EHH…KENAPA GUAN ENG TIBA2 SETUJU PERALIHAN KUASA PADA NOVEMBER? MENGAPA TAK TUNGGU MESYUARAT?

Sementara Tun Mahathir Mohamad menyatakan sedia berundur pada bila-bila masa dan beberapa pimpinan PH, khususnya PKR pula mahu peralihan kuasa ditetapkan pada Mei, Lim Guan Eng sebaliknya memberi petunjuk ia perlu dilakukan pada November.

Ia berkutan, katanya, Tun Mahathir sendiri sudah menyatakan akan berundur selepas Sidang Apec 2020 di Kuala Lumpur pada November depan.

“Peralihan kuasa akan berlaku akhir tahun ini, ia tidak lama dari sekarang.

“Beliau sudah berjanji akan berundur,” kata Menteri Kewangan itu lagi.

Dengan berpegang kepada janji Tun Mahathir itu, Guan Eng juga berpendapat tiada keperluan bagi Majlis Presiden PH mengadakan sebarang mesyuarat khas untuk membincangkan perkara tersebut.

”Akhir tahun tinggal tidak beberapa lama lagi, biar kita ikut jadual yang beliau telah syorkan.

“Saya rasa kita kena pastikan peralihan itu berjalan dengan teratur, tersusun dan tanpa sebarang kekecohan,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Guan Eng penuh yakin Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri pada November nanti.

Meskipun demikian, pandangan Guan Eng itu mengundang rasa tidak senang hati banyak pihak terhadapnya.

Ehh…kenapa Guan Eng tiba-tiba setuju peralihan kuasa pada November?

Mereka melihat seolah-olah Guan Eng kini sudah nyata memihak kepada kehendak serta keinginan Tun Mahathir dalam soal melanjutkan tempohnya memegang kuasa di Putrajaya.

Ada juga yang mengaitkan tindakan Guan Eng itu kerana beliau dianggap terhutang budi atas perlantikannya sebagai Menteri Kewangan oleh Tun Mahathir serta pengguguran kes rasuahnya tidak lama selepas PH berjaya membentuk kerajaan pada Mei 2018 yang lalu.

Kata mereka, walau apa pun yang berlaku, Guan Eng sepatutnya konsisten berpegang kepada janji asal Tun Mahathir yang mahu melakukan peralihan kuasa pada Mei iaitu setelah dua tahun beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Tetapi, jika pun Guan Eng mahu bersetuju dengan keinginan baru Tun Mahathir mahu menganjakkan peralihan kuasa kepada Anwar sehingga November, beliau tidak sepatutnya terus bercakap begitu saja.

Sepatutnya perkara itu mesti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH terlebih dahulu serta kemudian ditetapkan tarikhnya yang khusus bila peralihan kuasa itu hendak diadakan.

Ini kerana, jika tidak diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH dan tiada tarikh khusus ditetapkan, ia akan mengulangi bagaimana janji asal Tun Mahathir mahu menyerahkan kuasa pada Mei, akhirnya dengan mudah dimungkiri begitu saja.

Apa-apa pun, sama ada Mei atau November peralihan kuasa mahu dipersetujui, ia akhirnya terpulang kepada Majlis Presiden secara konsensus memutuskannya dan tidak harus ada mana-mana pihak secara sendirian mengeluarkan kenyataan di luar bilik mesyuarat.

Lantaran itu, mesyuarat Majlis Presiden amat penting diadakan dalam waktu terdekat ini dan tidak seperti mana tanggapan Guan Eng bahawa tiada keperluan diadakan mesyuarat.

Mesyuarat kali ini bukan saja perlu memutuskan sama ada peralihan kuasa hendak dipersetujui pada Mei atau November, tetapi juga menetapkan tarikh khusus pengunduran Tun Mahathir sekali.

Tanpa tarikh khusus ditetapkan dalam waktu terdekat ini, peralihan kuasa tidak lebih hanyalah fatamorgana.

-https://shahbudindotcom.net/

.