PRESTASI ANWAR TIDAK HARUS MEMBUATKAN TUN M GUSAR

Perkara lain yang turut disentuh oleh Tun Mahathir Mohamad di New York baru-baru ini ialah mengenai prestasi bakal penggantinya.

Kata Tun Mahathir, beliau tidak pasti sama ada penggantinya nanti akan melakukan yang lebih baik daripada apa yang dilakukannya sekarang.

“Saya tidak boleh menjamin orang yang menggantikan saya akan melakukan dengan baik, atau mungkin tidak terlalu baik.

“Saya tidak boleh jamin, tetapi kita boleh melaksanakan jentera yang betul.

“Jika anda bekerja mengikut sistem itu, saya fikir kita boleh mencapai matlamat status negara maju menjelang 2030,” katanya lagi.

Sambil itu Tun Mahathir juga mengungkit kekecewaan berhubung prestasi penggantinya yang mengecewakan ketika beliau berundur pada 2003 dahulu.

Kerana kecewa dengan Tun Abdullah Badawi, Tun Mahathir telah keluar daripada persaraannya dan berkempen mendesak pengunduran pengganti pilihannya itu.

Kemudian, apabila Naiib Razak menggantikan Pak Lah, prestasi Perdana Menteri ke-6 itu juga mengecewakannya terutama berhubung pembaziran, suka bermewah yang melibatkan Rosmah Mansor serta berkaitan skandal 1MDB.

Tun Mahathir seterusnya berpakat bersama PH dan sanggup berbaik dengan Anwar Ibrahim yang pernah dipecatnya semata-mata untuk menjamin kejayaan menumbangkan UMNO, BN dan Najib.

Kedua-dua Perdana Menteri selepasnya itu adalah sama ada pilihan Tun Mahathir sendiri atau yang disokong kuat olehnya.

Pengganti Tun Mahathir selepas ini ialah Anwar, tetapi berbeza dengan sistem dalam BN, pemilihan Presiden PKR sebagai bakal penggantinya bukanlah atas pilihan atau sokongannya secara peribadi.

Sebaliknya, Anwar dipilih sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 secara konsensus oleh parti-parti gabungan dalam PH iaitu PKR, DAP, Amanah dan juga Bersatu.

Oleh kerana Tun Mahathir terkemudian menyertai PH dan gabungan itu telah meletakkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri sejak sekian lama, tetapi kerana beliau berada di penjara ketika itu, maka telah dipersetujui Pengerusi Bersatu itu sebagai Perdana Menteri interim.

Bagaimanapun, Tun Mahathir masih terikat kepada konsensus penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sebagaimana yang dijanji dan dipersetujui oleh PH.

Jadi, perlukah Tun Mahathir risau tentang prestasi Anwar sebagai bakal penggantinya sedangkan ia bukanlah pilihan beliau?

Hakikat, berbanding risau tentang prestasi bakal penggantinya, Tun Mahathir sebaiknya harus lebih memikirkan untuk menunaikan janji konsensus tersebut kerana itulah yang menjadi penentu kestabilan PH seterusnya.

Tentang kedudukan Anwar, ia adalah pilihan serta ketetapan PH dan Tun Mahathir tidak harus membandingkannya dengan kedudukan Pak Lah atau pun Najib sebelum ini.

Kecuali jika Tun Mahathir memungkiri janji konsensus PH itu dan berusaha menjadikan pemimpin lain sebagai penggantinya, itulah barulah beliau seharusnya risau tentang prestasinya bila menjadi Perdana Menteri kelak.

Pendek kata, kedudukan Anwar sebagai bakal penggantinya tidak harus sama sekali membebankan Tun Mahathir untuk memikirkan tentang pretasinya.

Itu adalah beban dan tanggungjawab PH, bukan Tun Mahathir.

Beban dan tanggungjawab Tun Mahathir ialah menunaikan janji yang telah dipersetujui.

Tetapi, yang pasti, biasanya pilihan yang dibuat melalui persetujuan ramai iaitu empat parti dalam PH tentulah jauh lebih baik berbanding pilihan yang dibuat hanya melalui kepala sendiri.

– https://shahbudindotcom.net

.