MUHYIDDIN SCURRIES FOR HIS POLITICAL LIFE – NOT FROM COVID-19, BUT FROM MHATHIR: KALAU MUHYIDDIN KALAH DALAM PEMILIHAN BERSATU, ADAKAH MAHATHIR BERPELUANG JADI PM SEMULA?

Ramai yang melihat hubungan Muhyiddin Yassin dengan Tun Mahathir Mohamad kini ibarat “sudah berpatah arang, berkerat rotan”.

Hampir tidak ada yang yakin hubungan kedua-duanya dapat dipulihkan, meskipun mereka berada dalam parti yang sama.

Baik penyokong Tun Mahathir atau penyokong Muhyiddin, semuanya tidak pasti sama ada hubungan kedua pemimpin itu dapat dipulihkan dalam waktu terdekat ini.

Malah, mereka nampaknya lebih yakin permusuhan itu akan terus berpanjangan dan kian berkembang untuk tahun-tahun mendatang.

Berikutan Tun Mahathir sudah diisytiharkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu, ini bermakna beliau sekurang-kurangnya akan mengetuai Bersatu untuk tempoh tiga tahun lagi.

Bagi perebutan jawatan Presiden Bersatu di mana Muhyiddin akan dicabar oleh Mukhriz Mahathir, tidak dapat tidak, pertandingan itu nanti adalah pertandingan proksi sebenarnya.

Terlihat di sini Tun Mahathir dengan sengaja telah meletakkan anaknya untuk menentang Muhyiddin bagi memastikan jawatan Pengerusi dan Presiden Bersatu dapat dikuasainya.

Jika Tun Mahathir tidak mahu meneruskan perbalahannya dengan Muhyiddin, beliau boleh saja meminta anaknya kekal bertanding jawatan Timbalan Presiden, jawatan yang dipegang Mukhriz ketika ini.

Jika itu berlaku, pastilah jawatan Pengerusi dan Presiden akan dimenangi tanpa bertanding oleh Tun Mahathir dan Muhyiddin, malah sesiapa yang cuba mencabar Mukhriz bagi kerusi Timbalan Presiden pun akan sukar untuk mencapai kemenangan.

Tetapi, dengan Mukhriz mencabar Muhyiddin, jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden juga ditandingan oleh calon-calon daripada pasukan Tun Mahathir dan Muhyiddin.

Bermakna, Bersatu dalam pemilihan akan datang ini sudah terbelah dua antara kem Tun Mahathir dan Muhyiddin.

Selepas pemilihan nanti, kecuali jika pasukan Muhyiddin mampu memenangi semua kerusi yang dipertandingkan, kemungkinan Bersatu untuk terus terbelah dua adalah tinggi sekali.

Jika pasukan Tun Mahathir yang menguasai pemilihan itu nanti, beliau pasti akan terus melakulan serangan dan kacau-ganggu terhadap Muhyiddin selaku Perdana Menteri yang tidak direstuinya.

Kalau pasukan Muhyiddin tidak menang semua atau majoriti jawatan yang dipertandingkan dan selaku Pengerusi di mana Tun Mahathir mempunyai banyak kuasa dalam Bersatu, itu bermakna ia adalah petanda buruk buat masa depan beliau selaku Perdana Menteri.

Tun Mahathir dipercayai akan lebih memberi tekanan untuk menjatuhkan Muhyiddin.

Dalam hal ini, soalan yang banyak ditanya ialah apakah Tun Mahathir sebenarnya berhasrat mahu jadi Perdana Menteri semula?

Apakah jika Tun Mahathir dapat mengusai Bersatu selepas pemilihan nanti, beliau akan kembali menjadi Perdana Menteri dengan cara terus memberi tekanan supaya PN menyingkirkan Muhyiddin atau melalui sokongan PH menerusi undi tidak percaya di Parlimen?

Kalau melalui PN, adakah parti-parti dalam gabungan itu sedia meneriima Tun Mahathir semula setelah sebelum ini telah mengenepikannya berikutan ideanya menubuhkan kerajaan tanpa parti ditolak?

Jika menerusi PH pula, mahukah Anwar Ibrahim terus memberi sokongan kepada Tun Mahathir, sedangkan baru-baru beliau menyatakan tidak lagi mempercayai bekas Perdana Menteri itu?

Atau adakah kali ini, asalkan dapat memenuhi keinginannya menjatuhkan Muhyiddin, maka Tun Mahathir sedia memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-9?

-https://shahbudindotcom.net/

.