KERAJAAN SEPENGGAL – BUKANKAH PH BANYAK BERBALAH DISEBABKAN MAHATHIR JUGA?

Menyedari kemerosotan sokongan rakyat kepada kerajaan terus berlaku, Tun Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa PH tidak mustahil hanya menjadi kerajaan selama sepenggal saja.

“Kita kalah lima pilihanraya kecil dan mereka masih tidak faham.

“Saya beritahu mereka, dalam demokrasi kamu perlu sokongan kuat orang ramai.

“Tetapi sebaliknya, mereka bergaduh sesama sendiri dan pecah belahkan rakyat.

“Mereka tidak akan menang kecuali mereka ubah cara,” katanya.

Peringatan tentang kerajaan sepenggal ini sebenarnya bukanlah perkara baru kerana ia telah diperkatakan lama sebelum ini dan saya sendiri sudah menulis mengenainya dalam blog ini lebih setahun yang lalu.

Di media sosial pula sudah ramai yang menulis dan memperkatakannya.

Berkaitan hal ini, Tun Mahathir barangkali paling terlewat dalam menyedari tentang kelemahan kerajaan yang sedang dipimpinnya yang mungkin hanya mampu bertahan selama sepenggal saja.

(Dalam perkembangan terbaru, Tun Mahathir dilaporkan telah membuat pembetulan berhubung kenyataan awalnya bahawa PH mungkin jadi kerajaan sepenggal dengan mengatakan ia hanya akan berlaku jika perbalahan dalaman tidak segera ditangani)

Meski demikian, walau amaran Tun Mahathir itu adalah sesuatu yang baik, tetapi yang tidak baiknya ialah beliau seolah-olah tidak menyedari bahawa sebahagian besar punca perbalahan dalam PH adalah disebabkan dirinya sendiri.

Bermula dengan melantik Azmin Ali sebagai menteri, walaupun tidak dicalonkan oleh PKR lantaran sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor, mudah menerima bekas Ahli-Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu, secara sulit mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang untuk menguatkan kedudukannya dan berdolak-dalik tentang janji menyerahkan kuasa adalah antara punca utama yang menyebabkan perbalahan berlaku dalam PH.

Jika tidak berlaku semua perkara di atas, PH dan parti-parti di dalamnya pada hakikatnya aman-aman saja dan kerajaan boleh berfungsi dengan lebih baik dalam menunaikan janji kepada rakyat serta melaksanakan reformasi seperti yang dijanjikan.

Tetapi, barangkali kerana niat awal Tun Mahathir memang tidak ikhlas dalam menyertai PH, apalagi untuk menunaikan janji menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim, maka sebab itulah sejak awal dan satu demi satu pergolakan politik dicetuskannya.

Tujuannya ialah tidak lain supaya rakyat turut sama terbuai dan menghabiskan lebih banyak masa dengan politik, lalu dengan pemusatan kuasa yang masih terkumpul di tangannya, beliau dalam pada itu mampu bertahan lebih lama dan melengah-lengahkan peralihan kuasa.

Seharusnya, jika Tun Mahathir benar-benar ikhlas mahu mengelakkan PH daripada menjadi kerajaan sepenggal, beliau yang seharusnya menunjukkan perubahan terlebih dahulu.

Ini tidak, beliau meminta orang lain berubah dan tidak berbalah, sedangkan perbalahan itu sendiri dicetuskan oleh permainan yang diaturnya.

Apakah perubahan yang mesti dilakukan oleh Tun Mahathir?

Pertama, beliau mesti kembali menyelak Buku Harapan dan berusaha menunaikan segala janji manifesto sebagaimana yang telah dijanjikan.

Kedua, Tun Mahathir mesti berhenti bermain politik, mengatur itu dan ini, memperkuatkan kedudukannya secara sulit atau masih cuba menubuhkan kerajaan lain sama ada melalui pintu belakang, pintu tepi atau melalui tingkap sekali pun.

Beliau harus sedar mandat yang diterimanya adalah menerusi PH dan kemahuan rakyat terhadap reformasi, maka sewajibnya beliau mengekalkan pilihan rakyat ini sehingga PRU seterusnya pada 2023 akan datang.

Ketiga, Tun Mahathir mesti segera menetapkan tarikh penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar supaya ketidaktentuan tidak lagi berterusan dan semua orang selepas ini boleh fokus kepada kerja-kerja membina negara dan menjaga kebajikan rakyat.

Tidakkah Tun Mahathir sedar, banyak perbalahan dalam PH, termasuk dalam PKR, adalah berkaitan isu peralihan kuasa dan sebab akibat yang tercetus daripada percaturan yang sengaja ditimbulkannya?

Jika hari ini Azmin masih Menteri Besar Selangor misalnya, percayalah bahawa PKR tidak akan bergolak seperti yang ada sekarang dan begitu juga jika Tun Mahathir sendiri tidak sibuk-sibuk memperkuatkan dirinya sendiri dengan membelakangkan PH atas semua perbuatannya.

Kesimpulannya, dalam Tun Mahathir memberi amaran tentang kemungkinan PH menjadi kerajaan sepenggal kerana kononnya asyik berbalah, apakah beliau sebenarnya semakin jarang menatap cermin atau cermin sudah tiada di rumahnya?

-https://shahbudindotcom.net/

.