KALAU TAK BERANI DESAK MAHATHIR, ELOK GUAN ENG DIAM SAHAJA

PANDANGAN dilontar oleh Lim Guan Eng tidak perlu diadakan mesyuarat khas dalam Majlis Presiden PH bagi menentukan pengunduran Dr Mahathir sebagai perdana menteri untuk diserahkan kepada Anwar Ibrahim sekali dilihat ia satu pandangan baik menunjukkan sikap terbuka dan reda Menteri Kewangan itu.

Kata Guan Eng tindakan itu tidak perlu kerana Dr Mahathir sudah pun menyatakan mengenai tempoh pengundurannya, yang dilakukan selepas sidang APEC bulan November nanti. Dalam masa sama beliau yakin Anwar akan jadi perdana menteri pada bulan tersebut. Mungkin Guan Eng ada petunjuk menurut kalendar tahun Cina?

Menurut Guan Eng perkara itu dijanji Dr Mahathir kepada majlis presiden. Bila? Alasan lain diberikan Guan Eng menolak cadangan dikemukakan oleh beberapa pihak agar majlis presiden melakukan desakan kepada Mahathir berundur, ialah untuk mengelakkan timbul keadaan yang tidak baik dalam kerajaan PH. Kononnya menurut Guan Eng PH kini berada di garis terbaik.

Guan Eng mahukan peralihan berlaku secara lancar dan licin agar ia tidak merosakkan usaha pemulihan ekonomi kini.

Ada betul dan benar juga pandangan Guan Eng itu. Namun beliau juga perlu peka dan sedar dengan apa yang berlaku atau dilakukan oleh Mahathir serta juak-juaknya termasuk haiwan peliharaan perdana menteri itu. Sampai sekarang ini Mahathir tidak menyebut secara pasti bila beliau akan menyalinkan jawatan itu kepada Anwar. Kenapa kekok dan sulit sangat bagi beliau berbuat demikian?  Orang menuntut kejujuran dan keikhlasan Mahathir bukan dolak dalik.

Apa yang ada jawaban yang berulang kali oleh Mahathir terus menjadi teka teki dan meresahkan khalayak. Dan kerana orang mengenali sikap dan stail politik perdana menteri itu berdasarkan rekod sebelum ini, menyebabkan orang ragu-ragu terhadap apa yang dinyatakan. Sementelahan pula tidak ada tarikh tetap dalam perkara ini disebutnya.

Kerana sikap berdolak dalih dan rekod lama itulah menjadikan ada pihak meragui dan sangsi kepada janji Mahathir. Ia ditambah pula dengan kenyataan-kenyataan para Wak Long dan Wak Yah nya menuntutnya agar terus kekal sehingga tamat penggal pilihan raya.

Selain itu mereka yang bergantung hayat dengan Mahathir juga tidak pernah diam terus cuba melambung Mahathir dan dalam masa sama mereka memperlekehkan Anwar. Situasi itu tidak baik dan ia memberi keadaan PH itu sendiri tidak tenteram.

Anehnya kenapa Guan Eng tidak pernah mengkritik mereka yang memperlekehkan Anwar?
Makanya pandangan Guan Eng itu tidak menyimpulkan semangat seluruh orang bawahan yang telah menerima konsensus yang dicapai, yakni Mahathir perlu berundur apabila genap dua tahun.

Kalau pun Guan Eng merindui suasana yang tenang dan harmonis dalam PH untuk membolehkan ekonomi dipancu dengan baik, beliau boleh sahaja mengambil sikap mendiam diri, tidak bersikap memperleceh kepada desakan itu. Tidak perlu mengatakan atau mengeluarkan perkataan tidak payah atau tidak perlu. Beliau patut menyerahkan kepada budibicara dan kebijaksanaan majlis presiden.

Kenapa Guan Eng tidak berbuat demikian? Untuk pengetahuannya tidak berdosa, kalau Guan Eng tidak menuruti kehendak pihak yang mahu Mahathir berundur tepat mengikut jadwalnya, selepas dua tahun bukan selepas sidang APEC atau lebih awal. Bahkan itu lagi baik.

Apakah signifikan sidang APEC yang ditunggu Mahathir untuk berundur itu? Kegagalan sidang Kemuncak KL baru-baru ini sudah memberi petunjuk dan mesej jelas Mahathir di mata dunia khasnya dunia Islam kepemimpinannya sudah “kedawasan” pamor. Mungkin Guan Eng ada jawaban mengenainya sebab itu beliau bersetuju dengan janji mulut Mahathir untuk berundur selepas sidang APEC itu.

Justeru bagi saya, cara Guan Eng itu seperti ada undang disebalik batu. Ada budi besar beliau kepada Mahathir maka beliau seperti tidak mahu kedudukan Mahathir terganggu dengan jawatan itu sebaliknya kekal sehingga selagi Mahathir ingini. Apakah kerana beliau bimbang kedudukannya sebagai Menteri Kewangan akan terusik bila Mahathir tidak lagi jadi perdana menteri? Harap-harap tidak begitu.

Atau apakah beliau seperti terlindung dan dikira selamat selagi Mahathir jadi PM? Apakah Guan Eng sudah jadi mangsa kepada politik peras ugut yang menjadi budaya Mahathir? Umum tahu sebelum berlaku perubahan kerajaan Guan Eng dihadap ke mahkamah atas beberapa tuduhan termasuk rasuah dan sebagainya.

Difahamkan Mahathir masih meneruskan kegemarannya memegang fail peribadi para menteri yang ada masalah seperti diamalkan sebelum ini, untuk dijadikan modal olehnya.

Berhubung sikap Guan Eng itu tidak ada masalah kalau beliau mahu terus Mahathir jadi PM sehingga habis satu penggal, tetapi dengan menangkis pandangan sesetengah pihak agar majlis presiden membuat penentuan terhadap jangka masa Mahathir berkhidmat sesuatu yang tidak baik.

Lebih mendukacitakan lagi pandangan itu akan dijadikan modal oleh musuh-musuh Anwar dan mereka mahu terus bergatung hidup dengan Mahathir sebagai bukti bahawa majlis presiden juga mahu mengekalkan Mahathir sebagai PM.

Sudah pasti musuh akan menggunakan pandangan Guan Eng yang menyimpan sesuatu motif lain dengan “membela” Mahathir itu yang dia (Guan Eng) juga tidak inginkan Anwar segera jadi PM.

-http://msomelayu.blogspot.com/

.