THE CLOWNS ARE BACK – MALAYSIANS EMBARRASSED & ALSO FURIOUS AT MUHYIDDIN GOVT’S BUNGLING OVER DEADLY COVID-19: DUDUK DI RUMAH MEMANG MEMBOSANKAN, TAPI MELIHAT KELEMAHAN PN JAUH LEBIH MEMBOSANKAN

Hari ini adalah hari keenam kita semua duduk di rumah sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Perintah yang bermula sejak 18 Mac lalu hanya akan berakhir pada 31 Mac nanti.

Duduk di rumah dengan sebahagian utama aktiviti ialah makan, tidur, melayan media sosial, menonton TV, membaca dan bersenam, tanpa keluar rumah atau berjumpa kawan-kawan sambil dapat menghirup kopi atau teh tarik, memang suatu kehidupan yang cukup membosankan.

Bagi yang biasa bersolat jemaah dengan kadang-kadang merehatkan minda menghadiri kuliah maghrib atau subuh, tutupnya masjid dan surau dalam tempoh 14 hari PKP dilaksanakan turut membuatkan jiwa jadi kosong dibuatnya.

Setelah enam hari melalui PKP, bermakna ada lapan hari yang membosankan lagi harus dilalui.

Menurut Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam perutusannya baru-baru ini, jika tempoh 14 hari pertama ini masih gagal mengekang wabak Covid-19, terutamanya kerana ramai yang gagal mematuhi arahan duduk di rumah, tempoh 14 hari PKP seterusnya mungkin akan dilaksanakan.

Aduhhhhhhh…..

Kalau baru enam hari pun sudah cukup membosankan, termasuk Tun Mahathir Mohamad yang menjalani kuarantin diri sendiri mula berasa bosan, bagaimana agaknya untuk melalui kehidupan jika PKP fasa kedua dilaksanakan?

Yang pasti, kehidupan tentu lebih membosankan lagi.

Lebih bosan lagi ialah jika berat badan turut lebih meningkat di mana seluar dan baju, tidak dapat tidak, dengan sendirinya akan menjadi ketat dan sendat.

Begitu pun, dalam kita menjalani kehidupan yang mula membosankan ini, yang lebih membosankan lagi ialah kerana kerajaan PN yang ditubuhkan melalui pintu belakang ini seolah-olah gagal mengurus keadaan yang diakibatkan oleh wabak Covid-19.

Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan kabinet dilihat tidak benar-benar berfungsi menangani krisis yang sedang melanda ini.

Muhyiddin, selain kemunculan melalui perutusan khas secara langsung di kaca tv, langsung tidak terlihat serius dan mengambil berat dengan misalnya, turun padang melawat petugas barisan hadapan menjalankan tugas mereka.

Kalau Yang Dipertuan Agong boleh turun padang mencemar duli melihat pasukan polis menjalankan tugas mengadakan sekatan jalanraya bagi memastikan rakyat mematuhi arahan PKP, kenapa Muhyiddin tidak pernah turun padang walau sekali?

Begitu juga jika Raja Permaisuri Agong boleh menyediakan makanan dan memasak sendiri sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan kepada petugas-petugas di Hospital Sungai Buloh yang bertungkus lumus bekerja siang dan malam, kenapa Bakti atau Persatuan Isteri-Isteri Menteri masih kaku tidak berbuat apa-apa?

Apakah Muhyiddin dan isterinya yang merupakan Yang Dipertua Bakti tidak ada perasaan malu terhadap Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong?

Ada pula menteri, lebih nampak jadi pelawak dan penyebar petua palsu kononnya air suam mampu mencegah penularan wabak Covid-19 berbanding menjalankan tugas yang membuat rakyat rasa senang dalam hati.

Sebagai Menteri Kesihatan, tidakkah Dr. Adham Baba sedar bahawa beliau mesti bercakap berdasarkan fakta perubatan dan bukti yang sahih, bukan seperti ahli politik bercakap di kedai kopi atau ketika menagih undi.

Mujurlah kita ada Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah yang kata-katanya cukup berwibawa dan memberi keyakinan tanpa kesangsian kepada rakyat seluruhnya.

Lebih daripada itu, sudahlah Muhyiddin tidak serius, tidak mengambil berat dan tidak menunjukkan keprihatinan yang tinggi, menteri dan timbalan menteri seramai 70 orang yang ada juga hampir 90 peratus daripadanya hampir tidak berbuat apa-apa dalam membantu menangani wabak Covid-19 ini.

Memang difahami bahawa tidak semua menteri atau timbalan menteri dibenar mengeluarkan kenyataan, tetapi apakah memberi sokongan dalam bentuk lain, kalau pun tidak sedia menghulurkan sebahagian gaji untuk membeli makanan, topeng muka atau pakaian pelindung diri untuk petugas-petugas barisan hadapan, tidak boleh dilakukan juga?

Yang sangat-sangat memalukan sekali ialah setelah masuk hari keenam PKP dikuatkuasakan, isu mudah seperti topeng muka pun belum mampu lagi diselesaikan.

Mula-mula dikatakan topeng muka tidak cukup bekalan, kemudian kerajaan setuju membenarkan harganya dinaikkan daripada 80 sen kepada RM2, seterusnya dilarang diekspot bagi memastikan ia sentiasa ada dalam pasaran.

Malangnya, baru hari ini Ismail Sabri selaku Menteri Pertahanan mengumumkan harga RM2 yang diputuskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini dianggap terlalu tinggi oleh Perdana Menteri dan hanya esok baru mesyuarat diadakan untuk memutuskan harga baru yang sesuai.

Yang sedihnya, baik ketika harganya 80 sen atau RM2, di merata-rata tempat, hampir tidak ditemui alat keselamatan itu dan mencari topeng muka di pasaran ibarat mencari emas di dalam beras.

Esok pun, setelah harga baru diputuskan, belum pasti lagi bila ia boleh dengan mudah dibeli di pasaran.

Kemudian, dilaporkan pihak China sudi menyumbang sebanyak 10 juta topeng muka untuk petugas barisan hadapan memerangi wabak Covid-19 yang mana pengagihannya akan diuruskan oleh Nadma atau Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Kata jurucakap kabinet, Fadilah Yusof yang juga Menteri Kerjaraya, hanya jika ada lebihan daripada 10 juta itu, barulah ia akan diberikan kepada pasaran melalui syarikat Pharmaniaga.

Soalnya, tidak bolehkah topeng muka itu diberi percuma kepada rakyat melalui kaedah tertentu yang difikirkan sesuai oleh kerajaan?

Dalam semua keadaan itu, di samping rakyat terus dilanda kebosanan duduk di rumah, kebosanan itu tambah berganda lagi melihat kelemahan dan kegagalan ketara PN mengurus situasi dan keperluan berikutan perlaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu.

Jangankan untuk memgurus hal-hal yang lebih besar, isu topeng muka yang harganya cuma antara 80 sen hingga RM2 pun masih gagal diselesaikan setelah masuk hari keenam PKP dilaksanakan.

Dengan kelemahan dan kegagalan ketara itu, pendeknya kalau ada PRU dalam masa dua atau tiga bulan akan datang, pasti mudahlah tumbang dan berakhirlah era kerajaan PN yang tanpa struktur dan manifesto ini.

Sudahlah pembentukan kerajaan PN ini tanpa pilihanraya atau mandat daripada pengundi melalui PRU, kegagalan mengurus wabak Covid-19 lebih membuatkan kerajaan pimpinan Muhyiddin ini semakin jauh daripada hati rakyat.

Bosan…bosan…bosan…

-https://shahbudindotcom.net/

.