RAKYAT SABAH BERDEPAN COVID-19, KERAJAAN NEGERI SIBUK BERI ANUGERAH

Oleh – Alexiz Utara

Seperti dijangka rakyat Sabah kini berdepan krisis kesihatan susulan penularan wabak Covid19 sebaik terbentuknya kerajaan baharu.

Ia jelas menunjukkan kemelut politik yang dicetuskan pemimpin politik Semenanjung yang bersekongkol bekas ketua menteri, Musa Aman adalah amat buruk kesannya.

Ketamakan dan dahagakan kuasa politik daripada kalangan pemimpin politik nyata memberi implikasi buruk kepada rakyat, sekali lagi rakyat terpaksa menanggung beban hasil daripada sikap pentingkan diri mereka.

Ketika rakyat Sabah sedang sibuk bangkit dan bergelut untuk pulih daripada penularan Covid19, tiba-tiba krisis politik di Sabah dicetuskan dengan langkah dirancang dua orang suruhan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin iaitu Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Setiausaha Politik Muhyiddin, Nardin Awang.

Muhyiddin terlalu memikirkan cara untuk terus mengukuhkan kuasanya sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri untuk menjaga rakyat sebaliknya hanya sibuk mengukuhkan pengaruh politiknya.

Alasan beliau kononnya mahukan kerajaan yang sehaluan dengan Kerajaan Pusat walhal sebaliknya beliau terlalu ghairah untuk terus berkuasa.

Kini kuasa sudah berjaya diperolehnya tapi nyawa rakyat Sabah yang menjadi tebusannya.

Sebelum tercetusnya kemelut politik Sabah, kerajaan negeri Sabah di bawah pentadbiran WARISAN berjaya menguruskan dan mengawal penularan wabak dengan baik walaupun pada ketika itu tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat.

Pelbagai bantuan dan keperluan asas rakyat disalurkan melalui pusat Covid19 seluruh negeri di bawah SKN (Setiausaha Kerajaan Negeri), malah rakyat Sabah yang berada di Semenanjung juga dibantu.

Situasi ini berbeza sekali dibawah Ketua Menteri Sabah baharu, Hajiji Noor yang seolah-olah bisu dan lemah dalam menangani penularan Covid19, beginilah akibatnya apabila memilih pemimpin yang sekadar menjadi lembu dicucuk hidung kepada pemimpin di Kuala Lumpur.

Belum ada satu pun langkah dan rancangan dibentang oleh Hajiji dan barisan Kabinetnya untuk menangani penularan Covid19 atau adakah mereka masih sibuk bertelagah sesama sendiri sehinggakan Menteri Kesihatan Sabah pun masih belum dilantik.

Inilah yang akan berlaku apabila memilih pemimpin yang tidak mempunyai kepimpinan dan pengalaman, jadi caca merba sekarang ini di Sabah.

Harga yang dibayar oleh rakyat Sabah terhadap ketamakan kuasa pemimpin politik nyata tinggi, kini mereka terpaksa menanggung akibatnya.

Tidakkah Muhyiddin dan Musa memikirkan keselamatan rakyat semasa merancang rampasan kuasa politik di Sabah, untung hanya orang politik tapi yang rugi rakyat Sabah yang kini berdepan penularan Covid19 yang saban hari meningkat.

Lebih malang lagi, Kerajaan Negeri Sabah yang baharu juga tidak sensitif dengan isu rakyat, sepatutnya kepentingan dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan, malangnya apa yang berlaku sebaik menang mereka sibuk mahu memberi anugerah kepada ahli politik tertentu.

Baru sahaja beberapa hari selepas berakhir pilihan raya negeri, kini Kerajaan Negeri mahu pula memberikan anugerah kepada pemimpin politik Semenanjung.

Untuk apa anugerah ini diberikan, ia semata-mata untuk memuaskan nafsu ahli politik yang menghuru-harakan politik di Sabah.

Tidak malukah mereka ini, berbangga-bangga dengan kemenangan yang hanya merosakkan rakyat Sabah yang pada ketika ini sedang bergelut dengan isu sara hidup dan peluang pekerjaan yang semakin sempit?

Pentingkah anugerah ini diberikan kepada ahli politik dan tidakkah boleh tunggu selesaikan masalah rakyat terlebih dahulu?

Rakyat Sabah menunggu dengan penuh harapan kerajaan baharu ini yang kononnya mahu menjaga mereka, janganlah semasa pilihan raya sahaja Muhyiddin dan para menteri turun ke Sabah tapi selepas pilihan raya batang hidung pun hilang entah ke mana.

-https://shahbudindotcom.net/

.