THE ‘CHINESE GOVT’ IN MALAYSIA HAS FALLEN – TIME TO FORM SPECIAL TASKFORCE TO’SAVE’ THE MALAYS & ISLAM: JAWATANKUASA KHAS UNTUK SELAMAT MELAYU & ISLAM PERLU DITUBUH SEGERA

SEBAB utama kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibenci dan diusahakan supaya tumbang kerana ia dianggap kerajaan yang ditunggangi oleh Cina DAP. Kononnya kerajaan PH kerajaan Cina bukannya kerajaan Melayu. Kerajaan PH itu telah membelakang hak-hak Melayu dan juga telah menindas (mempertikaikan) peremis Islam.

Itulah hujah atau modal dimainkan kenapa kerajaan PH perlu diguling. Hujah itu dijual dan dilacurkan kepada orang Melayu. Dan Melayu bukan sahaja di kampung-kampung di desa-desa, di kuala dan di hulu, tetapi Melayu di bandar tergolong dalam cerdik pandai dan bermaklumat juga termakan sama.

Tuduhan itu merupakan propaganda berzat yang mudah diterima dan makan oleh Melayu yang jumud dan rasis dan tidak mahu berpijak di bumi nyata, enggan menerima hakikat negara ini majmuk. Politik ala Malaysia dibangunkan sejak berdekad lalu, musnah begitu sahaja.

Orang Melayu mudah terima segala propaganda itu kerana mereka buat pertama kali kehilangan kerajaan UBN, yang mereka mitoskan sebagai kerajaan Melayu yang banyak membantu mereka. Yang mereka anggap UBN kerajaan keramat yang tidak boleh ditumbangkan. Walhal kerajan UBN dahulunya Perikatan dibangunkan atas muafakat kaum, yang kemudian menjadi alat elit untuk menyangak kekayaan negara.

Mereka sengaja melupakan realiti ini kerana sudah terbius dengan dakyah, apa lagi dakyah itu dilumuri dengan elemen agama diwangikan dengan attar dan setangi cap Kaabah.

Kerajaan Cina sudah tiada.

Hari ini kerajaan PH yang dianggap kerajaan Cina itu sudah tidak ada lagi. Yang ada kini kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan seminggu lalu. Kerajaan hari ini bukan kerajaan Cina DAP lagi. Tidak ada seorang ahli parlimen DAP pun menganggotai kabinet dibentuk Muhyiddin Yassin itu. Dua atau tiga orang Cina yang diambil sebagai anggota kabinet bukan “berbangsa DAP”. Mereka percaya bahawa Cina itu berbeza sifat, perangai dan budaya dengan Cina DAP.

Maknaya, kerajaan hari ini perlu bertindak untuk menguatkan semula Melayu yang dikatakan sudah tergadai dan terhakis selama 22 bulan lepas. Kerajaan baru diharap bangkit membela Melayu seoptiumnya, bagi merealisasikan aspirasi rakyat yang didakwa itu.

Kita berharap semua tuduhan terhadap kerajaan PH yang menghakiskan kuasa Melayu dan menindas Islam disenaraikan satu persatu. Kita mahu ia dijelas dan dikemukakan kepada rakyat dan umum. Jangan sahaja semua dakwaan itu bersifat persepsi dan tuduhan sebaliknya bentanglah secara fizikal.

Misalnya senarai dan jelaskan berapa banyak aset-aset utama Melayu sudah dijual atau tergadai selama 22 bulan lalu. Turunkan buitran pencapaian dan perubahan mendadak ekonomi dan kepentingan bangsa Cina berbanding dengan Melayu selama 22 bulan lepas.

Senaraikan juga berapa individu Cina menguasai Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan menduduki posisi strategi dalam kementerian-kementerian itu.

Senaraikan satu persatu apa-apa perkara dan asepk menyebabkan Melayu tertindas dan terancam serta terkelakang daripada kaum Cina. Senaraikan juga apa-apa perubahan dan tindakan drastik kerajaan PH lakukan untuk Cina.

Kita akan perhati dan menilai kesemua senarai itu dan meneliti apakah ia benar atau sebaliknya.

Jangan lupa senaraikan penindasan dilakukan oleh kerajaan PH terhadap Islam. Apakah kerugian dan kekurangan Islam sepanjang 22 bulan lepas berbanding sebelum ini. Adakan peraturan dan pembangunan syiar Islam berkurangan atau dipotong selama 22 bulan lepas. Apakah kekurangan kouta peserta Haji disebabkan kerajaan PH?

Dedahkan secara forensik penjualan aset-aset Melayu seperti dalam Tabung Haji yang didakwa itu untuk disemak dan diauditkan. Atau kalau perlu untuk dilihat isu itu serius bentangkan kertas putih mengenai penindasan terhadap Melayu dan Islam oleh kerajaan PH di parlimen.

Jawatankuasa khas.
Dalam pada itu kerajaan PN hendaklah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani segala permasalah disebut itu. Jawatankuasa itu hendaklah dianggotai atau melibatkan kementerian-kementerian, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama dan Ekonomi), Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, dan lain-lain difikirkan perlu.

Jawatankuasa ini hendaklah bertanggungjawab menyelesai dan mengatasi segala masalah yang dijaja itu. Keperluan menyelesaikan masalah ini lebih penting daripada fokuskan kepada ekonomi kerana jika maasalah disebut dan didakwa itu tidak selasai, ia tidak akan mewujudkan keadaan kondusif kepada negara dan suasana itu membawa kesan buruk kepada percambahan ekonomi juga.

Kita beri tempoh tiga bulan untuk mengatasi segala masalah itu dan Jawatakuasa Khas peringkat kabinet itu perlu ditubuhkan segera.

Kerajaan hari ini jangan main-main dengan segala tuduhan itu, apa lagi cuba menarik balik dengan menukar nada dan konotasi. Mereka kini sudah jadi kerajaan.

Sekiranya semua dakwaan, kebimbangan itu  memang wujud tetapi gagal diatasi ia adalah kegagalan dan kelemahan kerajaan hari ini. Kegagalan itu menyebabkan kerajaan hari ini yang dibentuk dengan suatu pencurian kuasa, sia-sia sahaja. Keupayaan mengatasi juga menguji keupayaan kerajaan supremasi Melayu-Islam.

Kegagalan mengatasi segala masalah dan kebimbangan itu juga menyebabkan orang akan tuduh apa yang didakwa sebelum ini palsu dan retorik semata-mata, ia akan dianggap hanya dijadikan isu untuk menimbulkan kebencian kepada kerajaan PH yang dibentuk dengan mandat rakyat. Jangan hendaknya kerajaan PN disumpah berbakul-bakul.

-http://msomelayu.blogspot.com/

.