CABARAN POLITIK 2020 UNTUK PH, UMNO & PAS

TAHUN 2020 sudah berlalu separuh bulan Januari. Kita khususnya mereka yang “bernuansa” politik akan terus melalui hari-hari di sepanjang tahun mendatang dengan berbagai rasa dan melalui pelbagai liku.

Kerajaan PH sudah pasti akan menjadikan tahun 2020, tahun memperhitungkan segala perancangan dilaksanakan dengan jaya serta memperbetulkan kepincangan 20 bulan yang lalu.

Musim untuk berbulan madu dan berselfie dengan menteri atau musim menteri nak menjelaskan yang dirinya adalah menteri ada wang dan kuasa sudah berakhir.

Tahun ini, adalah tahun melaksanakan segala janji masih dan tersisa khasnya apa termaktub dalam manifesto.

Manakala bagi pembangkang pula, tahun ini dikira tahun memperkemas dan memantapkan segala persiapan untuk berhadapan dengan kerajaan PH dalam Piraum ke 15 nanti. Bagi pembangkang tahun ini tempoh menyudahkan muafakat yang digagaskan.

Dalam menghitung perjalanan tahun ini ada beberapa perkara menarik dan diberikan fokus oleh pemain politik seluruhnya dan juga rakyat selaku pemberi mandat kepada parti penguasa. Rakyat akan melihat kepada beberapa senario ini untuk mereka jadikan panduan untuk beri mandat.

Antara yang pasti menjadi tumpuan dan fokus adalah seperti berikut;

1. Menanti turunnya Dr Mahathir.

Apakah Dr Mahathir akan mematuhi konsensus untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim. Konsensus PH telah menyebut Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan PM kepada Anwar selepas dua tahun beliau memegangnya. Itulah konsensus yang popular dan sudah melekat di minda umum.

Atau beliau akan terus membuat onar dan helah yang tidak masuk akal untuk terus menjadi PM sehingga habis tahun ini. Mengenai sikap dan pendirian Dr Mahathir ini menimbulkan keraguan apabila beliau membuat beberapa kenyataan bersifat politik mengenai masa depannya. Sikap Dr Mahathir ini membimbangkan ramai orang apabila mengenangkan alur dan lurah politiknya.

Misalnya Dr Mahathir membayangkan yang beliau memerlukan masa untuk terus memimpin negara tanpa menyebut apakah alasannya selain daripada kononnya negara masih bermasalah. Tarikh yang ditandai beliau akan berundur ialah selepas persidangan persidangan APEC, November nanti.

Persoalannya berhubung alasan Dr Mahathir itu, apakah negara dapat berubah dari keadaan yang ada kini sekiranya beliau terus memimpin kerajaan ini. Kita tahu keadaan negara yang ditinggalkan Najib Razak dan kerajaan terdahulu sangat “membimbangkan” dan menyusahkan kerajaan PH.

Apakah Dr Mahathir yakin masalah ekonomi dan kestabilan politik Malaysia dapat dicapai dengan beliau selaku PM? Sebenarnya apa disuarakan dan diharapkan Dr Mahathir itu bersifat subjektif, bahawa kedudukan negara pulih daripada segala masalah bukan semestinya ditangannya. Kenyataan atau pandangan itu juga menunjukkan Dr Mahathir seakan tidak yakin dengan penggantinya, dalam hal ini Anwar Ibrahim.

2. Kesabaran Anwar.

Tahun ini juga pemerhati menanti dan memerhati sejauh manakah pula kesabaran Anwar untuk menunggu gilirannya menjadi PM. Apakah Anwar boleh istiqamah dengan kesabarannya kini ataupun beliau akan kecewa dengan apa yang berlaku itu. Pemerhati berbelah bahagi mengenai hal ini, ada yang percaya Dr Mahathir akan melepaskan jawatan PM kepada Anwar, ada yang sebaliknya kerana mengenali hati budi politik seorang Dr Mahathir.

