SEMUA INI IDEA NAK MENIPU DAN PETANDA MUHYIDDIN LANGSUNG TAK PERCAYA ZAHID HAMIDI

Speaker Parlimen, Azhar Azizan Harun hari ini membuat keputusan kehadiran dalam Sidang Dewan Rakyat akan dihadkan hanya kepada 80 orang saja pada satu-satu masa.

Ketetapan itu akan bermula esok, ketika Belanjawan 2021 dibentangkan.

Pecahan 80 Ahli Parlimen yang dibenarkan hadir merangkumi 41 orang daripada blok kerajaan dan 39 orang dari blok pembangkang dan bebas.

Dalam satu kenyataan, beliau menjelaskan, pemilihan Ahli Parlimen yang dibenar menyertai sidang akan ditentukan parti masing-masing dan mereka yang hadir akan diberikan kad khas untuk merekodkan kehadiran.

Langkah menghadkan kehadiran ini diambil sebagai langkah mencegah penularan Covid19.

 

Semalam, media juga melaporkan, idea menghadkan kehadiran kepada 80 orang itu datangnya daripada Perikatan Nasional atau PN.

Tidak pula disebut sama ada idea itu datang daripada pemikiran Muhyiddin Yassin sendiri, Hamzah Zainuddin atau Azmin Ali.

Apabila akhirnya Speaker bersetuju melaksanalan peraturan tersebut, ia dengan sendirinya memperlihatkan beberapa petunjuk:-

Pertama, ini menunjukkan Speaker tidak lagi bebas, sebaliknya tunduk kepada kehendak PN sebagai parti yang menguasai kerajaan, tetapi memiliki majoriti yang meragukan.

Gambaran mudahnya, kehadiran dalam blok kerajaan dengan peraturan baru ini bukan lagi setakat 41, tetapi sebenarnya 42.

Kedua, menghadkan kehadiran hanya kepada 80 daripada 222 orang Ahli Parlimen, menunjukkan demokrasi di era kerajaan pintu belakang dan tebuk atap ini sedang menuju ke kuburan.

Setelah tidak berjaya menguatkuasakan darurat dan menggantung Parlimen bagi membolehkan terus berkuasa, kini kehadiran di Parlimen pula dikecilkan yang bermakna untuk mematikan amalan demokrasi itu sendiri.

Ketiga, ini juga adalah taktik menipu yang mudah difahami yang timbul daripada helah PN untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan tanpa banyak masalah.

Dengan kehadiran yang terhad – hanya 41 daripada blok kerajaan dan 39 daripada blok pembangkang serta bebas, sudah pasti Belanjawan 2021 mudah diluluskan dan tiada ruang untuk sesiapa bersikap berkecuali atau tidak menghadirkan diri ketika pengundian.

Keempat, peraturan baru ini juga memperlihatkan Muhyiddin langsung tidak percaya dengan janji Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi bahawa semua 43 Ahli Parlimen gabungan itu akan menyokong kelulusan Belanjawan 2021.

Sepatutnya, dengan adanya akujanji Zahid Hamidi semalam, Muhyiddin tidak perlu bimbang lagi dengan kemungkinan Belanjawan 2021 ditolak ketika pengundian.

Tetapi, kenapa Muhyiddin masih ada kebimbangan Belanjawan 2021 tidak diluluskan sehingga akhirnya kehadiran di Parlimen dihadkan kepada tidak sampai 40 peratus?

Petunjuk paling besar daripada semua ini ialah Muhyiddin dan PN sedang perlahan-lahan mahu mengenepikan BN dengan menganggap mereka bukan lagi sebagai rakan yang dihormati.

-https://shahbudindotcom.ne

.