MAHATHIR SHOULD BE CAREFUL ABOUT HIS BOOTLICKERS – THEY ONLY CARE ABOUT WHAT THEY CAN GET, NOT HIS ‘LEGACY’: PENGAMPU2 MAHATHIR SEPERTINYA MAHU BELIAU MATI DALAM KEHINAAN

Selagi Majlis Presiden tidak membuat keputusan lain atau Tun Mahathir Mohamad sendiri tidak berterus-terang enggan melakukan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, perjanjian berhubung perkara itu adalah kekal sebagaimana ia telah dimuktamadkan sebelum ini.

Muktamadnya perjanjian itu adalah jelas iaitu Anwar sebagai pengganti Perdana Menteri selepas Tun Mahathir, cuma tarikh bermulanya beliau mengambil alih jawatan itu saja yang belum lagi ditetapkan.

Begitu pun, berdasarkan janji Tun Mahathir sendiri yang berulangkali dilafazkannya iaitu hanya mahu memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun dan akan melakukan serah kuasa kepada Anwar sebelum tibanya PRU15, tidak diragui lagi peralihan kuasa tidak harus terlalu dilewat-lewatkan.

Anwar harus diberi masa yang cukup memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ketibaan PRU15 yang tempoh akhir mesti diadakan adalah pada tahun 2023.

Namun demikian, sementara ketiadaan tarikh serah kuasa itu terus menimbulkan pelbagai isu lain, termasuk komplot jahat untuk mengekalkan Tun Mahathir sehingga habis penggal, sama ada melalui Akuan Bersumpah atau usul percaya Pas dan dalam masa yang sama beliau enggan berterus-terang serta masih berteka-teki, keadaan itulah yang sebenarnya mencetuskan banyak spekulasi terus berkembang tanpa kawalan.

Bagi yang ada kepentingan seperti Zahid Hamidi yang berdepan 87 kes mahkamah atau Pas yang takut dengan wibawa dan ketrampilan Anwar, keinginan mereka sedia mengampu Tun Mahathir agar kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal tidaklah sukar difahami.

Atas kepentingan itu, mereka sanggup berbuat apa saja asalkan apa yang diingini dapat memenuhi kehendak hati.

Tetapi, bagi pengampu-pengampu yang lain daripada PH, sama ada yang ada jawatan atau sebaliknya, untuk apakah sebenarnya mereka beria-ia mahu Tun Mahathir kekal sehingga habis penggal dan seterusnya memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar?

Apakah yang boleh bangga dan perolehi jika Anwar berjaya digagalkan jadi PM dan Tun Mahathir terus kekal sehingga habis penggal, tetapi dalam masa yang sama menjerumuskan diri Perdana Menteri kepada kemunafikan dan PH kepada perpecahan?

Ataukah mereka mahu PH berpecah dan supaya dengannya UMNO kembali berkuasa selepas PRU15 nanti?

Kepada pengampu dan pembodek, tidak sedarkah bahawa tindakan mereka yang boleh menyebabkan Tun Mahathir mungkir janji, jatuh ke lembah kemunafikan dan bergaduh semula dengan Anwar, yang lebih buruk ialah ia tanya akan memungkinkannya meninggal dunia dalam kehinaan?

Seharusnya, jika mereka sayang kepada Tun Mahathir, dalam usianya menuju 95 tahun yang kematian bila-bila masa boleh menjemputnya, yang harus mereka lakukan ialah mendorongnya sentiasa berpegang kepada janji kerana itulah yang akan memastikan nama dan legasinya, selepas ketiadaannya nanti, terus terpelihara dan diingati.

Lebih daripada itu, dalam usia menuju 95 tahun sekarang dan tiada lagi orang kanan yang setia serta kreatif disisinya seperti Megat Junid Megat Ayob, Sanusi Junid dan Aziz Shamsuddin, malah Tun Daim Zainuddin juga dikhabarkan tidak banyak campurtangan lagi, selain kedudukan Bersatu yang tidak cukup kuat, sedarkah mereka jika janji peralihan kuasa dimungkiri dan perbalahan dengan Anwar tercetus kembali, risiko kalah untuk Tun Mahathir adalah lebih tinggi lagi?

Bahkan, tidak mustahil, kerana faktor usia dan jantung yang tidak lagi sekuat dahulu, Tun Mahathir juga berisiko rebah dan meninggal dunia dalam asakan ketegangan berbalah semula dengan Anwar yang slogan perjuangannya semua orang tahu adalah “Lawan Tetap Lawan” dan “Lawan Sampai Menang.”

Dalam erti kata lain, jika janji peralihan kuasa dimungkiri atas desakan pengampu-pengampunya itu, sama ada Tun Mahathir menang atau kalah, kemungkinan untuk beliau mendapat penghinaan selepas kematiannya adalah cukup tinggi.

Tidak mustahil, bukan saja nama dan legasinya akan dicaci, malah kuburnya juga nanti mungkin akan dikencingi.

Berbeza jika beliau dipastikan memenuhi janji dan tidak berbalah dengan Anwar, namanya sebagai negarawan pasti akan kekal harum dan dikenang sepanjang zaman.

Dalam hal ini, bagi yang mempertahankan janji peralihan kuasa dipenuhi, walaupun mereka dilihat tidak mengampu Tun Mahathir, mereka jelas lebih jujur dan mahu namanya terus terpelihara selepas ketiadaannya, selain sayang dan ingin PH menjadi kerajaan dalam tempoh yang lebih lama lagi.

Oleh itu, kepada pengampu-pengampu tersebut, apa yang sebenarnya mereka perjuangkan untuk Tun Mahathir – kemuliaannya atau kehinaan untuknya?

-https://shahbudindotcom.net/

.