‘WARM WATER’ MINISTER & HIS 2 DEPUTIES GONE BACK TO THEIR ‘KAMPUNGS’ TO PLANT CORN? SEKARANG MENTERI KESIHATAN, DUA TIMBALANNYA SUDAH BOLEH BALIK KAMPUNG TANAM JAGUNG

Perlantikan Dr. Jemilah Mahmood sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai kesihatan awam bukanlah sesuatu yang biasa sebenarnya.

Ini kerana bukan saja pertama kali dalam sejarah negara seorang Perdana Menteri mempunyai Penasihat Khas berkaitan kesihatan awam, malah ia dilakukan ketika Kementerian Kesihatan sudah pun mempunyai seorang menteri dan dua timbalan menteri.

Apa perlunya lagi seorang Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai kesihatan awam dilantik?

Apakah dalam hal ini, Muhyiddin Yassin sudah hilang kepercayaan kepada Dr. Adham Baba selaku Menteri Kesihatan dan Dr. Noor Azmi Ghazali serta Aaron Ago Dagang sebagai Timbalan Menteri Kesihatan l dan ll?

Semalam, Muhyiddin mengumumkan perlantikan Dr. Jemilah, pengasas Mercy Malaysia sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai kesihatan awam.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, dengan perlantikan itu, Dr. Jemilah akan bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri mengenai dasar dan inisiatif berkaitan bidang kesihatan.

Berikutan Kementerian Kesihatan sudah mempunyai seorang menteri dan dua timbalan menteri, perlantikan Dr.Jemilah tentunya menimbulkan tanda tanya tentang peranan Dr. Adham dan dua timbalannya di kementerian tersebut.

Mahu tidak tahu, ia pasti ditanggapi berkaitan dengan tindakan Dr. Adham yang sebelum ini memberi petua palsu kononnya meminum air suam mampu membunuh virus Covid-19 dalam badan manusia.

Sejak petua palsunya itu menjadi sanggahan ramai, malah ditolak oleh WHO dan Ketua Pengarah Kesihatan sendiri, Noor Hisham Abdullah, Dr. Adham terus “dipetisejukkan” daripada memberi sidang media berkaitan Covid-19 dan tidak pernah lagi kelihatan kelibatnya muncul di dada-dada media.

Baru-baru ini pula, Dr. Adham juga didapati telah melanggar Akta Perubatan 1971 apabila mendedahkan nama pesakit, seorang kakitangan Kementerian Kesihatan yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Dengan itu, ternampak Dr. Adham tidak layak menjadi Menteri Kesihatan, cuma oleh kerana kerajaan ikut tebuk atap yang dipimpin oleh Muhyidin ini begitu rapuh kedudukan majoritinya, menggugurkan perlantikan yang sudah dibuat adalah mustahil sekali untuk dilakukan.

Sudahlah Dr. Adham dengan karenahnya yang memalulan Muhyiddin dan kerajaan ikut tebuk atapnya, lebih malang lagi kerana dua timbalan menterinya juga langsung tidak berperanan serta seolah-olah “bisu dan kaku” dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Selain Dr. Noor Azmi yang sebelum ini diketahui pernah melompat parti daripada UMNO kepada Bersatu, selain daripada itu, kedua-duanya mungkin tidak dikenali sama sekali oleh majoriti rakyat negara ini.

Kini, dengan adanya Dr. Jemilah sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri berkaitan kesihatan awam yang pejabatnya sebumbung dengan Muhyiddin, sudah pastilah Dr. Adham serta dua timbalannya itu lebih tidak berperanan, bahkan mungkin akan diketepikan sama sekali.

Dari segi pentadbiran dan hal ehwal Kementerian Kesihatan, nampaknya peranan itu telah cukup sempurna dijalankan oleh Noor Hisham selaku Ketua Pengarah Kesihatan, manakala berkaitan dasar serta inisiatif kesihatan awam, Muhyiddin pasti lebih merujuk kepada Dr. Jemilah untuk meminta nasihat serta pandangan.

Maka, di mana peranan dan fungsi Dr. Adham serta dua timbalannya selepas ini, selain hanya goyang kaki dan makan gaji buta?

Dalam hal ini, Dr. Adham, Dr. Noor Azmi dan Aaron Ago seharusnya sedar kedudukan mereka di sebalik perlantikan Dr. Jemilah oleh Muhyiddin itu.

Oleh itu, jika mereka bertiga masih ada maruah serta harga diri, mereka tidak harus berlengah lagi untuk berundur dan meletakkan jawatan dengan segera.

Balik kampung dan tanam jagung lebih mulia serta dipandang tinggi daripada diberikan jawatan, tetapi “dipetisejukkan”, diketepikan dan tidak diberikan sebarang peranan.

-https://shahbudindotcom.net/

.