BUDAYA TAKFIRI BENAR ATAU TANGGAPAN BENCI MAD SABU KEPADA PAS SAHAJA?

SUDAH kerap kali Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu menyuarakan kebimbangan terhadap perbuatan “takfiri” yang kini sudah menjadi budaya dan modal segelintir orang politik dan dihalalkan oleh sebuah parti politik bernuasankan agama.

Mad menyatakan kebimbangan kalau budaya itu tidak dihapuskan ia boleh menjejaskan bukan sahaja ukhuwah Islamiah, tetapi ikut menjejaskan sama keselamatan negara kerana budaya itu berpotensi menimbulkan perbalahan sampai pulau memulau hatta berbunuhan.

Beliau menyebut apa yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah khasnya di Iraq dan Syria sehingga sampai “berkaumiyah”, bunuh membunuh disebabkan budaya takfiri ini.

Apakah dimaksudkan takfiri, ialah tindakan mengkafirkan oleh satu puak (Islam) kepada puak yang lain disebabkan perbezaan dalam aliran fahaman dan kepercayaan berhubung syariat dan akidah. Mendukacitakan ia terbawa juga ke dalam perbezaan politik, teori-teori ekonomi dan lainnya.

Mereka yang mengkafirkan pihak lain beranggapan dan berpegangan (fanatik) konon cara dan pendekatan mereka sahajalah yang benar dan haq yang mengikuti perjuangan Rasulullah s.a.w yang akan dibalas imbuhan syurga.

Perbuatan mentakfiri ini sebenarnya sangat merbahaya kerana ia sampai menyamai perbuatan (hukum) murtad, dimana murtad menurut sesetengah mazhab boleh dibunuh. Ternyata kedudukan mereka yang ditakfiri ini lebih teruk daripada orang kafir seperti kafir zimi atau kafir harbi itu sendiri.

Jika tidak salah saya, perkara ini dibangkit Mad sejak beberapa tahun lalu, sebelum beliau menjadi menteri dan partinya menjadi parti pemerintah. Apa disebut Mad itu bukan dikait karai daripada peristiwa jauh, tetapi ia melihat kepada apa yang berlaku di sekitar dirinya sendiri.

Menolak professional.
Sejarah terkeluarnya Mohamad Sabu daripada harakah Pas bersama segugus pemimpin Pas yang berfikir professional lain kerana fahaman atau budaya tersebut. Mereka yang tidak berpendidikan Islam langsung dari negara-negara Timur Tengah atau mendapat pendidikan awal di pondok pesantren dianggap sebagai sekular. Sekularisme mereka itulah menyebabkan mereka dituduh sebagai tidak Islamik seperti mereka, (takfiri).

Untuk kesekian kalinya semalam, Presiden Amanah itu sekali lagi menybut kebimbangannya mengenai budaya itu. Beliau berpendapat dengan membiarkan keadaan itu, ia boleh menyamai sikap dan pemikiran melampau sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan negara juga.

Daku percaya berhubung dengan kenyataan terbaru Mad itu juga menyebabkan ada sebuah catatan dalam facebook yang menghuraikan kronologi budaya berkenaan dan menyifatkan takfiri itu sebagai virus berbahaya.

Seorang facebooker yang pemimpin Amanah, Zolkharnain Abidin dalam catatan di Fbnya, (28/01/2020) menyifatkan budaya takfiri itu merupakan satu virus yang sangat bahaya dimana darjahnya sama bahaya dengan penularan virus Novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV) yang kini sedang diperkatakan.

Zolkharnain membuat catatan mencerita bagaimana bermulanya virus takfiri itu berkembang biak. Menurutnya ia bermula hasil daripada apa disebut suatu amanat yang bernama Amanat Haji Hadi. Hadi Awang dalam satu cermahanya di Bangul Peradong, Terengganu tahun 1981 telah membuat fatwa berhubung di antara batas iman dan kufur yang memberi tafsiran kenapa seseorang atau puak itu boleh dianggap kafir.

Dibawah ini dipetik siarkan catatan Zolkharnain itu:

“Ucapan pemimpin berkenaan yang melabel parti politik lawannya mengamalkan perlembagaan penjajah, dan melawan parti politik itu dianggap jihad dan mati syahid kemudiannya diangkat menjadi amanat pengucapnya.

“Selepas amanat itu dicetak dalam bentuk poster pelbagai saiz yang dijual atau diberi percuma, virus itu terus disebar daripada seorang kepada seorang yang lain atas nama menjelaskan batas-batas iman dan kufur.

