KUDA BESI BUATAN JERMAN DEMI KESENANGAN & KENIKMATAN

CERITA Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dan Ahli Majlis Kerja (Exco) membeli kenderaan rasmi jenis Mercedes Benz dengan harga dikatakan sampai RM700,000 sebuah, tular di media arus perdana dan media sosial sejak beberapa hari lalu.

Khabarnya ramai orang terperanjat. Tapi saya tidak. Dia pun manusia, bukan malaikat. Jubah dan serban tidak menjanjikan ketinggian budi, kesempurnaan akal dan rasa perikemanusiaan.

Orang banyak terperanjat kerana Kelantan negeri miskin dan baru dapat bantuan kewangan “one-off” Kerajaan Pusat sebanyak RM400 juta.

Orang alim agama selalu kata, kita kena bersangka baik. Jadi saya ikutlah nasihat mereka.

Dalam sangkaan baik saya itu, saya kata, MB Kelantan tak salah.

Pasal apa tak salah?

Pasal dia berpegang kepada nama kehormatan negerinya, iaitu “Darul Naim” yang bererti negeri kesenangan atau kenikmatan.

Adalah senang bagi MB Pas itu membelanjakan, khabarnya sampai RM700,000 membeli sebuah kereta mewah itu kerana dia berkuasa. Apa guna kuasa kalau tak diguna.

Dengan kereta “top-of-the-line” buatan Jerman itu tentulah dia, Ahli Exco dan Setiausaha Kerajaan Negeri akan berasa kesenangan dan kenikmatan luar biasa.

Jadi kita janganlah marah sangat kepada dia. Dia sekadar menterjemahkan slogan negerinya – Darul Naim – menjadi kenyataan.

Orang Kelantan yang pilih Pas pun perlu rasa bangga boleh tengok MB, Exco dan Setiausaha Kerajaan mereka – 14 orang semuanya – dalam kesenangan dan kenikmatan.

Jangan peduli sangatlah dengan perangkaan tentang kesusahan dan kepahitan hidup rakyat totok Kelantan seperti kadar kemiskinan tertinggi di Semenanjung, kadar ketagihan dadah tertinggi, kadar perceraian tertinggi dan macam-macam lagi yang tinggi-tinggi.

Orang miskin dan susah selalu dibagi tahu dan diajar oleh Tok-tok Guru dan Ustaz selebriti bahawa hidup di dunia ini sementara saja. Susah di dunia, senang di akhirat.

Tapi MB, Exco dan “State Secretary” Kelantan, di dunia pun sudah senang. Di akhirat tak tahulah. Itu hak Allah.

Fraulein Mercedes

Satu lagi, manalah tahu MB Kelantan bukan saja teruja dengan kenikmatan kuda besi buatan Jerman itu tapi ada cerita lain di sebaliknya.

Manalah tahu dia pun teruja juga dengan nama kuda besi itu – Mercedes.

Boleh jadi MB Kelantan tahu apa yang kebanyakan orang Kelantan tak tahu mengenai “Mercedes”.

Kalau belum tahu atau belum kenal dengan Mercedes, saya minta izin untuk bagi tahu dan perkenalkan.

Inilah Mercedes.

Inilah Cik Mercedes yang jadi idaman ramai itu

Cik Mercedes adalah anak kepada Emil Jellinek, seorang usahawan automobil Eropah yang bekerjasama dengan syarikat Daimler-Motoren-Gesellschalf (DMG). DMG adalah perkongsian di antara Gottlieb Daimler dan Carl Benz.

Manalah tahu, Mercedes menjelma dalam mimpi MB Kelantan dan membisikkan kepadanya dalam bahasa Jerman:

“Das Beste oder nichts”.

Oleh sebab MB Kelantan kini menaiki Mercedes, janganlah Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri Pakatan Harapan pun mengidamkan mimpi yang serupa.

Akhir kalam, saya tak pasti sama ada nombor plat DV itu ada apa-apa makna untuk MB Kelantan.

Tapi sekadar berkongsi maklumat, dalam bahasa Latin ia adalah singkatan untuk “Deo Volente” yang bermaksud dengan izin Tuhan.

-https://kadirjasin.blogspot.com/

.