MAHATHIR JUARA PERPECAHAN, SATU SEN PUN TAK LAYAK BERCAKAP TENTANG KERAJAAN PERPADUAN

Jika kita perhatikan, setiap kali ada terbuka ruang untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, setiap kali itu jugalah Tun Mahathir Mohamad akan muncul dengan serangannya terhadap Ketua Pembangkang itu.

Semalam, beliau mendakwa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana gagal dalam menangani krisis ekonomi pada 1998 dahulu.

Tetapi, sebelum Tun Mahathir lebih banyak lupa, bukankah ketika itu Anwar hanya Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan saja, bukannya Perdana Menteri?

Bagaimana Anwar boleh dikata tidak layak sefangkan beliau belum pernah menjadi Perdana Menteri?

Kata orang, belum cuba belum tahu, mungkin dengan pengalaman Anwar yang lama dan hubungan baiknya di peringkat antarabangsa, beliau mampu lebih baik lagi dalam mengurus negara.

Yang jelas dan nyata dengan serangan terbaru ini ialah Tun Mahathir nampaknya begitu bimbang, malah mungkin takut, Anwar akhirnya akan sampai untuk duduk di kerusi Perdana Menteri.

Jika sebelum ini, selepas Anwar mengadap Agong untuk memaklumkan sokongan majoriti yang dimilikinya, Tun Mahathir meragui jika Presiden PKR itu benar-benar memiliki sokongan, lantas kemudian bercakap tentang kerajaan perpaduan, kini sekali lagi beliau mengutarakan idea tersebut.

Kali ini, idea kerajaan perpaduan itu dilontarkannya hanya sehari selepas mengatakan Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Kali ini juga, serangan kepada Anwar dan idea kerajaan perpaduan itu diusulkannya setelah bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi BNBBC, Najib Razak dilihat senada dengan Ketua Pembangkang di mana kedua-duanya mengatakan hanya akan menyokong Belanjawan 2021 sekiranya ada pindaan berkaitan KWSP, moratorium dan dana untuk JASA.

 

Menurut Tun Mahathir, dalam keadaan politik yang berkecamuk dan rakyat mula bosan dengan parti-parti politik, pembentukan kerajaan perpaduan adalah penyelesaiannya.

Apa tujuan kerajaan perpaduan ini?

Sebenarnya tujuan utama kerajaan perpaduan ini tidak lain ialah untuk Tun Mahathir menobatkan dirinya sekali lagi sebagai Perdana Menteri, sambil cuba memintas peluang Anwar ke arah itu.

Semakin lanjut usia, Tun Mahathir nampaknya semakin pelik dan berhati hitam – tak habis-habis dengan dendam, iri hati dan dengki kepada Anwar, meskipun Presiden PKR itu tidak pernah sama sekali mahu membuang masa menyebut namanya.

Soalnya, layakkah Tun Mahathir menubuh, mengetuai dan memimpin sebuah kerajaan perpaduan?

Oleh kerana Tun Mahathir telah mengimbas sejarah krisis ekonomi 1998 sebagai hujahnya untuk mengatakan Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri, jika ditoleh balik kepada sejarah, bekas Pengerusi Bersatu yang kini tiada parti itu jauh lebih tidak layak, bukan saja untuk menubuhkan, bahkan juga bercakap tentang kerajaan perpaduan.

Sejarah masa lalu Tun Mahathir terlalu hitam dalam soal perpaduan kerana sepanjang masa beliau adalah juara perpecahan sejak era Tun Tunku Abdul Rahman Alhaj lagi.

Sewaktu memimpin UMNO, beliaulah yang menyebabkan parti itu terbarai, lalu tertubuhnya Semangat 46 dan PKR, malah dalam usaha mengekalkan kuasa, serangannya kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar pada waktu itu amat zalim dan kejam sekali.

Jika Anwar diaib, dimalu dan dipenjarakan, Tengku Razaleigh pula dihina dan disekat daripada menyertai UMNO Baru, meski semua orang tahu sumbangan dan jasa Ahli Parlimen Gua Musang itu terhadap parti sangat besar, antaranya memberikan tanah untuk Bangunan PWTC yang ada sekarang.

Apa pula sumbangan besar Tun Mahathir kepada UMNO, selain anak-anaknya menjadi bilionnaire belaka?

Ketika berkuasa juga, Tun Mahathir tidak pernah menunjukkan sifat harmoni kepada parti-parti pembangkang, terutama Pas dan DAP, sebaliknya asyik mahu bergaduh saja dengan mereka.

Setelah bersara pada 2003, beliau sekali lagi memecah-belahkan UMNO dengan keluar daripada persaraannya semata-mata untuk menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Setelah Tun Abdullah jatuh, beliau terus menyokong Najib, tetapi kemudian anak Tun Razak itu juga dijatuhkannya dengan bergabung dengan Anwar dan DAP yang pernah dimusuhi dan dimaki hamunnya sebelum itu.

Ketika menjadi Perdana Menteri bersama PH, beliau secara halus pula bertindak memecahkan gabungan tersebut dengan enggan menunaikan janji peralihan kuasa kepada Anwar yang dipersetujui dan ditandatanganinya sendiri.

Apabila PH tumbang kerana Tun Mahathir sendiri meletakkan jawatan dan enggan mematuhi titah Agong agar jangan berbuat demikian, beliau ketika itu mula tampil dengan idea kerajaan perpaduannya setelah dilantik mengetuai kerajaan secara interim.

Kerajaan perpaduan itu, muslihatnya ialah agar bellau dapat berkuasa penuh dan menjadi Perdana Menteri sampai ke mati dan tidak terikat lagi dengan sebarang janji peralihan kuasa.

Sekarang ini, di sebalik sokongan rakyat kepada Muhyiddin Yassin sedang merosot teruk dan mungkin jatuh melalui penolakan Belanjawan 2021, diikuti dengan pendirian Najib yang memberi sokongan bersyarat, Anwar dilihat sebagai pengganti paling berwibawa untuk memimpin dan memulihkan negara.

Maka, sekali lagilah Tun Mahathir terpaksa bersuara untuk menolak Anwar dan mengusulkan kerajaan perpaduan iaitu mahu dirinya dipilih buat kali ketiga sebagai Perdana Menteri.

Sejak zaman Nabi Adam, hanya ada seorang manusia yang pernah dua kali jadi Perdana Menteri, dua kali juga meletakkan jawatan tetapi kekal kemaruk untuk berkuasa semula.

Idea ingin berkuasanya semula ini pula dengan cara menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa parti untuk menyesuaikan dengan dirinya yang tidak berparti itu.

Persoalannya, bagaimanakah seorang yang suka membuat kehancuran, juara perpecahan, gemar bergaduh, paling ramai musuh, dalam hatinya penuh dengki dan iri hati serta seorang demi seorang di sekeliling lari daripadanya, masih mampu bermuka tebal mahu menjulang kerajaan perpaduan?

Sekali lagi, sejak zaman Nabi Adam, dengan hampir semua episod perpecahan dalam negara ini ada cap jarinya, Tun Mahathir sebenarnya manusia paling pelik pernah wujud di dunia ini.

https://shahbudindotcom.net/

,