UMNO READY TO LET MUHYIDDIN BECOME THEIR PRESIDENT? WHAT SAYS MAT HASAN, KHAIRY, NOT TO MENTION NAJIB & ZAHID! “KALAU MUHYIDDIN MASUK UMNO, ADAKAH BELIAU AKAN DIBERI LALUAN MUDAH UNTUK JADI PRESIDEN?”

Cerita tentang Muhyiddin Yassin diura-urakan kembali menyertai UMNO bukanlah perkara baru sebenarnya dan ia telah pun mula kedengaran sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri kira-kira dua bulan dulu lagi.

Oleh itu, apa yang dinyatakan oleh Ahli MT UMNO, Tajuddin Abdul Rahman bahawa Muhyiddin patut menyertai UMNO untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dengan Bersatu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Dengan sokongan kuat daripada UMNO untuknya menjadi Perdana Menteri dan sebelumnya membawa Bersatu keluar meninggalkan PH, seterusnya perbalahannya dengan Tun Mahathir Mohamad tidak ternampak ada penyelesaiannya, dikatakan jalan terbaik untuk survival Muhyiddin hanyalah kembali ke pangkuan parti lama yang pernah dicerca dan diungkapkan janji tidak sesekali beliau akan menyertainya semula.

Diperkatakan lagi, sama ada berjaya mempertahkan jawatan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti itu nanti, dan lebih-lebih lagi jika kalah kepada Mukhriz Mahathir, pilihan seterusnya paling mungkin bagi Muhyiddin ialah menyertai semula UMNO.

Kalau menang, beliau diberitakan akan membubarkan Bersatu secara rasmi, sebagaimana tindakannya membawa parti itu meninggalkan PH sebelum ini, dan mengisytiharkan menyertai UMNO secara beramai-ramai.

Jika kalah pula, Muhyiddin bersama penyokongnya juga akan memilih menyertai UMNO sebagai tanda perpisahan, tetapi terpaksa membiarkan Bersatu ditinggalkan kepada Tun Mahathir bersama para penyokongnya.

Secara logiknya, tambahan lagi dengan penegasan Zahid Hamidi, Najib Razak dan Mohamad Hasan bahawa UMNO hanya bekerjasama dalam PN sehingga Parlimen dibubarkan saja, penyudah bagi Muhyiddin dan mereka yang menyokongnya dalam Bersatu boleh dikata terlalu sukar dalam PRU15 akan datang.

UMNO dan BN sebaliknya hanya komited untuk bekerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional saja untuk berhadapan dengan PH.

Bertembung dengan PH dan MN, Muhyiddin dan kumpulannya daripada Bersatu hampir pasti akan “mati berdiri” begitu saja.

Lalu, kembali kepada UMNO dan menjilat kembali ludahnya dulu tidak dapat dielakkan lagi.

Cuma, Muhyiddin kini adalah Perdana Menteri dan tradisinya ialah sesiapa yang memegang jawatan Perdana Menteri melalui parti itu mesti jadi Presiden UMNO, maka jika beliau masuk semula UMNO, apa jawatan yang akan diberikan kepadanya?

Adakah Muhyiddin akan jadi Presiden UMNO dengan cara Zahid Hamidi memberi laluan kepadanya dalam pemilihan parti tahun depan?

Apa balasan atau imbuhan kepada Zahid Hamidi jika beliau sedia berbuat demikian?

Adakah ia berkaitan campurtangan dalam kes-kes mahkamah yang sedang dihadapinya dan seterusnya Zahid Hamidi akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Tetapi, bagaimana jika Zahid Hamidi tidak sedia memberi laluan kepada Muhyiddin kerana yakin kerjasama UMNO, BN dan Pas dalam MN turut menjanjikan harapan untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 akan datang, seterusnya menjadikan dirinya sebagai Perdana Menteri juga jadi terbuka?

Tambahan lagi, dengan membenarkan Muhyiddin dan kumpulannya daripada Bersatu menyertai semula UMNO, ia juga bermakna UMNO harus memberi laluan kepada mereka bertanding dalam pilihanraya dan ini dengan sendirinya mengurangkan peluang calon-calon UMNO sedia ada untuk menjadi wakil rakyat.

Dengan itu, besar kemungkinan kemasukan semula Muhyiddin ke dalam UMNO akan menghadapi sedikit kesukaran serta halangan.

Jadi, apa pllihan Muhyiddin selanjutnya jika beliau memang berhasrat mahu kembali ke pangkuan UMNO?

Adakah Muhyiddin akan menunggu sehingga Zahid Hamidi disabitkan bersalah dalam kes mahkamahnya terlebih dahulu dan dengan itu kembalinya beliau ke pangkuan untuk mengisi jawatan Presiden UMNO mungkin tidak berdepan banyak masalah lagi?

Namun, kalau Zahid Hamidi tidak boleh mempertahankan jawatan Presiden UMNO disebabkan sabitan kes mahkamah yang dihadapinya, apakah Mohamad Hasan yang kini merupakan Timbalan Presiden UMNO tidak pernah teringin mengisi jawatan tersebut?

Selepas menolak tawaran menerajui GLC daripada Muhyiddin, apakah Tok Mat Hasan seorang yang terlalu zuhud untuk menolak jawatan Presiden UMNO yang daripada jawatan itu dan melalui persefahaman dengan Pas dalam MN tidak dinafikan turut membuka peluang lebih cerah untuknya menjadi Perdana Menteri?

-https://shahbudindotcom.net/

.