“Namun, penjelasan batas-batas iman dan kufur itu bertukar menjadi medan mengkafirkan orang lain yang tidak sejamaah dan tidak sealiran cara fikir. Bahkan pembawa virus ini menganggap orang yang keluar dari kumpulan mereka sebagai merungkai ikatan Islam dari tengkuk.

“Pembawa virus ini dengan keyakinan bahawa mereka bakal menghuni syurga, giat mengembangkannya melalui udara (ucapan). Mudah sekali virus ini tersebar khususnya dalam kalangan orang agama kerana virus itu pembawa asalnya adalah orang agama.

“Simptom lain mereka yang dijangkiti virus ini ialah boikot kenduri-kendara, boikot solat berjamaah, batalkan perkahwinan dan ceraikan isteri. Pendek kata, pembawa virus akan melihat orang yang belum terjangkit virus ini sebagai kotor, aqidah tak betul dan kalau mati dalam keadaan tak terjangkit akan berdepan dengan azab neraka.

Jelas dari catatan Zolkharnain itu beliau merujuk kepada ucapan Abdul Hadi di Banggul Peradong yang kemudian diiktisarkan sebagai Amanat atau Fatwa politik Pas dalam berlawan dengan Umno.

Daku ingin menambah sedikit sebagai memperbetulkan tanggapan Zolkharnain itu. Apa dinamakan sebagai “virus” takfiri itu sebenarnya ia bukan bermula pada tahun 1981 oleh Abdul Hadi Awanag tetapi ia berlaku dan terjadi lama sebelum itu.

Budaya takfiri dengan mengatakan orang Umno atau perjuangannya sebagai kafir ini berlaku sejak tahun 1959 lagi. Para pemimpin Pas yang rata-rata terdiri daripada guru-guru pondok di Kelantan telah menyifatkan perjuangan Umno itu sebagai assobiyah dan sekular maka ia kafir.

Dari situlah mereka berpendapat dan berpegang Umno sebagai kafir. Maknanya takfiri ini berlaku sejak 60 tahun lampau lagi. Ia kemudian mengendur dan hampir dilupakan bilamana Pas bekerjasama dengan Umno menubuhkan kerajaan campuran 1971.

Untuk beberapa tahun isu kafir mengkafir atau budaya takfiri ini terhenti. Sehinggalah selepas Pas di tendang keluar daripada BN tahun 1978, isu kafir mengkafir ini kembali bergema semula. Adapun Amanah Hadi di Banggul Peradung itu bolehlah dianggap sebagai isu kafir mengkafir pusingan yang kedua dan dilakukan pemantapan pengertiannya.

Dan apabila Pas berjaya menguasai Kelantan pada tahun 1990 dengan Almarhum Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi MB, sekali lagi isu kafir mengkafir lenyap. Nik Aziz mengambil pendekatan mengharmonikan keadaan dengan tidak menganggap atau menggelarkan Umno dan perjuangannya sebagai kafir.

Lebih ironisnya hari ini, apabila Pas mengaturkan jejak pertemuan dan berta’awun dengan Umno, isu kafir mangkafir itu tidak lagi “dihalakan” kepada Umno. Sebaliknya yang menjadi sasaran Pas kini ialah parti yang dibentuk oleh rakan-rakan atau bekas pemimpin Pas, yakni AMANAH. Walaupun Pas tidak menunding secara terang atau mengkafirkan pemimpin AMANAH, tetapi itulah yang dapat disimpulkan.

Budaya takfiri yang yang dipercayai dipelopori Pas itu kian galak dan ketara lagi kini, apabila AMANAH kebetulan berjaya membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) di mana bersamanya ada DAP, Bersatu dan Keadilan.

Menelusuri perkembangan isu takfiri ini, jelas ianya bukan sesuatu yang haq dan benar menurut syariat Islam, tetapi lebih kepada dijadikan isu dan modal politik semata-mata. Kenapa saya mengatakan demikian kerana kalau perkara itu “qath’i”, tanggapan Umno itu sebagai perjuangan kafir akan kekal dan tidak berubah-rubah status dan darjahnya mengikut keadaan dan selera politik Pas.

Tindakan.
Persoalan sekarang apakah yang perlu dilakukan oleh kerajaan terhadap budaya atau disebut sebagai virus takfiri itu. Bagi Mad Sabu sendiri beliau tidak perlu hanya bercakap menyuarakan kebimbangan sahaja, tetapi perlu bertindak. Dengan kedudukannya sebagai anggota kabinet menjadi tanggung-jawabnya untuk mengatasi masalah ini dan beliau mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu.

