapan umum tidak lain ialah pemimpin-pemimpin utama PH memang benar telah “dibonsaikan” dengan kedudukan dan jawatan dalam kerajaan sehingga hilang suara untuk menegakkan kebenaran.

Mahu tidak mahu, perangai mereka sebenarnya saling tak tumpah seperti para pemimpin UMNO sebelum ini yang syok dengan kedudukan dan jawatan serta tidak berani menegur Najib Razak kerana jawatan Perdana Menteri yang disandangnya.

Tidak malukah pemimpin yang ada dalam Majlis Presiden PH dengan perangai mereka yang sama saja seperti UMNO itu?

–  https://shahbudindotcom.net

.