BERBANDING MAHATHIR, DUNIA LEBIH TERUJA JIKA ANWAR SEBAGAI PM KETIKA SIDANG APEC 2020 DI KL

Dengan tak semena-mena Sidang Apec 2020 di Kuala Lumpur pada November ini telah menjadi alasan terbaru bagi Tun Mahathir Mohamad untuk melanjutkan lagi tempoh kuasanya sebagai Perdana Menteri paling tua dalam dunia.

Perkara itu disebutnya bulan lalu dengan mengatakan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim hanya akan dilakukan selepas sidang tersebut.

Kata beliau, perubahan kepimpinan negara, jika berlaku pada Mei 2020 sebagaimana yang selalu dijanjikannya sebelum ini, ia akan sedikit sebanyak menimbulkan gangguan kepada Sidang Apec 2020 itu.

Soalnya, relevankah Sidang Apec dijadikan alasan untuk Tun Mahathir berada lebih lama mencengkam kuasanya di Putrajaya?

Sidang Apec 2020 pada November ini adalah kali kedua Malaysia menjadi negara penganjur dengan kali pertama pada 1998 dahulu iaitu tidak lama selepas beliau memecat Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ini bermakna, walaupun Sidang Apec mungkin penting untuk Tun Mahathir menonjolkan menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang berjaya dua kali menjadi Perdana Menteri, tetapi beliau tidaklah penting sangat kepada Sidang Apec itu sendiri.

Tun Mahathir dan Malaysia mungkin terlihat penting kepada Sidang Apec ketika kali pertama negara menjadi penganjurnya pada tahun 1998 dahulu.

Sebaliknya, untuk Sidang Apec 2020 November ini, bukan saja keterujaan gabungan negara-negara dalam Lingkaran Asia Pasifik, bahkan juga kepada dunia, tentunya ialah apabila Malaysia mempunyai Perdana Menteri baru berbanding Tun Mahathir yang sudah dua kali menjadi Perdana Menteri.

Apa lagi gaya pentadbiran Tun Mahathir, idea serta pemikirannya sekarang dengan 1998 dahulu hampir tidak berbeza sama sekali.

Dengan Anwar menjadi Perdana Menteri, Sidang Apec itu nanti pastinya menjadi suatu acara yang hebat kerana semua ingin menyaksikan tampilnya seorang pemimpin baru beserta idea-idea barunya.

Lantas itu, ia tentunya menjadikan Sidang Apec itu nanti sebagai tumpuan dunia dan mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia.

Untuk itu, alasan Tun Mahathir untuk menganjakkan peralihan kuasa dengan menjadikan Sidang Apec sebagai alasan sebenarnya tidak relevan sama sekali.

Negara tidak mendapat banyak manfaat jika beliau masih sebagai Perdana Menteri, berbanding jika Anwar yang sudah ditunggu lebih 20 tahun berada menerajui negara ini.

Kalau Tun Mahathir dan rakyat ingin negara terlonjak di mata dunia melalui Sidang Apec itu, beliau seharusnya kekal dengan pelan asal peralihan kuasa pada Mei dan bukan selepas November 2020.

-https://shahbudindotcom.net/

.