ALL SYSTEMS GO – BERSATU SET TO ABANDON MUHYIDDIN, RETURN TO PAKATAN – IT HAS NO CHOICE : UNTUK BERSATU JADI SATU, PILIHANNYA HANYA SATU

Sejak awal penubuhannya, tidak dinafikan tonggak utama Bersatu ialah Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi dan Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.

Tetapi, berikutan keinginan mendapat kedudukan lebih tinggi serta lupa bagaimana kemenangan dalam PRU14 lalu diperolehi, Muhyiddin dengan sokongan majoriti MPT Bersatu telah membawa parti itu keluar daripada PH.

Seterusnya, melalui kerjasama dengan UMNO, Pas, GPS dan kumpulan pengkhianat daripada PKR dan mereka yang lupa diri daripada Bersatu sendiri, Muhyiddin akhirnya diangkat sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu.

Sejak itu, Bersatu tidak lagi menjadi parti yang bersatu, tetapi sudah jadi parti berdua – atau terpecah kepada dua.

Satu kumpulan yang memihak kepada Muhyiddin berada dalam kerajaan tidak berdaftar PN, manakala satu pihak lagi yang menyokong Tun Mahathir terus pro kepada PH.

Setiausaha Agung juga ada dua, satu lantikan asal oleh Tun Mahathir dan satu lagi lantikan baru oleh Muhyiddin.

Dalam keadaan ini, Bersatu terus terpecah dua sehingga dalam sidang Parlimen pada 18 Mei ini, Tun Mahathir telah memutuskan untuk duduk di barisan pembangkang bersama PH.

Mungkin beberapa lagi Ahli Parlimen Bersatu yang memihak kepada Tun Mahathir akan turut sama duduk bersama PH di barisan pembangkang.

Sesungguhnya situasi ini tidak pernah berlaku kepada mana-mana parti sebelum ini dan ia sama sekali bukanlah sesuatu baik bagi Bersatu.

Mana-mana parti politik mesti ada satu hala tuju saja, tidak boleh sama sekali separuh berada dalam kerajaan dan separuh lagi bersama pembangkang.

Tidak lama lagi, mungkin dalam suku ketiga tahun 2020 ini, Bersatu akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya.

Tun Mahathir yang mempertahankan jawatan Pengerusi tidak dicabar oleh sesiapa dan dengan demikian, beliau telah diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Muhyiddin pula akan dicabar oleh Mukhriz Mahathir bagi jawatan Presiden.

Ini bermakna, menjelang pemilihan akan datang atau jika Muhyiddin terus kekal lagi sebagai Presiden Bersatu dalam pemilihan akan datang ini, parti itu sentiasa menjadi parti yang ada dua nakhoda sehinggalah tempoh tiga tahun akan datang.

Jika demikian, bagaimana Bersatu mahu menghadapi PRU akan datang dan di kerusi-kerusi mana mereka ingin bertanding nanti?

Berbanding Muhyiddin yang bersama PN, tetapi UMNO sendiri telah mengumumkan akan mengenepikannya bila tiba masa bertanding, Tun Mahathir dan Mukhriz sebaliknya ingin membawa kembali Bersatu ke pangkuan PH.

Usaha membawa Bersatu kembali ke pangkuan PH tidak mungkin berjaya jika Muhyiddin terus menang sebagai Presiden kerana menangnya beliau, sementara Tun Mahathir tetap ada juga sebagai Pengerusi, parti itu akan terus terbelah dua dan caca marba.

Lantaran itu, untuk menjadikan Bersatu sebagai parti yang satu, dalam erti kata satu haluan dan satu tujuan, memenangkan kumpulan Tun Mahathir dalam pemilihan akan datang ini adalah satu-satunya pilihan yang ada.

Hanya dengan kemenangan kumpulan Tun Mahathir menguasai Bersatu, hala tuju parti itu dapat ditentukan dengan lebih baik, terpulang sama ada selepas itu mahu kekal bersama PN, keluar meninggalkan PN atau membawanya kembali menyertai PH.

Kumpulan yang kalah pula dengan senang hati boleh menyertai mana-mana parti lain seperti UMNO atau Pas misalnya, sebagai pilihan meneruskan perjuangan.

Barangkali kesilapan Muhyiddin di sini ialah tidak meletakkan orang untuk mencabar Tun Mahathir bagi jawatan Pengerusi Bersatu.

Jika semua jawatan dipertandingkan, maka proses pembersihan dan penyucian hala tuju parti melalui usaha memastikan satu kumpulan saja menguasai kepimpinan Bersatu tentu lebih mudah untuk dilakukan.

Tetapi, dalam keadaan sekarang, oleh kerana Tun Mahathir telah diisytiharkan menang tanpa bertanding dan kedudukannya tidak boleh diketepikan lagi, satu-satunya pilihan untuk menjadikan Bersatu sebagai parti yang bersatu hanyalah dengan menjadikan Muhyiddin dan kumpulannya sebagai “korban sebuah perjuangan”.

-https://shahbudindotcom.net/

.