PERBUATAN AHLI PARLIMEN BINTULU MESTI DIKUTUK, MANA SUARA MELAYU/ISLAM MEMBELA KP KESIHATAN?

Tiong ternyata telah membuat dakwaan tidak berasas dengan menuduh Dr. Noor Hisham tidak pernah turun ke Sabah untuk melihat sendiri keadaan di lapangan, walhal Ketua Pengarah Kesihatan itu sudah pun ke Sabah sebelum PRN baru-baru ini.

Berkenaan kemunculan Dr. Noor Hisham setiap hari memberi laporan berkenaan Covid19, itu adalah tugasnya untuk memberi maklumat kepada orangramai dan bukan kerana mengejar publisiti.

Sebagai pegawai tetap kerajaan, Dr. Noor Hisam tidak memerlukan publisiti untuk kerjaya dan hidupnya, bukan seperti orang politik yang sentiasa kemaruk liputan media.

Kemunculannya di TV sama seperti yang dilakukan oleh Ismail Sabri yang juga muncul setiap hati bercakap mengenai aspek keselamatan atau SOP dan Hishammuddin Hussein sebelum ini juga muncul setiap hari sewaktu berlakunya tragedi nahas kapalterbang MAS.

Jadi, apa yang peliknya?

Apakah Tiong tidak puas hati kerana yang muncul setiap hari di kaca TV itu adalah Dr. Noor Hisham, dan bukan Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba?

Kalau sudah Dr. Adham tidak berwibawa, cakap pun banyak merapu, memberi pula petua palsu kononnya air suam boleh mencegah Covid19, apakah menteri seperti itu yang boleh diharapkan untuk muncul setiap hari di kaca TV menyampaikan maklumat kepada orangramai?

Lebih menyedihkan, walaupun perbuatan Tiong itu jelas salah, bukan saja kerana mengecam Dr. Noor Hisham yang sentiasa bertungkus lumus setiap hari, bahkan juga seperti menghina keseluruhan petugas barisan hadapan Covid19, tetapi tidak diambil apa-apa tindakan pun oleh Timbalan Speaker, Azalina Othman Said.

Keengganan Tiong menarik balik kata-kata dan dakwaannya hanya didiamkan saja oleh pihak berkuasa Parlimen, sebaliknya Ahli Parlimen DAP yang mempertahankan Dr. Noor Hisham pula yang dihalau keluar Dewan Parlimen.

Kegilaan apakah ini?

Tidak cukup dengan itu, Shahidan Kassim selaku Pengerusi PNBNC turut sama mempertahankan perbuatan Tiong dengan alasan dia hanya menyampaikan maklumat yang disampaikan kepadanya.

Lagi gila?

Ehh…PN ini kerajaan apa sebenarnya, senang-senang boleh menghina pegawai kerajaan yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa rakyat?

Di mana suara pemimpin Melayu dan Islam dalam PN, terutama daripada Pas dan Bersatu dalam membela pegawai kerajaan sendiri?

Bolehkah kita bayangkan bagaimana riuhnya mereka jika yang membuat dakwaan terhadap Dr. Hisham itu adalah pemimpin daripada DAP?

Di mana juga Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Kesihatan dalam mempertahankan pegawai di kementeriannya diperlakukan sebegini rupa?

Apakah Tiong seorang itu lebih besar kedudukannya daripada keseluruhan pegawai kerajaan, khususnya petugas barisan hadapan Covid19 sehingga semua pemimpin PN, temasuk Menteri Kesihatan, Pengerusi PNBNC dan Timbalan Speaker takut kepadanya?

Yang paling memalukan sekali, Tiong juga adalah Duta Khas Perdana Menteri ke China dan perbuatannya ini tidak langsung menggambarkan kelayakannya memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Jika Muhyiddin benar-benar ikhlas dalam perjuangannya untuk rakyat dan mempertahankan pegawai kerajaan, beliau bukan saja patut menegur Tiong, bahkan wajar memecatnya sama sebagai Duta Khas ke China.

Gaya dan cakap Tiong dalam menuduh Dr. Noor Hisham tidak langsung menggambarkan beliau seorang yang faham apa itu diplomasi, tetapi lebih seperti seorang samseng jalanan.

Orang seperti beliau tidak layak diundi lagi sebagai pemimpin selepas ini.

-shahbudindotcom

.