RESTAURANTS MORE IMPORTANT THAN MOSQUES? EXTREME & HYPOCRITICAL OR NOT, SOME MUSLIMS START TO QUESTION MUHYIDDIN & CO – WHAT SAYS PAS? APAKAH MAKAN DI RESTORAN LEBIH PENTING DARIPADA SOLAT BERJEMAAH DI MASJID?

Pengumuman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bahawa beberapa sektor ekonomi akan dibenar beroperasi mulai 4 Mei ini telah mengundang reaksi tidak setuju yang lebih besar daripada orangramai.

Antara sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi mulai Isnin ini ialah kedai makan, restoran serta difahamkan juga kedai menjual nombor ekor dengan SOP tertentu seperti penjarakan sosial dan penggunaan hand sanitizer adalah diwajibkan.

Aktiviti bersukan seperti berjoging dan bermain badminton serta golf juga turut dibenarkan.

Lebih ramai tidak setuju dengan keputusan itu kerana PKP fasa keempat ini sepatutnya berakhir pada 12 Mei depan, tetapi Muhyiddin telah melonggarkannya seminggu lebih awal.

Bukankah lebih baik sehingga 12 Mei ini dikuatkuasakan saja PKP sepenuhnya seperti sekarang dan tunggu sehingga PKP fasa keempat ini berakhir barulah jika kebenaran beberapa sektor ekonomi beroperasi mahu dilaksanakan?

Lagi pun, setelah tujuh minggu PKP dilaksanakan, apa bezanya menunggu hanya seminggu saja lagi sehingga tarikh 12 Mei?

Apakah Muhyiddin tidak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Hokkaido Jepun di mana kes Covid-19 meningkat semula setelah perintah berkurung ditamatkan lebih awal?

Mengapa kerajaan melonggarkannya dengan memperkenalkan pula PKP bersyarat mulai 4 Mei, sedangkan dalam masa yang sama pengumuman orangramai tidak boleh balik berhari raya di kampung yang jatuh pada 23 Mei turut dilakukan dalam pengumuman Muhyiddin semalam?

Ini bermakna kalau kerajaan bimbang orangramai balik berhari raya ke kampung akan meningkatkan semula wabak Covid-19, apakah dengan pembukaan kedai makan atau restoran yang dilanjutkan sehingga jam 10 malam bermula 4 Mei ini tidak membawa risiko yang sama?

Lebih-lebih lagi kerana sekarang adalah bulan puasa, sudah pasti kedai makan, terutamanya kedai mamak akan penuh pada waktu dengan orang ramai makan minum atau melepak bersama kawan-kawan bermula Isnin nanti.

Lebih buruk, oleh kerana surau dan masjid masih ditutup, maka kunjungan orangramai ke kedai makan dan restoran mamak sudah pasti akan meningkat sehingga akan memaksa meja-meja diletakkan memenuhi ruang-ruang jalan.

Dengan itu, tidak mustahil akan wujud jangkitan Covid-19 yang lebih besar yang berpunca daripada kluster kedai mamak di seluruh negara selepas ini.

Kebenaran aktiviti bersukan juga dibimbangi meningkatkan wabak Covid-19 seperti contohnya jika ramai yang berjoging secara serentak di waktu pagi dan petang.

Yang paling mendukacitakan, terutama bagi umat Islam ialah sementara kerajaan membenarkan restoran, kedai makan dan kedai nombor ekor beroperasi, tetapi masjid dan surau untuk solat berjemaah masih lagi ditutup.

Sehingga ini sudah tujuh minggu umat Islam tidak menunaikan solat Jumaat serta tidak boleh berterawih di surau dan masjid seperti tahun-tahun sebelumnya.

Dalam hal ini, jika SOP tertentu seperti penjarakan sosial dan penggunaan hand sanitizer boleh dikuatkuasakan kepada pengunjung restoran dan kedai mamak, mengapa hal yang sama tidak boleh dilakukan dengan membenarkan solat berjemaah di surau atau masjid?

Terutama di negeri atau kawasan yang sudah dikenalpasti sebagai zon hijau, apa masalahnya lagi bagi kerajaan masih tidak membenarkan masjid dan surau dibuka seperti biasa?

Tambahan pula, meskipun tidak berdaftar dan melalui tebuk atap, bukankah kerajaan PN ini digembar-gemburkan sebagai kerajaan Melayu/Islam yang kononnya lebih baik dalam menjaga kemuliaan agama Islam berbanding PH dahulu yang didalamnya ada DAP?

Apakah Pas yang sudah berada dalam kerajaan sekarang tidak berperanan mencadangkan sesuatu yang boleh memperlihatkan kedudukan agama Islam di era PN ini lebih tinggi kedudukannya berbanding restoran mamak dan kedai nombor ekor?

Kalau sebelum menjadi kerajaan, Pas sering mengaitkan sesuatu isu dengan ancaman terhadap Islam dan tergugatnya kedudukan Melayu, mengapa dalam keadaan kedai nombor ekor dan restoran mamak lebih diutamakan sekarang ini berbanding masjid dan surau, parti Islam itu masih tidak berkata apa-apa?

Benarkah PN ini sebuah kerajaan yang betul-betul menjaga kedudukan Melayu/Islam atau kerajaan yang ditubuhkan semata-mata mahu mengejar jawatan?

-https://shahbudindotcom.net/

.