HARAP2 TIADA CAMPUR TANGAN POLITIK TERHADAP ADUN, PEGAWAI KHAS MENTERI YANG DITAHAN BERKAITAN DADAH

Negara hari ini dikejutkan dengan penahanan 17 individu, termasuk seorang Adun Bersatu Selangor kerana dipercayai positif dadah dalam satu serbuan di sebuah parti persendirian di Puchong.

Selain Adun berkenaan, turut ditahan ialah pegwai khas kepada dua orang menteri iaitu Muhyiddin Yassin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pegawai khas kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri dan individu-individu lain yang bekerja sendiri.

Lebih malang dalam penahanan ini kerana salah seorang pegawai khas itu adalah bertugas dengan Muhyiddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap polis, keselamatan negara dan pencegahan najis dadah.

(Terkini – Muhyiddin dalam kenyataan media petang tadi mengatakan Pizi Jihat, salah seorang yang ditahan itu bukan pegawai khasnya di Kementerian Dalam Negeri, tetapi salah seorang kakitangan di ibu pejabat Bersatu)

Walaupun pihak polis dijangka hanya akan mengadakan sidang media khas petang ini, tetapi Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari telah mengesahkan penahanan Adun Selangor berkenaan.

Katanya, penahanan Adun berkenaan disahkan kepadanya oleh Kementerian Dalam Negeri.

Syed Saddiq pula menyatakan telah dimaklumkan oleh pihak polis berkenaan penahanan itu dan akan menggantung tugas pegawainya yang ditahan polis itu.

“Saya menggantung tugas pegawai terbabit sementara menunggu siasatan polis dimuktamadkan,” kata Syed Saddiq.

Media arus perdana dan media atas talian turut mengesahkan penahanan tersebut berdasarkan pengesahan pihak polis yang telah mereka perolehi.

Untuk itu, adalah tidak benar bahawa tularnya isu penahanan ini merupakan agenda pihak pembangkang, sebaliknya ia adalah suatu hakikat yang benar-benar telah berlaku.

Sesungguhnya penahanan seramai 17 orang yang melibatkan Adun, pegawai khas dua menteri, pegawai khas Setpol Perdana Menteri dan lain-lain individu yang dipercayai dekat dengan parti kerajaan ini adalah sesuatu yang sungguh memalukan pada tahun 2020.

Mereka yang terlibat ini bukan saja telah memalukan parti yang mereka anggotai, bahkan mengaibkan PH sebagai sebuah kerajaan yang baru berusia 20 bulan mentadbir negara.

Maka, tidak harus ada sebarang percubaan untuk melindungi atau “cover up” terhadap semua yang terlibat itu, walaupun sebahagiannya mempunyai kedudukan yang dekat dengan Pejabat Perdana Menteri dan menteri-menteri tertentu.

Berikan ruang sepenuhnya kepada pihak polis menjalankan tugas mereka berdasarkan kedaulatan undang-undang tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pengaruh politik.

Sebarang cubaan melindungi atau “cover up” terhadap mereka yang terbabit ini hanya akan membusukkan lagi nama Bersatu dan PH sebagai sebuah kerajaan.

Kepada Bersatu, mereka yang terlibat ini tidak perlu disimpan lagi dalam parti dan sebaiknya digantung atau disingkirkan terus keahlian mereka.

Mereka jelas telah berada di tempat yang tidak sepatutnya mereka pergi, apalagi jika terbukti mengambil dadah kerana dengan jawatan dan kedudukan yang disandang, mereka seharusnya tahu menjaga diri, parti serta PH sebagai kerajaan.

https://shahbudindotcom.net/

.