ARISE ‘PAKATAN NASIONAL’, REST IN PEACE PAKATAN HARAPAN – NO ONE TO BLAME BUT PH’S OWN TOP COUNCIL FOR GIVING MAHATHIR TOO MUCH ROPE TO KILL THEMSELVES: TARIKH SERAH KUASA SEPATUTNYA DITETAPKAN SEBAIK SAJA ANWAR BERGELAR AHLI PARLIMEN PD

Jika kerajaan “selamatkan diri” Pakatan Nasional yang diperbualkan kebelakangan ini akhirnya benar-menjadi kenyataan, sebab utama ia boleh berlaku ialah kerana gagalnya PH menetapkan tarikh peralihan kuasa daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

Kini harus disedari bahawa kerana tiada tarikh khusus berkenaan penyerahan kuasa itulah yang membuatkan pintu wujudnya sebuah kerajaan baru melalui jalan belakang sentiasa terbuka luas.

Kerana tiada tarikh itu jugalah, pihak tertentu dalam UMNO dan Pas yang dalam hati mereka penuh dengki dan dendam sentiasa mencari peluang menanam jarum hasutan terhadap Tun Mahathir.

Kerana tiada tarikh itu jugalah Tun Mahathir yang sudah berjanji hanya mahu dua tahun sebagai Perdana Menteri mudah lupa kepada janjinya sendiri, walaupun dalam usianya sudah 94 tahun kini beliau seharusnya lebih banyak memikir soal akhirat berbanding dunia.

Lebih mudah lagi beliau lupa kepada janji sendiri kerana selalu pula dibuai oleh pembodek dan pengampu yang mengipasnya setiap hari.

Kerana tiada tarikh itu jugalah mereka yang ada kes mahkamah sanggup menjual maruah dengan menawarkan sokongan berkuasa lebih lama asalkan dapat menyelamatkan diri dan mengelak daripada menghuni penjara.

Kalau sejak awal tarikh peralihan kuasa sudah ditetapkan, bukan saja perpecahan dalam PH tidak berlaku, malah tidak terjadi juga pelbagai episod dalam politik negara sehingga mungkin tertubuhnya gabungan baru Pakatan Nasional yang hangat diperkatakan sekarang ini.

Berdasarkan perjanjian peralihan kuasa yang ditandatangani sebelum PRU14 lagi jelas menyebut bahawa Tun Mahathir dipersetujui sebagai Perdana Menteri sementara menunggu Anwar dibebaskan daripada penjara dan mendapat pengampuan Yang Dipertuan Agong yang dengan kedua-duanya itu beliau boleh kembali menjadi Ahli Parlimen yang merupakan tiketnya untuknya aktif semula dalam politik dan boleh memegang jawatan dalam kerajaan.

Dalam hal tersebut, oleh kerana sukar untuk menjangka proses pembebasan dan pengampunan boleh diperolehi, sebab itu tarikh peralihan kuasa tidak ditetapkan, sebaliknya tempoh dua tahun dikira sebagai jangkamasa yang munasabah bagi kedua-dua proses tersebut.

Tetapi, tidak disangka Anwar telah dibebaskan daripada penjara dan mendapat pengampunan daripada Agong hanya dalam tempoh kira-kira tiga bulan selepas PH membentuk kerajaan pada 10 Mei 2018.

Berikutan itu, Anwar kemudiannya bertanding dalam PRK Port Dickson pada 13 Oktober 2018 dan menang dengan majoriti 23,560 undi.

Berdasarkan ayat dalam perjanjian peralihan itu bermakna proses peralihan kuasa sudah boleh dimulakan sebaik saja Anwar terpilih sebagai Ahli Parlimen yang merupakan tiketnya untuk boleh menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir.

Mungkin Tun Mahathir boleh dipersetujui untuk memegang jawatan sehingga tempoh dua tahun, tetapi apa salahnya jika selepas Anwar terpilih sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, tarikh peralihan kuasa sudah ditetapkan?

Kalau itu yang dilakukan oleh Majlis Presiden sejak dulu, tidakkah kemelut dalam PH sebagaimana yang berlaku sekarang tidak akan berlaku?

Lebih malang, walaupun sehingga ke peringkat era PH hampir berakhir dan bakal digantikan dengan Pakatan Nasional, Majlis Presiden masih lagi tidak berbuat apa-apa?

-https://shahbudindotcom.net/

.