Sehingga kini Anwar kelihatan tenang dan memberi kepercayaan sepenuh kepada Dr Mahathir untuk membaik pulih negara dan beliau tidak sesekali resah atau pun bimbang dengan kenyataan-kenyataan politik Dr Mahathir yang dilihat seolah-olah boleh menganggu emosinya. Perjumpaan hampir setiap bulan atau minggu beliau dengan Dr Mahathir menunjukkan hubungan dan diplomasi politik mereka berdua dalam keadaan baik.

Dan bagi Anwar kita faham kenapa beliau perlu dan terdesak untuk berada di tempat itu, kerana ia bukan sahaja untuk memulih negara dengan segala agenda yang telah sarap dalam dirinya, tetapi menjamin PH selamat dalam pilihan raya akan datang. Hakikat yang berlaku kini kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan PH selama 20 bulan ditangan Dr Mahathir masih belum mantap sepenuhnya.

Ketidakpuasan hati rakyat bawahan kepada kerajaan hari ini sangat jelas dan nyata sekali. Sepanjang 20 bulan lalu tidak ada apa-apa agenda atau program bersifat perdana dirancangkan untuk menyelesaikan masalah rakyat bawahan, golongan penganggur, petani, hatta pedagang dan sebagainya, semuanya masih belum berpuas hati.

Rasa tidak senang golongan ini jelas dan ketara sekali. Contohnya kekalahan calon PH dalam pilihan raya kecil, (terbaharu di Tanjung Piai, Johor) dengan kemenangan majoriti besar BN, 15,000 menjelaskan akan rasa ketidaksenangan rakyat kepada kerajaan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir. Realiti itu diterima oleh Dr Mahathir sendiri. PH sendiri dalam postmortemnya menerima hakikat kenapa parti kerajaan itu kalah teruk.

Petunjuk-petujuk itu tentulah meresahkan Anwar sebagai orang yang akan memikul dan bertanggungjawab membawa kerajaan kelak. Sudah tentu Anwar dan semua orang mahu mengelakkan risiko dan masalah besar menanti PH di masa akan datang dan wajar kalau segala risiko dan masalah itu ditangan lebih awal. Sebab itu ada berpendapat dan mendesak Dr Mahathir perlu menyerahkan kerajaan kepada Anwar sebelum tempoh yang dijanjikan.

3. Naratif baru politik.

Perkara seterusnya ditunggu di sepanjang tahun 2020 ini adalah naratif baru politik dalam kalangan PH sendiri. Perbalahan dalaman dalam PKR khususnya “perselehengan” antara Azmin Ali dengan Anwar sehingga mewujudkan dua kumpulan sesuatu yang membimbangkan dan situasi itu boleh membuka ruang kepada naratif baru politik. Hubungan Azmin dengan Anwar masih bersifat “masam manis” atau belum reda sepenuhnya.

Khabar atau daripada “hipotesis” kononnya akan ada pakatan baru yang terdiri daripada Azmin Ali, Mukhriz Mahathir dan Hishammuddin Hussein sesuatu yang tidak boleh dianggap ia sebuah pakatan dongeng atau khayalan. Ada asas dan tanda-tanda kewujudan pakatan itu. Pakatan atau naratif baru politik itu dilihat boleh menganggu agenda PH, untuk menyalinkan kepimpinan kerajaan di masa akan datang.

Walaupun banyak pihak mula bercakap kemungkinan wujud pakatan atau kolaborasi itu, tetapi Dr Mahathir tidak sekali pun memberi reaksi apakah ia benar atau pun dongengan. Perjumpaan 17 orang ahli parlimen Umno di rumah Azmin Ali suatu masa lalu dilihat ada petunjuk akan ada pakatan baru. Sikap diam Dr Mahathir mengenai hipotesis itu menjadikan tanya tanya besar.

