PPSMI MENYERLAHKAN CIRI MAHARAJA MAHATHIR?

Dahulu, ketika 1MDB menjadi isu hangat, Zaid Ibrahim (sekarang Pengerusi DAP Kelantan) pernah melabelkan Najib Razak memimpin negara bak seorang maharaja.

Najib dilabelnya sedemikian kerana dilihat mentadbir negara ini secara berkuasa penuh, tak boleh ditegur dan sesiapa yang menentangnya akan segera dipecat atau disingkirkan.

Daripada satu segi, terutama ketika itu, kata-kata Zaid itu memang ada benarnya.

Itulah juga salah satu sebab mengapa keinginan rakyat menumbangkan BN dan menyingkirkan Najib begitu kuat.

Tetapi, setelah 20 bulan PH menjadi kerajaan dan Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, apa sudah jadi sekarang?

Ciri-ciri maharaja yang sebelumnya ada pada Najib, nampaknya telah mula mencambah dalam diri Perdana Menteri yang bernama Tun Mahathir.

Walaupun sifat maharaja itu sebenarnya telah wujud ketika era 22 tahun pemerintahan Tun Mahathir sebelum ini, tetapi tentulah tidak disangka setelah maharaja disingkirkan pada PRU14 dengan nafas reformasi dan semangat Malaysia Baru, kini muncul lagi seorang maharaja baru.

Cara Tun Mahathir melaksanakan dasar PPSMI yang diumumkannya semalam betul-betul menampakkan ciri seorang maharaja.

Ini kerana bukan saja perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet, malah diumumkan oleh Tun Mahathir yang hanya bertaraf pemangku Menteri Pendidikan.

Lebih daripada itu, mengembalikan dasar PPSMI yang pernah dibatalkan pada 2012 juga bukan sebahagian daripada manifesto PH dalam PRU14 lalu.

Sementara banyak janji manifesto PRU14 belum tertunai, tidak dilaksanakan dan diabaikan begitu saja, melaksanakan PPSMI yang bukan sebahagian janji pilihanraya dan tidak pernah dibincangkan dalam kabinet, tentulah hanya seorang pemimpin yang bersifat maharaja saja mampu melaksanakannya.

Lantaran sifat maharaja itu, maka tidak menghairankan jika yang dijanji adalah pemansuhan tol, namun yang dilaksanakan akhirnya adalah pemanjangan lagi tempoh konsesi selama 20 tahun sehingga tahun 2058.

Dengan ciri-ciri maharaja yang kian menyerlah itu, selagi Tun Mahathir ada di kerusi Perdana Menteri, janganlah diharap terlalu tinggi terhadap janji-janji lalu akan dilaksanakan.

Bukan saja janji tidak dilaksana, malah pembaharuan dalam kerajaan sebagaimana yang dilaung-laungkan sebelum ini, selagi ada Perdana Menterinya bernama Tun Mahathir, hanyalah pemanis kata untuk mendapat sokongan semata-mata.

Dalam diri Tun Mahathir ternampak tiada keinginan sama sekali untuk melaksanakan segala janji dan pembaharuan itu, yang diingininya lebih untuk kembali kepada ciri-ciri PM4 dahulu.

Sebagaimana semasa PM4 dulu beliau banyak berjanji memilih penggantinya, sekarang pun pengganti yang sudah dipersetujui masih kabur lagi untuk menjadi realiti.

Maka, apa lagi yang boleh kita harapkan selagi maharaja ini memimpin negara kita?

-https://shahbudindotcom.net/

.