OTAI REFORMASI AKAN TURUN KE JALANAN TUNTUT MAHATHIR TUNAI JANJI

Malam semalam telah berlangsung program bual bicara “Dr. M Letak Jawatan Mei 2020” anjuran Otai Reformasi di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baru, KL.

Program yang dimoderatorkan oleh Zanirun Baba itu menampilkan ahli panel terdiri daripada Dr. Idris Ahmad, Pengerusi Otai Reformasi; Mustapa Mansor, aktivis kemanusiaan; Dr. Siti Aini Omar, Ketua Berita Jom Channel dan saya sendiri selaku blogger serta penulis buku Anwar PM8 – Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati.

Ini adalah pogram pertama Otai Reformasi dalam usaha menuntut PH dan Tun Mahathir Mohamad menunaikan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Dr. Idris antara lain menyebut bahawa peralihan kuasa kepada Anwar adalah suatu keperluan yang tidak dapat dielakkan, selain merupakan janji yang sudah lama dipersetujui secara bersama dalam PH, ia juga kerana tiada apa yang boleh dibanggakan sejak 20 bulan Tun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri.

Katanya, semua orang dapat merasakan tiada apa-apa kemajuan dan pembaharuan telah dilakukan oleh Tun Mahathir untuk negara ini seiring dengan janji yang dilaungkan sebelum PH berjaya menjadi kerajaan.

Untuk itu, tegas beliau, peralihan kuasa mesti dimuktamadkan segera agar Anwar dapat membawa negara ini melangkah dengan lebih berjaya menuju kemajuan dan kemakmuran untuk rakyat jelata.

Mustapa pula mengimbas bagaimana sejak awal lagi Otai Reformasi memang keberatan untuk menerima Tun Mahathir ke dalam PH.

Katanya, sejarah lama Tun Mahathir membuatkan Otai Reformasi ragu-ragu terhadap Pengerusi PH itu, walaupun setelah beliau berbaik semula dengan Anwar.

“Meskipun Otai akhirnya berlapang dada menerima Tun Mahathir, keraguan itu akhirnya terbukti apabila dalam sususan kabinet selepas PH menang PRU14, hanya dua daripada sekian nama yang dicadangkan oleh pimpinan PKR telah dilantik sebagai menteri.

“Selebihnya, menteri daripada PKR yang dilantik oleh Tun Mahathir adalah merupakan cadangan daripada pihak lain,” ujar beliau.

Sebagai ahli panel seterusnya, saya mengingatkan tugas menentukan tarikh peralihan kuasa ini adalah merupakan tanggungjawab Majlis Presiden PH melaksanakannya.

Malangnya, Majlis Presiden seolah-olah gagal berfungsi dan sesetengah ahlinya sudah menjadi seperti “ular sawa kenyang” sekarang ini.

Saya juga memberitahu bahawa jika tarikh peralihan kuasa ditetapkan, Tun Mahathir tidak akan menjadi “Perdana Menteri lame duck” sepertimana pada 2003 dahulu kerana Anwar tiada sebarang kedudukan atau jawatan dalam kerajaan.

Saya turut menegaskan bahawa permintaan Tun Mahathir untuk menganjakkan peralihan kuasa sehingga November atau selepas Sidang Apec 2020 adalah tidak relevan untuk diterima, sebaliknya keterujaan dunia akan lebih menyerlah dan mampu melonjakkan nama Malaysia jika ketika itu Anwar yang menjadi Perdana Menteri.

Dr. Siti Aini mengimbas beberapa kenyataan Tun Mahathir sebelum ini yang mengatakan beliau tetap akan mengotakan janji melakukan peralihan kuasa kepada Anwar.

Sehubungan itu, oleh kerana memungkiri janji adalah ciri-ciri munafik seorang muslim, Tun Mahathir, tegas beliau, mesti menunaikan janjinya.

Secara keseluruhan, sambutan program pertama Otai Reformasi malam semalam cukup mendapat sambutan dan semua yang hadir bertekad untuk merealisasikan peralihan kuasa sehingga berjaya.

Untuk itu, Otai Reformasi bersetuju untuk mengadakan program seperti bual bicara ini ke seluruh negara sehingga Majlis Presiden PH dan Tun Mahathir akur kepada proses peralihan kuasa.

Jika terus tiada kemajuan, Otai Reformasi juga bersetuju untuk menggerakkan kekuatannya dengan mengadakan himpunan aman di depan Pejabat Perdana Menteri pada setiap minggu bagi menuntut penentuan tarikh peralihan kuasa itu.

Ditegaskan bahawa semua langkah ini adalah bagi memastikan PH dapat bertungsi dengan baik sebagai kerajaan serta tidak berpecah belah akibat lupa kepada janji setelah beroleh kuasa.

Kesimpulannya, malam semalam adalah permulaan dan segala-galanya pasti akan jadi lebih menarik selepas ini.

Tunggguuuu….

-https://shahbudindotcom.net/

.