4. Muafakat Nasional.

Sepanjang tahun ini juga pemerhati dan peminat politik akan memerhati apa akan jadi dengan Muafakat Nasional (MN) yang digagas bersama di antara Umno dengan Pas. Apakah gagasan ini menjadi satu mufakat kubra untuk berhadapan dengan PH secara satu lawan satu dalam Piraum ke 15 kelak. Kalau ini berlaku, pilihan raya umum ke 15, adalah paling menarik dalam sejarah politik negara kerana buat pertama kali dua gagasan atau komponen besar, PH dan MN akan berlawan di antara satu sama lain.

Walaupun gagasan itu sudah berlembaga kini, tetapi masih ada yang kurang yakin ia akan terikat kemas dan matlamat untuk menjadi lawan secara satu lawan satu dengan PH masih jadi tanda tanya. Walaupun piagam muafakat itu sudah ditanda tangani tetapi isi kandungan sepenuhnya tidak diumumkan.

Muafakat itu hanya terbentuk pada konsep dan cita-cita sahaja yang lebih berdasarkan kemarahan kepada PH, tanpa perincian mendalam dan menyeluruh apakah terma dan ketetapannya. Misalnya muafakat itu tidak menamakan siapa bakal dilantik menjadi PM kelak. Apakah ia dari Umno ataupun Pas. Kandatipun itu soal siapa PM itu tidak menjadi perkara peting, tetapi ia tidak dapat dielakkan menjadi isu yang akan dipertikaikan sekiranya MN menang kelak.

Kegagalan MN meletakan nama calon PM menjadikan gabungan ini tidak seberani dan setulus PH yang sebelum ini telah menamakan Dr Mahathir sebagai PM dan Anwar penggantinya.

Dan sejauh mana MN itu menjadi sebuah muafakat kebangsaan apabila kedudukan dua parti komponen Umno dalam BN, MCA dan MIC belum dimuktamadkan lagi. Ada yang mahu MCA dan MIC diterima sebagai rakan muafakat asas ada, yang sebaliknya, menolak.

Sekiranya MCA diterima sebagai rakan muafakat asas, ini bermakna muafakat Pas umno tidak akan menyerlah sebagai muafakat yang diingini oleh orang Melayu, yang berideologi agama dan bangsa. Orang Melayu mahukan sebuah gabungan tulen Melayu sama Melayu.

Dan seandai MCA diterima sebagai rakan asas muafakat ini bermakna MN itu sama sahaja dengan PH yang mana didalamnya terdiri dari berbagai parti. Kalau DAP mewakili komuniti Cina dalam PH, sementara MCA pula mewakili komuniti itu dalam MN kelak. Itu yang akan dilihat jika MN menerima MCA. Walhasilnya di antara MF dengan PH sama sahaja, tidak ada perbezaan yang fatal.

Permasalahan ini adalah agenda MN yang masih belum dituntaskan. Dan tahun ini masalah atau pun status MCA dan MIC dalam MN ini akan dilengsaikan. Mungkin ia akan dibincang dan disepakati mencari kaedah dan formulanya dalam konvensyen MN yang dirancangkan akan diadakan pada bulan Mac nanti. Mac nanti atau konvensyen MN itu dikira penting bakal menentukan nasib gabungan pembangkang itu.

Diramalkan isu MCA ini boleh meretak atau menganjakkan MN.  Keretakan dalam MN itu memberi kelabaan kepada PH.

Walaupun masih ada cabaran menghambat dunia politik negara tahun 2020 ini tetapi masih ada beberapa hal lain lagi. Bagaimana pun empat perkara disebut itu adalah antara yang terbesar dan penting serta menjadi latar belakang politik sepanjang tahun 2020.

Segala titik politik tahun 2020 itu, permasalahan PH akan selesai apabila Anwar menjadi perdana menteri, manakala MN pula akan rasmi menjadi sebuah pakatan apabila masalah MCA dan MIC dalam muafakat itu dapat diselesaikan.

-http://msomelayu.blogspot.com/

.