LEBIH TERPUJI JIKA MAHATHIR SENDIRI SEDIA MENENTUKAN TARIKH PENGUNDURANNYA

Pagi tadi Tun Mahathir Mohamad secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk berundur serta-merta jika itu yang dimahukan oleh Majlis Presiden PH.

“Saya fikir perkara ini akan diputuskan oleh empat parti dalam PH secara bersama. Sama ada mereka mahu saya pergi atau tidak pergi.

“Jika mereka mahu saya berundur sekarang, saya akan berundur,” katanya.

Walaupun menyatakan sedia untuk berundur, tetapi Tun Mahathir tetap meletakkan kepada Majlis Presiden PH untuk membuat ketetapan bagi pihaknya.

Daripada satu segi, berbeza dengan banyak kenyataannya sebelum ini yang tidak begitu jelas dan kabur berkenaan tarikh penyerahan kuasa kepada penggantinya yang sudah dipersetujui iaitu Anwar Ibrahim, tetapi kali ini ternampak beliau agak jujur berkenaan dengannya.

Cuma, terserah kepada Majlis Presiden PH bagaimana untuk menyambut kesediaan Tun Mahathir mahu berundur itu.

Bagi kebanyakan orang dan pemerhati politik tempatan, mereka merasakan inilah masa yang terbaik untuk Majlis Presiden PH bertindak menjadikan isu peralihan kuasa itu sebagai agenda mesyuarat yang berikutnya dan kemudian membuat ketetapan berhubung dengannya.

Sesuai dengan kesediaan Tun Mahathir sendiri yang sedia akur kepada ketetapan Majlis Presiden berkenaan pengundurannya bagi menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, dari segi logiknya menentukan tarikh itu bukanlah suatu masalah yang besar.

Ini kerana ia dilihat Tun Mahathir sendiri yang mahu ia ditetapkan.

Lagi pula, Tun Mahathir sendiri sebelum ini berkali-kali ada menyatakan beliau hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja iaitu sehingga Mei 2020.

Bermakna, dalam hal ini Majlis Presiden sama ada mahu memilih Mei 2020 atau tarikh lain yang sesuai bagi peralihan kuasa itu.

Bagaimanapun, sudah tentulah tarikh yang mahu dipilih itu tidak harus melepasi tempoh dua tahun setelah Tun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri.

Tempoh dua tahun itu adalah persefahaman yang telah difahami oleh semua pihak dalam PH sebelum PRU14 lagi kerana ia mengambil kira jangka masa Anwar untuk mendapat pengampunan, selain dua tahun itu juga merupakan tempoh yang selalu disebut dan diulang-ulang oleh Tun Mahathir.

Meskipun demikian, mengambil kira kedudukan Tun Mahathir sebagai seorang negarawan yang masih dipandang tinggi oleh masyarakat, sebenarnya adalah sangat terpuji jika beliau sendiri yang sedia menentukan tarikhnya berundur itu.

Tun Mahathir akan dipandang lebih mulia jika tidak meletakkan beban kepada Majlis Presiden PH sepenuhnya membuat keputusan berkenaan tarikh pengundurannya.

Mungkin ada sesetengah pihak dalam Majlis Presiden PH yang segan atau serba salah untuk bercakap secara berterus-terang kepadanya tentang pengunduran kerana menghormati kedudukannya sebagai Perdana Menteri serta tidak mahu menyinggung perasaannya.

Apa lagi, dalam usia 94 tahun, sebagaimana datuk dan nenek kita di kampung, Tun Mahathir juga difahami tentunya agak sensitif dan mudah terasa hati.

Lalu, dengan memilih sendiri tarikhnya untuk berundur, iaitu selewat-lewatnya 10 Mei 2020, Tun Mahathir dapat memastikan peralihan kuasa berjalan dengan aman, tertib dan lancar serta tidak ada mana-mana pihak yang serba salah jadinya.

Yang lebih penting, melaluinya juga, selain mampu mengekalkan kestabilan PH sebagai sebuah kerajaan, nama dan legasi Tun Mahathir akan terus harum dan disanjung sebagai negarawan yang lebih mementingkan masa depan negara berbanding kepentingan peribadinya sendiri.

-https://shahbudindotcom.net/

.