IS IT TRUE – HAS DAIM BROKEN OFF WITH MAHATHIR? BENARKAH DAIM TIDAK LAGI BERSAMA MAHATHIR?

Bekas Pengerusi Majlis Penasihat kerajaan, Tun Daim Zainuddin menyuarakan penolakannya terhadap gesaan agar Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad membuat pakatan baru dengan PAS dan UMNO melalui Pakatan Nasional.

Tun Daim yang dikenali sebagai penasihat Tun Mahathir berkata, pengundi sudah memberikan mandat kepada kerajaan sekarang, justeru keutamaan PH sepatutnya ialah mengembalikan keyakinan rakyat, bukan menubuhkan kerajaan baru.

Bercakap kepada akhbar Sin Chew Daily, Tun Daim berkata, rakyat mahukan kebajikan mereka dibela dan kerajaan pula menjadi stabil serta kukuh.

“Kita perlu bergerak ke depan dan membangunkan negara ini secara berterusan.

“Kerajaan mesti mengatasi semua masalah yang boleh diselesaikan sekarang juga,” katanya.

Ura-ura penubuhan Pakatan Nasional muncul sejurus selepas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam, mendedahkan wujudnya usaha Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mendapatkan sokongan bagi bekerjasama dengan Tun Mahathir.

Ia berlaku ketika isu peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Mahathir kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, semakin banyak diperkatakan.

Pendedahan itu dianggap menggagalkan rancangan menyekat Anwar daripada mengambil alih teraju kerajaan dan akhirnya mengakibatkan Lokman dipecat daripada UMNO.

Penolakan Tun Daim terhadap Pakatan Nasional dengan sendirinya bermakna beliau juga tidak setuju dengan usaha mengumpulkan Akuan Bersumpah atau SD Ahli-Ahli Parlimen bagi mengekalkan Tun Mahathir sehingga habis penggal.

Juga bermakna, dengan mahu PH diperkuatkan kerana ia sudah dipilih rakyat sebagai kerajaan, keinginan Tun Daim tentunya juga ialah agar peralihan kuasa kepada Anwar tidak cuba diganggu-gugat lagi.

Harus difahami, SD itu jika berjaya diperolehi, kerajaan PH yang ada sekarang dengan sendirinya akan berakhir dan akan digantikan dengan sebuah kerajaan lain, tetapi masih berketuakan Tun Mahathir sehingga tahun 2023.

Pengumpulan SD itu secara nyata mengenepikan Ahli-Ahli Parlimen PKR pro Anwar, DAP dan juga Amanah serta membuatkan janji peralihan kuasa yang telah dipersetujui dimungkiri.

Bermakna, dengan sokongan utama daripada UMNO dan Pas, kerajaan yang baru yang mahu diusahakan melalui pengumpulan SD itu adalah Pakatan Nasional dengan mengenepikan pilihan pengundi pada PRU14 lalu, sebaliknya mengambil pihak yang kalah iaitu UMNO dan Pas untuk menjadi kerajaan.

Tidak mustahil melalui Pakatan Nasional itu, Timbalan Perdana Menteri adalah daripada UMNO.

Tetapi, kenapa Tun Daim menolak idea penubuhan Pakatan Nasional dan mahu PH terus diperkuatkan?

Adakah Tun Daim, sebagaimana banyak diperkatakan kebelakangan ini, sudah tidak lagi menjadi penasihat politik kepada Tun Mahathir?

-https://shahbudindotcom.net/

.