Sudah lama Mad menimbulkan perkara ini sebelum dia berada dalam jemaah kabinet. Namun ia tidak dapat berbuat apa-apa, bahkan budaya itu semakin galak. Kegalakan itu seperti mana disebut Mad sampai ada yang menuduh/mengata menteri agama, Mujahid Yusuf, sebagai berjiwa kafir.

Dari satu sudut daku melihat yang bercakap dan membimbangi virus ini hanya Mad Sabu sahaja sementara pemimpin lain tidak memberi perhatian. Maksudnya isu ini tidak menjadi kewalangan secara menyeluruh. Tidak ada mana-mana pemimpin khasnya dari AMANAH membangkitkan perkara itu. Malahan dalam konvensyen parti itu yang baru lalu, isu ini tidak pun disebut. Kenapa?

Begitu juga dengan pihak lain, seperti pemimpin Islam Melayu dalam Keadilan dan Bersatu seakan tidak terpercik pun dengan budaya takfiri yang ditakuti Mad Sabu itu. Apakah isu ini hanya disedari oleh Mad sahaja bersama partinya, kerana ia bakal menerima risiko kehilangan pengaruh apabila isu itu terus dimainkan.

Persoalannya kini, apakah tindakan untuk membendungnya. Ini perkara yang perlu dilihat secara tuntas dan komprehensif. Setakat melahirkan kebimbangan tetapi tidak membuat apa-apa tidak ada guna.

Sewajarnya, pandangan Mad itu diambil sebagai satu subjek besar dalam menjaga keselamatan negara dari sisi agama. Justeru ada beberapa cadangan boleh dilakukan sekiranya budaya atau virus takfiri ini benar-benar bahaya seperti mana menurut analisa Mad Sabu itu.

Beberapa langkah:

1. Adakan ijtimak khas untuk membincangkan perkarta itu. Ijtimak itu boleh merumuskan sejauh manakan bahaya budaya itu, atau pun takfiri dilemparkan itu menepati syariat Islam atau tidak., Untuk menjayakan ijtimak itu boleh mengundang pakar-pakar dalam berbagai ilmu usul, fikh, hadith, Quran tasauf dan sebagainya baik dari dalam dan luar negara.

Tokoh atau tuan guru daripada pembangkang juga boleh diundang sama untuk menjawab dan mempertahankan tafsiran dan fatwa mereka.

2. Sekiranya dalam ijtimak itu budaya itu salah dan membekah perbalahan, maka satu langkah konkrit oleh kerajaan perlu diambil, ini termasuklah;

a) Menasihat parti Islam agar tidak menggunakan Islam sebagai modal. Sejajar itu nama Islam di dalam mana-mana parti itu hendaklah dibuang. Dan jika ianya sampai ke peringkat bahaya, mungkin parti itu boleh dibatalkan pendaftarannya.

3. Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan atau Naib Presiden AMANAH, Mujahid Yusuf boleh kemukakan secara rasmi kepada kabinet akan kebimbangannya itu. Kabinet boleh membincang dan membuat keputusan sejauh mana benar dan tidaknya. Jika ia benar, maka langkah-langkah pencegahan perlu diambil segera.

4. Pihak berkuasa dalam agama dan keselamatan perlu membuat siasatan menyeluruh akan kesan kepada budaya itu. Kalau ia ternyata dipelopori oleh sebuah parti politik, maka parti itu hendaklah diharamkan tanpa ampun maaf lagi.

Perlu disebut tahun 80an, pernah keluar cadangan agar nama atau perkataan Islam dalam parti Pas dibuangkan, kerana keberadaan perkataan Islam itu telah menimbulkan kekeliruan dan nama suci Islam dieksploitasikan untuk tujuan politik.

Itu adalah cadangan berhubung langkah dan tindakan boleh diambil berhubung budaya takfiri itu. Mungkin ada langkah atau cara lain untuk membendung budaya berkenaan. Yang pentingnya pihak kerajaan perlu berbuat sesuatu. Pandangan dan kebimbangan dizahirkan Mohamad Sabu itu bukan lagi pandangan daripada pembangkang tetapi daripada kerajaan yang seharusnya disambut diperhalusi, melainkan pandangan Mad itu bersifat emosional dan berniat jahat terhadap arwah partinya sahaja.

-http://msomelayu.blogspot.com/

.